Sahabat

05 November, 2011

Fadhilat Puasa Hari Arafah


Hari Arafah (9 Zulhijjah) merupakan hari yang mempunyai kelebihan tersendiri. Jika para jemaah haji diwajibkan berada di padang Arafah untuk wuquf di sana, kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji dianjurkan untuk berpuasa pada hari ini. Kita juga dianjurkan untuk berzikir dan berdoa kepada Allah pada hari ini. Di sini dipetik beberapa buah hadis untuk renungan kita bersama.

Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W telah ditanya mengenai puasa hari Arafah? Maka jawab Rasulullah S.A.W yang artinya: Dikaffarah (ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang. (Hadis isnad sohih dikeluarkan oleh imam Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Tiada dari hari dalam setahun aku berpuasa lebih aku gemari daripada hari Arafah. (Hadis isnad sohih dikeluarkan oleh Ibnu Abu Syaibah dan Baihaqi)

Daripada Anas bin Malik telah berkata : Adalah dikatakan pada hari-hari sepuluh setiap hari(menyamai) seribu hari, hari Arafah(menyamai) sepuluh ribu. ….Telah berkata imam Baihaqi yaitu pada kelebihan. (Hadis isnad hasan dikeluarkan oleh imam Baihaqi dan disebut oleh imam Sayuti).

Rujukan:
1. Kitab Fadhailul Auqat oleh Abi Bakar bin Al-Husin Al-Baihaqi di kaji oleh Adnan Abdul Rahman Majid Al-Qaisi cetakan Maktabah Al-Manarah Makah Mukarramah

12 Oktober, 2011

Doa Menghindar Bebanan Hutang


Berhutang itu bukanlah amalan yang sihat untuk diteruskan jika kita tidak mempunyai sebarang rancangan yang konkrit untuk menyelesaikannya.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya” ( Hadith riwayat Al-Bukhari, 2/83 )
Juga Baginda saw pernah bersabda yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? ; Baginda menjawab : ” Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari.” ( Hadith riwayat Al-Bukhari, 1/214)

Bagaimana bebanan kewangan boleh diatasi?
1. Elak berbelanja dengan perbelanjaan yang melebihi pendapatan.
2. Hindari berhutang melainkan sekiranya terpaksa.
3. Buat perancangan pembayaran sekiranya terpaksa berhutang.
4. Libatkan saksi dalam proses peminjaman.
5. Pelajari dan berusaha dengan kaedah mendapatkan pendapatan sampingan.
6. Hidup bersederhana dan jangan ikut masyarakat sekeliling.
7. Lazimkan berdoa agar dijauhi bebanan hutang. (Seperti doa di atas)

03 Oktober, 2011

22 tanda hari kiamat semakin hampir

1.Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).
2.Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui iklan, buku, gambar, risalah,atau filem.
3.Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.
4.Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.
5.Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.
6.Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.
7.Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.
8.Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.
9.Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.
10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.
11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).
12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.
13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.
14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.
15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,
16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.
17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.
18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.
19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.
20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.
21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).
22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.


