20 Julai, 2008
Hak sesama Muslim
Keterangan:
Hak orang muslim atau saudaranya
1. Mengucapkan salam jika bertemu sebagai langkah untuk menghormati dan merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama ummat Islam.
2. Menjawab jika memanggil. Perbuatan ini supaya tidak menyakiti saudara kita. Begitulah juga kalaulah kita memangggil saudara kita dan saudara kita tidak menyahut walupun sepatah malah dia pergi dengan selamba aje. Tentulah timbul perasaan yang tak senang di jiwa kita.
3. Memberi nasihat jika diperlukan. Agama Islam juga digelar sebagai nasihat. Ingat memperingati juga diperintah oleh Islam untuk kita melakukannya kerana perbuatan sedemikian memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.
4. Mendoakan kebaikan untuk orang muslim yang bersin dan memuji kepada Allah.
5. Menziarahi orang muslim yang sedang sakit dan berdoalah kepadanya seperti doa"Wahai tuhan manusia, hilangkanlah penderitaan ini, sembuhkanlah sakit, tuhanku yang menyembuhkan penyakitnya, tiada yang menyembuhkan melainkan tuhanku, iaitu sembuh yang tiada meninggalkan kesan penyakit." Ingatlah di antara kelebihan menziarahi orang sakit seperti sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seseorang muslim apabila ia menziarahi saudaranya yang muslim itu, bermakna dia berada di dalam kebun syurga sehinggalah dia kembali ke tempatnya".
6. Mengiringi jenazah orang muslim ke kubur sehingga selesai dikebumikan.
07 April, 2007
Adab Bersahabat
Seorang sahabat mestilah menjaga adab-adab terhadap sahabatnya, iaitu :
1. Mengutamakan sahabat dengan harta bendanya. Jikalau ia tidak kuasa berbuat demikian maka sekurangnya hendaklah ia memberikan kepada sahabatnya apa-apa yang lebih dari hajat dirinya.
2. Menolong sahabat dengan diri pada segala hajatnya dengan cara bersegera, sebelum brkehendak sahabatnya bahawa ia meminta tolong akan dia.
3. Menyembunyikan rahsia sahabatnya.
4. Menutup keaiban sahabatnya.
5. Berdiam daripada menyampaikan perkata orang lain yang mencela sahabatnya.
6. Menyampaikan segala perkataan orang lain yang memuji akan sahabatnya.
7. Mendengarkan dengan baik akan perkataan sahabat ketika ia bercakap-cakap.
8. Meninggalkan berbantah dengan sahabatnya.
9. Memanggil sahabatnya dengan nama yang terlebih disukainya.
10. Memuji sahabatnya dengan apa yang diketahui daripada kebaikannya.
11. Berterima kasih kepada sahabatnya atas sebarang kebaikannya.
12. Menegahkan orang lain apabila ia mahu mengumpat sahabatnya seperti ia membela dirinya sendiri.
13. Memberi nasihat dengan cara yang lemah lembut dan bahasa yang halus apabila ia berkehendak menasihati sahabatnya.
14. Memaafkan daripada sebarang kesilapan dan kesalahan sahabatnya, maka janganlah ia mencelanya.
15. Mendoakan sahabatnya apabila ia duduk bersendirian, ketika sahabatnya itu masih hidup atau pun setelah ia mati.
16. Mengekalkan kecintaan terhadap keluarga sahabat selepas daripada kematian sahabatnya.
17. Jangan suka memberatkan sahabatnya dengan bebanan dan tanggungjawab, bahkan hendak ia meringankan daripadanya supaya ia sentiasa senang hati kepadanya.
18. Menyatakan rasa kesukaan dengan segala yang menyukakan hati sahabatnya dan juga menyatakan rasa kesusahan pada segala yang menyusahkan hati sahabatnya.
19. Menyamakan antara hakikat kecintaan yang wujud di dalam hati dengan apa yang nampak di luar, maka dengan itu barulah kecintaan itu dianggap benar.
