Hazrat Salman 
رضي الله عنه berkata bahawa Rasulullah 
صلى الله عليه وسلم  telah bersabda kepada kami pada hari terakhir dari bulan Sya'aban:
Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi  diberkati. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam ( Lailatul-  Qadr ) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang mana Allah 
سبحانه وتعالى telah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan  fardhu dan berdiri pada malamnya ( bertarawih ) sebagai satu amalan  sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah 
سبحانه وتعالى padanya dengan mana-mana  amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu  pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu di  dalamnya adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada  bulan-bulan lain.
Ia adalah bulan kesabaran di mana ganjaran kesabaran adalah syurga. Ia  adalah bulan simpati. Ianya bulan yang ditambahkan rezeki kepada  orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa  untuk berbuka, maka ia merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan  kelepasan dirinya dan neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang  tersebut tanpa mengurangkan sedikitpun dari ganjaran pahalanya."  Sahabat-sahabat 
رضي الله عنه  lalu berkata, "Tidaklah setiap dari kami mempunyai  sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka." Maka  Rasulullah 
صلى الله عليه وسلم bersabda, "Allah 
سبحانه وتعالى memberikan pahala itu kepada  sesiapa yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun  sesisipan susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka."
Ia adalah satu bulan yang bahagian awalnya rahmat, pertengahannya  keampunan dan akhirnya kelepasan dari api neraka. Sesiapa yang  meringankan beban hamba-hambanya (pekerja-pekerjanya) pada bulan itu  maka dia akan diampunkan oleh Allah 
سبحانه وتعالى. dan akan dilepaskan dari azab  api neraka.
Perbanyakkanlah pada bulan ini empat perkara. Kamu meredhakan Tuhan kamu  dengan dua perkara dan dua perkara lagi yang tidak boleh tidak kamu  memerlukannya. Ada pun dua perkara yang kamu dapat meredhakan Tuhan kamu  dengannya adalah penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan  kamu memohon istighfar daripadaNya. Sementara dua perkara yang tidak  boleh tidak kamu perlukannya ialah memohon syurga dari Allah 
سبحانه وتعالى dan meminta  perlindungan dari api neraka.
Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa maka  Allah 
سبحانه وتعالى akan memberinya minum dari telagaku (pada hari kiamat),  dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk ke  dalam syurga.
(Hadis riwayat Ibnu Huzaimah, Baihaqi dan Ibnu Hibban)
Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 1 Hadis 1 m/s 1)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria rah.a