Dipetik dar Facebook Ust Azhar Idrus

23 September, 2011

Rezeki Dari Allah

Kali ini mari kita merenung serangkai ayat Qur'an yang menceritakan tentang rezeki. Firman Allah SWT :
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا
"......dan tiada satu pun makhluk bergerak di bumi melainkan dijamin Allah rezekinya" (Surah Hud, ayat 6).
Jaminan rezeki dari Allah SWT pada mahklukNya adalah jaminan yang pasti lagi benar bagi menunjukkan betapa Maha Kaya Allah yang memiliki segala sifat kebesaranNya.
Firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۚ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ
"Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan" (Surah Ali Imran, ayat 109).
Selain dari Allah SWT siapa lagi yang boleh mencukupkan sumber rezeki yang tidak pernah putus-putus bagi menyambung kitaran kehidupan di alam ini. Bukan satu atau dua hari tetapi ribuan malah mungkin jutaan tahun. Hanya Dia sahaja yang berhak dan layak untuk menurun dan mengeluarkan segala rezeki dari sumber mana yang dikehendakiNya.
Inilah antara makna "Ilah" yang terkandung di dalam kalimah syahadah iaitu "la ilah haillallah". Dalam permasalahan rezeki, kalimah syahadah ini mengajar kita iktiqad "Tidak ada yang memberi rezeki melainkan Allah". Jika seseorang mengakui bahawa ada makhluk yang memberi selain Allah SWT bererti dia telah beriktikad dengan iktikad yang salah dan boleh membawa kepada syirik.
Majikan atau tempat kita kerja adalah seperti posmen yang menghantar surat kepada seseorang. Bukannya surat itu daripadanya sendiri kerana rezeki yang berada ditangannya itu juga datang dari Allah. Bagaimana jika Allah menahan rezeki kepadanya?
Firman Allah SWT :
أَمَّنْ هَٰذَا الَّذِي يَرْزُقُكُمْ إِنْ أَمْسَكَ رِزْقَهُ ۚ
"Siapakah yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya" (Surah Al-Mulk, ayat 21).
Pada waktu pagi kita dianjurkan membaca doa ini:
اللَّهُمَّ مَا أَصْبَحَ بِي مِنْ نِعْمَةٍ أَوْ بِأَحَدٍ مِنْ خَلْقِكَ فَمِنْكَ وَحْدَكَ ، لا شَرِيكَ لَكَ ، فَلَكَ الْحَمْدُ ، وَلَكَ الشُّكْرُ
"Ya Allah, pada pagi-pagi ini, apa juga nikmat yang ada padaku atau mana-mana makhlukMu, semuanya dariMu. Tiada sekutu bagiMu. Milikmu segala pujian dan terima kasih kami" (Zikir al-Ma'surat. Riwayat Imam an-Nasai dari Abdullah bin Ghannam r.a.).
Ini membawa pengertian supaya akidah tauhid kita dibetulkan sebelum kita memulakan aktiviti mencari rezeki pada awal-awal pagi. Manusia hanyalah makhluk yang sangat lemah sehingga tidak mampu menjadikan sebiji nasi pun di atas bumi ini dan bergantung kepada pohon padi dari ciptaan Allah SWT
Allah SWT menjamin rezeki pada semua mahluk tetapi kenapa ada yang mati kebuluran. Hal ini diterangkan Allah dalam firmanNya :
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" (Surah ar-Rum, ayat 41).
Kematian dan kebuluran 26 ribu orang di Euthopia bukti sebuah kebinasaan akibat dari pendurhakaan manusia. Bumi dirosakkan oleh tangan-tangan manusia seperti tubuh badan yang dirosakkan oleh ubatan kimia yang bernama drugs. Tubuh yang dibekalkan dengan sistem imuniti juga hancur akibat dari dadah yang diambilnya pada setiap hari. Inilah sebabnya Allah menurunkan peraturan hidup yang sempurna untuk kesinambungan rezeki dan hidup di dunia ini.
Bagi menyelamat dunia yang kian hancur ini hanya satu sahaja iaitu ugama Allah. Ugama yang perlu ditegakkan sebagai "deenulhayah" untuk kesejahteraan ummat di muka bumi ini jika tidak terimalah padahnya iaitu penderitaan dan kemusnahan.
Perkara kedua dari ayat awal di atas difahami bahawa rezeki itu juga perlu dicari sebagaimana Allah menyatakan dengan kalimah "makhluk bergerak" bukannya hanya menanti yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang. Lihatlah rezeki seekor burung yang terjamin apabila ia keluar dari sarangnya. Kemalasan berikhtiar menjadikan periuk nasi juga kosong bukan kerana tidak ada jaminan dari Allah tetapi kerana ia yang memilih untuk itu.
Ini terkecuali dengan ujian dari Allah yg berupa kekurangan makanan dan buah-buahan seperti firman Allah:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" (Surah al-Baqarah, ayat 155).
Ujian adalah hak Allah sama seperti rezeki. Hikmah dari ujian akan menjadikan sesuatu ummat itu bertambah kuat bukannya semakin lemah. Ia tergantung bagaimana sikap yang diambil terhadap ujian yang menimpanya. Jika ujian itu mematikan jiwa dan semangatnya, petandanya Allahlah yang menyempitkan kehidupannya seperti asma' Allah yang bernama "Al Qobidh".
وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
"Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan" (Surah al-Baqarah, ayat 245).
Bangsa-bangsa yang terus "bergerak" telah menguasai dunia dibandingkan dengan bangsa yang suka berpeluk tubuh. Mereka menguasai semua bidang keilmuan di atas pokok perubahan yang dilakukan pada setiap detik. Rezeki itu kuncinya ilmu kerana itulah ia perlu bergerak bagi mencarinya.
Berkata Imam Syafi'ie rhm:
من أراد الدنيا فعليه بالعلم ومن أراد الآخرة فعليه بالعلم
"Sesiapa mengingini dunia, ia memerlukan ilmu. Sesiapa menghendaki akhirat, ia juga memerlukan ilmu".
Nasib itu tidak terletak pada tapak tangan tetapi terletak pada tangan dan kaki. Keluar dari zon statik kepada zon dinamik untuk mengubah nasib yang menimpa diri sendiri.
Firman Allah SWT :
إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" (Surah ar-Ra'du, ayat 11).
Soal rezeki terlalu panjang perbahasannya tetapi penutupnya pula adalah pendek lagi ringkas iaitu semuanya rezeki itu adalah datang dari Ar Razaq.

21 Ogos, 2011

Lailatul Qadar 07

Hazrat ‘Aishah رضي الله عنها berkata, “Ya Rasulullah! Beritahulah kepada saya sekiranya saya tahu malam manakah Lailatul Qadr, apakah doa yang sepatutnya saya pohon?” Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda, “Katakanlah:
اللهـُــمّ َ إ ِنـّـَـكَ عـَــفـُــوّ ٌ تـُــحـِــبّ ُ الـْـعـَــفـْــوَ فـَــاعـْـفُ عـَــنـِّـى
“Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dan Engkau sukakan pengampunan maka ampunilah daku.”
(Hadith riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan at-Turmuzi dan disahihkannya sebagaimana dalam al-Misykah)


Keterangan
Ini adalah satu doa yang sangat lengkap agar Allah سبحانه وتعالى dengan kemurahan dan belas kasihanNya mengampuni kita dari segala tuntutan akhirat.