20. Memulakan memberi salam ketika ia menemui sahabatnya.
21. Meluaskan tempat duduk kepada sahabatnya ketika ia masuk ke dalam majlis dan hendaklah ia berpindah daripada tempat duduknya itu ke tempat yang lain ketika ia tidak dapat berbuat demikian.
22. Hendaklah ia bangkit menghantar sahabatnya itu ( sehingga sampai ke pintu rumahnya ) ketika ia keluar dari rumahnya.
23. Hendaklah ia berdiam ketika sahabatnya bercakap-cakap sehingga ia selesai daripada percakapannya dan janganlah ia suka mencelah ketika sahabatnya sedang barcakap-cakap.
Ringkas kata, hendaklah seorang sahabat itu bermuamalah atau bergaul dengan sahabatnya seperti cara yang ia sukai orang lain bermuamalah dengannya. Maka sesiapa yang tidak mencintai untuk sahabatnya akan sesuatu yang ia cintai bagi dirinya sendiri, maka persahabatan masih tidak ikhlas dan masih mempunyai anasir-anasir munafik dan persahabatan itu akan membawa kepada kebinasaan di dunia dan di akhirat. Maka inilah adab-adab yang mesti engkau jaga pada hak saudaramu yang engkau jadi sahabat akan dia.
06 April, 2007
Akhlak Muslim
"Jagalah dirimu dari perkara-perkara yang haram nescaya anda menjadi manusia yang paling 'abid, dan terimalah dengan penuh kerelaan akan pembahagian yang telah ditentukan Allah kepada anda nescaya anda akan menjadi manusia yang paling kaya, berbudilah kepada jiran anda, nescaya anda menjadi mu'min yang sebenar, dan cintailah kepada orang lain apa yang dicintai anda untuk diri anda sendiri, nescaya anda menjadi seorang muslim yang sebenar, dan janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa itu akan mematikan hati.(diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari abu Hurairah)
Perintah yang terkandung dalam hadis di atas :
1) Menjauhi perkara-perkara yang diharamkan
Untuk mencapai darjat para muttakim, siddiqin, a'bidin dan solihin, seseorang itu perlu berusaha sedaya upaya menghindari dirinya dari terjerumus ke dalam perkara-perkara maksiat dan haram seperti makanan, minuman, perbuatan, tutur kata, .pendengaran, penglihatan dan tindakan.Usaha bagi menghindari perkara-perkara ini amatlah rumit kerana ia biasanya begitu hebat mempersonakan keinginan dan kecenderungan hati.
2 Relakan kurniaan dari Allah
Untuk mencapai ketenteraman jiwa, seseorang muslim itu haruslah membentuk sifat-sifat qanaah(berpada) sifat tidak tamak dan haloba dalam memenuhi keperluan hidup apabila ia merasa cukup dan rela serta bersyukur maka ia merasa dirinya selaku orang yang paling kaya di dunia.
3. Hubungan baik dengan jiran
Untuk mencapai ketenteraman sosial setiap Muslim haruslah menjalankan hubungan yang baik dan mesra dengan jiran tetangga kerana mereka adalah kelompok manusia yang paling hampir dengan kita selain ahli keluarga yang lain.
4. Kasih sayang
Cintakan orang lainIslam adalah agama kasih sayang dan damai dari kekusutan hidup. Oleh itu setiap Muslim haruslah menaruh rasa kasih sayang terhadap orang lain sama dengan perasaan kasih terhadap dirinya sendiri. Apa yang tidak disukainya berlaku kepada dirinya harus pula tidak disukainya berlaku pada orang lain.
5. Jangan banyak ketawa
Ketawa pernah disifatkan sebagai "ubat jiwa". Akan tetapi sesuatu ubat akan berubah menjadi racun apabila berlebihan akan membuatkan seseorang itu tidak serius dalam kerja dan kehidupannya dan membuatkan hati nuraninya mati dalam keseronokan dan fikirannya tidak tajam dengan banyak ketawa. Barangsiapa banyak ketawa didunia dia akan menangis di akhirat dan barangsiapa menangis di dunia dia akan ketawa di akhirat.