Hazrat Sufian Thauri  berkata bahawa Pada malam itu adalah lebih baik untuk menyibukkan diri dengan berdoa dibandingkan dengan ibadat-ibadat yang lain. Ibnu Rejab rah.a pula berkata tidaklah hanya berdoa, bahkan lebih afdhal untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain juga seperti membaca Al-Quran, Solat, doa, muraqabah dan lain-lain kerana semua itu ada riwayat dari Rasullullah صلى الله عليه وسلم . Inilah pendapat yang lebih diterima.

Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 2 Hadis 7)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariya rah.a 
 

20 Ogos, 2011

Lailatul Qadar 06

Hazrat ‘Ubadah Bin Samit رضي الله عنه telah bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang Lailatul Qadar. Lalu Baginda bersabda, “lanya berlaku pada bulan Ramadhan pada sepuluh yang akhir. Sesungguhnya ia berlaku pada malam-malam yang ganjil, pada malam ke 21,23, 25, 27 atau 29 ataupun pada malam terakhir dari bulan Ramadhan. Sesiapa yang bangun beribadat padanya dengan iman dan niat untuk mendapatkan ganjaran, semua dosanya yang terdahulu akan diampunkan. 

Di antara tanda-tandanya ialah keadaannya terang dengan langit yang bersih, tenang lagi sunyi, lidaklah terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sedang memancar (kerana banyak Nur kerohanian). Bintang-bintang tidak digunakan untuk melontar syaitan pada malam itu sehingga ke pagi. Di antara tanda-tandanya lagi ialah sesungguhnya matahari akan terbit keesokan paginya tanpa cahaya yang bersinar kuat. la terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama. Allah سبحانه وتعالى telah mengharamkan syaitan keluar bersamanya pada hari itu. (Sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul di tempat matahari terbit.)
(Hadith riwayat Ahmad, al-Baihaqi, Muhammad bin Nasr dan lain-lain – Durrul Manthur)


Keterangan
Terdapat beberapa alamat tanda yang dinyatakan di dalam riwayat atau juga oleh mereka yang biasa mengalami malam tersebut khasnya apabila matahari akan terbit keesokan paginya tanpa sinaran yang memancar kuat. Selain itu ada lagi beberapa tanda tetapi ia tidak semestinya berlaku.
Hadrat 'Abdah bin Abi Lubabah رضي الله عنه berkata, "Saya telah merasai air laut pada malam ke-27 Ramadhan dan mendapatinya betul-betul tawar."
Hadrat Ayyub bin Khalid rah.a. pula berkata, "Saya terpaksa mandi pada suatu malam. Saya telah mandi dengan air laut lalu mendapatinya tawar. Ianya berlaku pada malam yang ke 27 Ramadhan.

Para Masyaikh menulis pada malam Lailatul Qadar semua benda akan bersujud. sehingga pokok pun akan rebah ke bumi dan kemudian akan bangun ke tempatnya kembali. Walau bagaimanapun perkara-perkara begini berkaitan dengan kasyaf, ia tidak dapat disedari oleh semua orang.

Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 2 Hadis 6)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariya rah.a 

Lailatul Qadar 05

Daripada Hazrat ‘Ubadah Bin Samit رضي الله عنه beliau berkata Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah keluar untuk memberitahu kami tentang Lailatul Qadr, kemudian ada dua orang lelaki daripada kalangan orang-orang Islam telah bergaduh.
Maka Baginda telah bersabda, “Aku telah keluar untuk memberitahu kamu tentang Lailatul Qadr kemudian si fulan dan si fulan telah bergaduh, oleh kerana itu ia telah diangkat kembali. Mudah-mudahan itu lebih baik bagi kamu.
Maka carilah Lailatul-Qadr pada malam ke 9, 7 dan ke 5.”
(Hadith riwayat Bukhari – Misykah)


Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 2 Hadis 5)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariya rah.a   

Lailatul Qadar 04

Daripada Hazrat ‘Aishah رضي الله عنها beliau berkata bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda “Carilah Lailatul Qadr pada yang ganjil dari sepuluh malam terakhir Ramadhan.”
(Hadith riwayat Bukhari – Misykah)

Keterangan
Pada pendapat jumhur ulama' 10 hari yang terakhir bermula pada malam ke-21 dan ini adalah umum samada bulan itu mengandungi 29 atau 30 hari. Dari perkiraan ini dan berdasarkan hadis di atas, pencarian Lailatul Qadar hendaklah dilakukan pada malam ke 21.23.25.27 dan 29. Sekiranya bulan ini mengandungi 29 hari pun maka malam-malam inilah yang dikatakan 10 hari terakhir.


Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 2 Hadis 4)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariya rah.a   

Lailatul Qadar 03

Daripada Hazrat Anas رضي الله عنه beliau berkata bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda “Apabila tiba Lailatul-Qadr, turunlah Jibrail عليه السلام bersama sekumpulan para malaikat memohon rahmat ke atas setiap hamba yang sedang berdiri atau duduk mengingati Allah سبحانه وتعالى dan apabila tiba Hari Raya mereka, iaitu Hari Raya Fitrah, maka Allah سبحانه وتعالى akan membangga-banggakan mereka kepada para malaikatNya.
Dia berfirman “Wahai malaikatKu! Apakah balasan seorang pekerja yang telah menyempurnakan kerjanya?” Mereka berkata “Wahai Tuhanku, balasannya ialah disempurnakan ganjarannya.”
Allah سبحانه وتعالى berkata lagi “Wahai malaikatKu, hamba-hambaKu lelaki dan perempuan yang telah menyempurnakan fardhuKu ke atas mereka, kemudian mereka keluar sambil melaungkan doa. Demi kemuliaan dan kehebatanKu, kemurahan dan ketinggianKu dan demi kedudukanKu pasti aku menerima doa-doa mereka.
Kemudian Allah سبحانه وتعالى berfirman (kepada hamba-hamba itu) “Pulanglah kamu, sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu dan telah Kutukarkan segala keburukan kamu kepada kebaikan.”
Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, “Lalu mereka pun pulang dalam keadaan telah terampun.”
(Hadith riwayat al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman sebagaimana dalam al-Misykah)


Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 2 Hadis 3)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariya rah.a     

16 Ogos, 2011

Lailatul Qadar 02

Hazrat Anas رضي الله عنه berkata “Telah masuk bulan Ramadhan, lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda “Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terlepas daripadanya maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia yang benar-benar rugi.”
(Hadith riwayat Ibnu Majah, sanadnya ‘hasan’ sebagaimana dalam Kitab at-Targhib dan al-Misykah)

Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 2 Hadis 2)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariya rah.a   

14 Ogos, 2011

Doa Dhuha

Dengarkan Doa Dhuha ini yang dialunkan oleh Kumpulan Nasyid UNIC dalam album terbaru mereka HIJRAH yang diedarkan oleh HPA.
Sesungguhnya waktu Dhuha itu DhuhaMu, 
Kecantikannya, kecantikanMu,
Keindahannya, keindahanMu,
kekuatannya kekuatanMu,
kekuasaannya, kekuasaanMu
perlindungannya, perlindunganMu.

Ya Allah...
Jika rezeki masih di langit, turunkanlah,
jika  di dalam bumi, keluarkanlah,
jika sukar, permudahkanlah,
jika haram, sucikanlah
jika jauh, dekatkanlah.


Berkat waktu dhuha, 
kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu,
Limpahkan kepadaku
segala yang Engkau telah limpahkan
kepada hamba-hambaMu yang soleh.
Post berkaitan:

Fadhilat Solat Dhuha

Lailatul Qadar 01

Daripada Hazrat Abu Hurairah رضي الله عنه berkata Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda, “Sesiapa yang berdiri beribadat pada malam Lailatul-Qadr dengan iman dan ihtisab (berniat untuk mendapatkan ganjaran) akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim – Targhib)

Keterangan
Maksud berdiri beribadat ialah mendirikan solat. Termasuk di dalamnya juga ialah sibuk dengan lain-lain ibadat seperti tilawah Al-Quran, berzikir dan sebagainya.
Maksud 'Mengharapkan ganjaran' ialah tidak berdiri kerana menunjuk-nunjuk dan lain-lain niat yang buruk bahkan dengan penuh ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah .

Perlu juga dimaklumi bahawa yang dimaksudkan dengan dosa dalam hadis di atas dan juga hadis-hadis yang seumpamanya ialah dosa-dosa kecil kerana di dalam Al-Quran, bila sahaja dosa besar disebutkan maka bersamanya juga disebutkan 'kecuali mereka yang bertaubat'. Berdasarkan perkara inilah, para ulama telah sepakat (ijma') bahawa dosa besar tidak akan diampunkan tanpa bertaubat. Jadi bila sahaja dosa disebutkan dalam hadis, maka para ulama mengkhususkannya sebagai dosa kecil.



Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 2 Hadis 1)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariya rah.a 

11 Ogos, 2011

Fadhilat Ramadhan 10

Daripada Hazrat Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda “Sesiapa yang berbuka (tidak berpuasa dengan sengaja – walaupun hanya) sehari dalam bulan Ramadhan tanpa keuzuran atau sakit, dia tidak akan dapat mengqadha’nya walaupun berpuasa seumur hidup, meskipun sekiranya dia dapat melakukannya (mengqadha’nya).”

(Hadith riwayat Ahmad, at-Termuzi, Abu Daud, Ibnu Majah, al-Bukhari – al-Misykah, Syarah Bukhari)

Keterangan
Berdasarkan hadis ini, setengah ulama (termasuklah Hadrat Ali r.a.) dan lain-lain berpegang bahawa sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur Syara' tidak mungkin dapat mengqadanya walaupun dia berpuasa sepanjang hayat. Namun jumhur ahli feqah berpendapat bahawa sesiapa yang langsung tidak berpuasa pada hari-hari Ramadhan maka setiap hari dapat diqada dengan setiap hari berpuasa dan kalau seseorang itu telah mula berpuasa dan kemudiannya berbuka (tanpa sebab) maka dia kena berpuasa dua bulan berturut-turut sebagai kaffarah dan barulah dia terlepas dari tanggungjawabnya. Walau bagaimanapun keberkatan dan fadhilat yang terdapat di dalam Ramadhan tidak mungkin diperolehinya.


Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 1 Hadis 10)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria rah.a  

Fadhilat Ramadhan 09


Daripada Hazrat Abu ‘Ubaidah رضي الله عنه beliau berkata saya telah mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, “Puasa adalah perisai, selama dia tidak memecahkannya.”





(Hadith riwayat an-Nasa’i, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah ,al-Hakim dan sahih atas syarat Bukhari. Lafaz mereka berbeza-beza diterangkan oleh al-Munziri dalam at-Targhib)

Keterangan
Para mashaik menulis terdapat 6 perkara sebagai adab  dalam berpuasa:
1. Menjaga penglihatan dari memandang sesuatu yang tidak sepatutnya.
2. Menjaga lidah dari berbohong, mengumpat, bercakap sia-sia, bercakap kotor, bergaduh dan lain-lain.
3. Menjaga telinga dari mendengar sesuatu yang dibenci dan yang haram diperkatakan oleh lidah.
4. Menjaga segala anggota yang lain seperti tangan dari memengang sesuatu yang haram dan kaki dari berjalan ke arah sesuatu yang haram dan perut dari berbuka dengan sesuatu yang shubahat.
5. Pada waktu berbuka, janganlah makan terlalu banyak sehingga memenuhi perut walaupun dari sumber harta yang halal.
6. Perlu ada perasaan takut selepas menunaikannya kerana kita tidak tahu samada puasa kita itu layak diterina atau tidak.

Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 1 Hadis 9)
Karangan: Sheikhul Hadis Maulana Muhammad Zakariyya rahmatullah alaih

09 Ogos, 2011

Fadhilat Ramadhan 08

Daripada Hazrat Abu Hurairah رضي الله عنه beliau berkata bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda, “Betapa ramai daripada orang yang berpuasa yang tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang beribadat malam yang tidak mendapat apa-apa daripada ibadatnya kecuali berjaga malam.”
(Hadith riwayat Ibnu Majah, an-Nasa’i, Ibnu Khuzaimah, al-Hakim – at-Targhib)

Keterangan
Ada beberapa pendapat ulama dalam membahaskan hadis ini. Pertamanya ialah orang yang berpuasa sepanjang hari tetapi berbuka dari sumber yang haram. Kedua ialah orang yang berpuasa tetapi sentiasa terlibat dengan mengumpat. Ketiga ialah orang yang tidak menjaga dirinya dari dosa dan sebagainya semasa berpuasa. 


Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 1 Hadis 8)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariya rah.a 

07 Ogos, 2011

Fadhilat Ramadhan 07

Ibn Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."
(Hadis riwayat Tabrani)

Keterangan:
Kelebihan bersahur telah dinyatakan dalam banyak hadis. Rasullullah صلى الله عليه وسلم bersabda, "Perbezaan puasa kita dengan puasa Ahlul-Kitab (Yahudi dan Nasara) adalah dengan bersahur. Mereka tidak bersahur".  Dalam hadis yang lain Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda, "Bersahurlah kerana di dalamnya terdapat keberkatan". Dalam hadis yang lain Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda, "Terdapat keberkatan dalam tiga perkara. 1. Berjamaah  2. Tharid (roti yang direndam dalam kuah daging)  3. Bersahur".

Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 1 Hadis 7 m/s 36)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria rah.a

06 Ogos, 2011

Fadhilat Ramadhan 06

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda: "Tiga jenis orang yang tidak ditolak doa-doa mereka. Seseorang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; Seorang imam (pemerintah) yang adil, dan doa daripada orang yang dizalimi. Allah سبحانه وتعالى mengangkatnya melepasi awan dan terbukalah untuknya pintu-pintu langit dan Allah سبحانه وتعالى berfirman: "Demi kemuliaanKu, sesungguhnya Aku pasti akan menolongmu walaupun selepas beberapa ketika (demi sesuatu muslihat)."

Keterangan:
Hadrat Umar رضي الله عنه meriwayatkan daripada Rasullullah صلى الله عليه وسلم bahawa di dalam bulan Ramadhan sesiapa yang mengingati Allah سبحانه وتعالى akan diampunkan dosa-dosanya dan sesiapa yang meminta sesuatu daripada Allah سبحانه وتعالى tidak akan dihampakan.

Satu hadis yang dipetik daripada kitab Targhib dengan riwayat Hadrat Ibnu Mas'ud رضي الله عنه bahawa pada setiap malam Ramadhan, seorang penyeru akan menyeru, "Wahai mereka yang mencari kebaikan, berilah perhatian dan majulah terus. Wahai mereka yang mencari keburukan, cukuplah dan insaflah". Selepas itu malaikat itu akan berkata, "Adakah sesiapa yang inginkan keampunan supaya dia diampunkan? Adakah sesiapa yang ingin bertaubat supaya taubatnya diterima? Adakah sesiapa yang ingin memohon supaya permohonannya diperkenankan?"


Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 1 Hadis 6)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria rah.a

Fadhilat Ramadhan 05

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT mempunyai hamba-hamba yang dibebaskan (dari api neraka) pada setiap siang dan malam pada bulan Ramadhan dan pada setiap orang Islam ada satu doa yang akan dikabulkan pada setiap siang dan malam (Ramadhan)."

p/s: Penerangan Hadis, Sila rujuk:

Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 1 Hadis 5 m/s 30)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria rah.a

Anda mungkin juga meminati:
Fadhilat Ramadhan 04

Fadhilat Ramadhan 04

Daripada Ubadah bin Samit r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari sedangkan Ramadhan telah datang kepada kami: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati di mana Allah SWT akan menumpukan perhatianNya kepada di dalamnya lalu Dia akan menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah SWT pada bulan ini."

p/s: Penerangan Hadis, Sila rujuk:
Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 1 Hadis 4 m/s 29)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria rah.a

Fadhilat Ramadhan 03

Daripada Kaab bin Ujrah صلى الله عليه وسلم. beliau berkata bahawa Rasullullah صلى الله عليه وسلم bersabda (kepada Sahabatnya), "Hadirlah ke mimbar!" Maka kami pun hadir. Apabila baginda melangkah ke tangga mimbar, baginda berkata, "Amin" dan apabila baginda melangkah ke tangga kedua, baginda berkata, "Amin" dan apabila baginda melangkah ke tangga ketiga, baginda berkata, "Amin". Apabila baginda turun kami berkata, "Ya Rasullullah, hari ini kami telah mendengar dari Tuan sesuatu yang belum pernah kami dengar". Baginda bersabda, "Sesungguhnya jibril telah muncul kepadaKu dan berkata, "Binasalah dia yang mendapati Ramadhan, tetapi belum juga ia diampunkan". Maka aku berkata "Amin". Apabila aku melangkah ke tangga kedua, Jibril berkata, "Binasalah dia yang mendapati namuMu disebut, tetapi tidak pula dia menselawatiMu. "Maka aku berkata "Amin".  Apabila aku melangkah ke tangga ketiga, Jibril berkata, "Binasalah dia yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya telah tua, tetapi mereka tidak menjadikannya sebab untuk dia memasuki syurga". Maka aku berkata "Amin".

Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 1 Hadis 3 m/s 24)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria rah.a

03 Ogos, 2011

Fadhilat Ramadhan 02

Abu Hurairah رضي الله عنه meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka.
1.Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi.
2.Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa.
3.Allah mempersiapkan serta menghiasi Jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu".
4.Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan.
5.Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan.
Maka sahabat-sahabat رضي الله عنه pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam Lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 1 Hadis 2 m/s 17)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria rah.a

01 Ogos, 2011

Fadhilat Ramadhan 01

Hazrat Salman رضي الله عنه berkata bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda kepada kami pada hari terakhir dari bulan Sya'aban:

Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam ( Lailatul- Qadr ) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang mana Allah سبحانه وتعالى telah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malamnya ( bertarawih ) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah سبحانه وتعالى padanya dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain.

Ia adalah bulan kesabaran di mana ganjaran kesabaran adalah syurga. Ia adalah bulan simpati. Ianya bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka ia merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dan neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikitpun dari ganjaran pahalanya." Sahabat-sahabat رضي الله عنه  lalu berkata, "Tidaklah setiap dari kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka." Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, "Allah سبحانه وتعالى memberikan pahala itu kepada sesiapa yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisipan susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka."

Ia adalah satu bulan yang bahagian awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kelepasan dari api neraka. Sesiapa yang meringankan beban hamba-hambanya (pekerja-pekerjanya) pada bulan itu maka dia akan diampunkan oleh Allah سبحانه وتعالى. dan akan dilepaskan dari azab api neraka.

Perbanyakkanlah pada bulan ini empat perkara. Kamu meredhakan Tuhan kamu dengan dua perkara dan dua perkara lagi yang tidak boleh tidak kamu memerlukannya. Ada pun dua perkara yang kamu dapat meredhakan Tuhan kamu dengannya adalah penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan kamu memohon istighfar daripadaNya. Sementara dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukannya ialah memohon syurga dari Allah سبحانه وتعالى dan meminta perlindungan dari api neraka.

Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa maka Allah سبحانه وتعالى akan memberinya minum dari telagaku (pada hari kiamat), dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk ke dalam syurga.

(Hadis riwayat Ibnu Huzaimah, Baihaqi dan Ibnu Hibban)

Sumber: Kitab Fadhilat Amal @ Fadhilat Ramadhan  (Bab 1 Hadis 1 m/s 1)
Karangan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria rah.a

28 Julai, 2011

Adab Berpuasa Ramadhan


Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat cerdik sungguh.. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi siang dan malam sepanjang Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti Solat Terawih, Solat Witir, Solat Tahajjud,
Tadarus Al-Quran, berzikir, berdoa dan sebagainya.

p/s: Salam Ramadhan Karim Al-Mubarak 1432H kepada semua pengunjung blog ini. Semoga kita dapat menghayati Ramadhan dan memanfaatkan Ramadhan pada tahun ini dengan bersungguh-sungguh. Amin

23 Julai, 2011

Puasa di Bulan Syaaban

Disunatkan berpuasa keseluruhan hari di bulan Sya’ban atau kebanyakan harinya. Ini berdasarkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa (sunat) sebulan penuh dalam setahun kecuali di bulan Sya’ban di mana baginda menyambungnya dengan Ramadhan” (HR Imam Abu Daud dan an-Nasai). ‘Aisyah r.a. pula menceritakan; “Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Menurut ulamak; difahami dari hadis-hadis di atas bahawa Nabi s.a.w. adakalanya berpuasa sebulan penuh di bulan Sya’ban dan adakalanya baginda tidak berpuasa sebulan penuh tetapi pada kebanyakan harinya sahaja.
Apa hikmahnya Rasulullah s.a.w banyak berpuasa di bulan Sya’ban?

Seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid r.a. pernah bertanya Nabi s.a.w. kenapa beliau banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Nabi s.a.w. menjawab; “Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam an-Nasai)
PUASA SELEPAS NISFU SYA’BAN
Sabda Nabi s.a.w.;
إِذَا بقي نصفٌ من شَعبَانَ فَلاَ تصُومُوا
“Apabila berbaki separuh dari bulan Sya’ban maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)
Berdasarkan hadis ini dilarang berpuasa selepas nisfu Sya’ban bermula dari tanggal 16 haribulan hinggalah akhir bulan terutamanya sehari atau dua hari sebelum Ramahan (termasuklah hari Syak yang akan disebutkan nanti), sama ada puasa sunat atau puasa kerana ihtiyat (yakni dengan niat puasa Ramadhan sebagai berhati-hati) yang kebiasaannya berlaku di penghujung Sya’ban. Menurut Imam ar-Ruyani; mendahului Ramadhan dengan puasa selepas nisfu Sya’ban hukumnya adalah makruh. Adapun sehari atau dua hari sebelumnya, maka hukumnya adalah haram.
Namun menurut ulamak dikecualikan dari larangan berpuasa selepas Nisfu Sya’ban di atas orang-orang berikut;
  1. Orang yang menyambung puasa yang dimulainya sebelum bulan Sya’ban masuk separuh kedua (yakni sebelum tanggal 16 haribulan) sekurang-kurangnya puasa pada hari nisfu Sya’ban. Dan disyaratkan puasanya itu berterusan hinggalah ke penghujung Sya’ban.
  2. Orang yang mempunyai kebiasaan puasa tertentu seperti puasa isnin dan khamis, puasa selang sehari atau puasa ad-dahri, kemudian puasanya itu secara kebetulannya melintasi hari-hari selepas nisfu Sya’ban.
  3. Orang-orang yang berpuasa dengan bersebab seperti nazar, kaffarah atau Qadha’ (termasuklah qadha’ puasa sunat).
PUASA SEHARI ATAU DUA HARI SEBELUM RAMADHAN
Dilarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan berdalilkan sabda Rasulullah s.a.w. iaitu;
لا تَقَدَّمُوا شَهرَ رَمضَانَ بصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمََيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
“Janganlah engkau mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka bolehlah ia berpuasa”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
Sebahagian ulama’ berpendapat; pengharaman tersebut adalah dengan niat ihtiyat kepada Ramadhan. Namun bagi ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie; pengharaman tersebut merangkumi juga puasa sunat kecuali dalam bagi tiga orang yang disebut tadi;
  1. Orang yang menyambung puasa yang dilakukan sebelumnya
  2. Orang yang puasa kerana kebetulan dengan kebiasaan berpuasanya.
  3. Orang berpuasa dengan bersebab seperti puasa Qadha, Nazar dan sebagainya.
PUASA HARI SYAK
Dilarang berpuasa pada hari syak berdalilkan hadis dari ‘Ammar bin Yasir r.a. yang menceritakan;
من صَامَ اليومَ الَّذِي شُكَّ فِيهِ فقد عصَى أَبا القاسمِ
“Sesiapa berpuasa pada hari syak, maka sesungguhnya ia mengingkari Abal-Qasim (gelaran bagi Rasulullah s.a.w.)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Hari syak ialah hari ke 30 Sya’ban yang timbul syak atau keraguan di kalangan orang ramai; apakah ia masih bulan Sya’ban atau telah masuk bulan Ramadhan? Keraguan itu timbul kerana ada suara-suara yang memperkata atau menghebohkan bahawa anak bulan Ramadhan telah kelihatan, namun tidak ada saksi yang adil atau yang boleh diterima yang memberitahu atau mendakwa ia melihat anak bulan itu. Hari syak ini diharamkan berpuasa sama ada dengan niat puasa Ramadhan sebagai ihtiyaht (yakni berhati-hati) atau puasa sunat. Jika ada yang berpuasa juga pada hari syak, puasanya batal dan ia berdosa. Walau bagaimanapun, dikecualikan larangan tersebut dari tiga orang yang disebut tadi.
Wallahu a’lam.

19 Julai, 2011

Fadhilat Solat Dhuha


ISLAM adalah agama yang serba lengkap meliputi­ keseluruhan aspek penghidupan termasuk dalam usaha mencari sumber rezeki. Dalam mencari rezeki, berbagai kaedah ditunjukkan oleh nabi kepada kita. Antara kaedahnya ialah dengan memanjatkan doa kepada Allah supaya dipermudahkan usaha pencarian sumber hidup. Untuk itu solat dhuha adalah jawapannya.

Solat Dhuha boleh menjadi senjata paling unik yang disediakan Allah buat setiap hamba-Nya membuka pintu rezeki. Sebenarnya solat Dhuha adalah petunjuk yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Dikatakan baginda selalu melakukan solat Dhuha walau dimana saja.

Rasulullah bersabda, “Allah yang Maha Mulia lagi Maha Agung menyatakan “Wahai anak Adam. Cukuplah Aku dengan melakukan empat rakaat solat Dhuha pada pagi hari, maka Aku pasti mencukupi keperluan mu pada akhir hayatmu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Ya’la)”

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menjauhkan kemiskinan dan tidak ada orang yang memelihara solat kecuali orang yang bertaubat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi). Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman: “Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.” (Riwayat Ahmad).Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.
Banyak hadis-hadis yang mengalakkan solat sunat Dhuha dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya: “Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”  Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas” (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Biasanya selepas al-Fatihah di rakaat pertama, digalakkan kita membaca Surah Al-Syams dan di rakaat kedua selepas membaca al-Fatihah dibaca pula  Surah ad-Dhuha. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikannya sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

Doa Dhuha:

 
Ya Allah,
Sesungguhnya waktu Dhuha itu DhuhaMu, 
Kecantikannya, kecantikanMu,
Keindahannya, keindahanMu,
kekuatannya kekuatanMu,
kekuasaannya, kekuasaanMu
perlindungannya, perlindunganMu.

Ya Allah,
Jika rezeki masih di langit, turunkanlah,
jika  di dalam bumi, keluarkanlah,
jika sukar, permudahkanlah,
jika haram, sucikanlah
jika jauh, dekatkanlah.


Berkat waktu dhuha, 
kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu,
Limpahkan kepadaku
segala yang Engkau telah limpahkan
kepada hamba-hambaMu yang soleh.

30 Mac, 2011

Amalan Memurahkan Rezeki

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad,Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3.Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4.Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki,
berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin,juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7.Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8.Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9.Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10.Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti hariansebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11.Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12.Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13.Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14.Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah

15.Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16.Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat
menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu;
misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi
doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu,bukalah
pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, diatidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18.Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19.Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah
beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya,hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20.Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan(keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattabr.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Sumber artikel: http://mr-tazkirah.blogspot.com/

13 Mac, 2011

Hadis Tentang Akhir Zaman

15 MAKSIAT YANG MENURUNKAN BALA.

1- apabila harta negara hanya beredar di kalangan orang tertentu sahaja
2- apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan
3- zakat dijadikan hutang
4- suami menurutkan kehendak isteri
5- anak derhaka terhadap ibunya
6- sedangkan dia berbaik-baik dengan kawan-kawannya
7- dia suka menjauhkan diri dari ayahnya
8- suara sudah ditinggikan di dalam masjid
9- yang menjadi ketua suatu kaum, adalah orang yang terhina di antara mereka
10- seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya
11- Arak sudah diminum di merata tempat
12- kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki
13- para artis disanjung-sanjung
14- muzik banyak dimainkan
15- generasi akhir umat ini menyalahkan generasi pertama (Para Sahabat)

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau mereka akan diubah menjadi makhluk lain...........HR: Tirmizi

30 Januari, 2011

Hukum MLM

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa secara amnya hukum Multi Level Marketing (MLM) adalah HARUS. MLM itu harus hukumnya sekiranya:
  • Transaksi iaitu akad antara penjual dan pembeli dilakukan atas kerelaan dua-dua belah pihak iaitu atas dasar suka sama suka dan tiada paksaan.
  • Barang yang diperdagang atau dijualbeli suci, bermanfaat dan sahih sehingga tiada unsur kesamaran atau penipuan.
  • Harga barangan yang diperjualbeli adalah wajar dan tidak membebankan.
  •  
    Tetapi ada beberapa sebab yang akan membatal dan mengubah hukum harus tersebut kepada Haram:
    • 1) Hasil pendapatan bukan dari hasil penjualan barang.
    • 2) Barangan yang ditawarkan tidak berkualiti dan benar-benar berguna atau mempunyai kajian saintifik.
    • 3) Ahli menyertai MLM kerana keinginan terhadap pendapatan yang dijanjikan bukan produknya.
    • 4) Harga jauh tinggi daripada biasa.  
    • 5) Belian peribadi minimum (target) sebagai syarat komisyen.
    Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari orang bawahanya (downline), setiap kali ia mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa peratus dari yuran ahi tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan. Ia merupakan satu bentuk Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl. 


    Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web atau ebook yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer, sedangkan harganya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun). 


    Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193. (ini lebih kepada perniagaan internet seperti Login Facebook Dapat RM100, Tunai Segera, RM20 Segera, MySpaceMoney, DAPATWANG dan sebagainya).
    • 6) Jual beli melibatkan barangan yang diharamkan dalam Islam.  
    • 7) Terdapat juga unsur mirip “shafqatayn fi shafqah”, atau bay’atayn fi bay’ah, (iaitu dua aqad jenis jual beli dalam satu). Contohnya “aku jual barang water filter ini dengan harga RM 2000 dengan syarat engkau jadi wakil jualanku dengan komisyen sebanyak 3 % dari harga jualanmu dan aku beri mandat kamu untuk jadi lantik ahli baru dan setiap jualannya kamu akan dapat 1 % dengan syarat kamu ada jualan sendiri sebanyak RM 1000 setiap bulan”.
    (Jawapan dari pihak JAKIM berhubung Hukum MLM).
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...