05 April, 2007
Adab Menuntut Ilmu
Setiap perkara yang kita lakukan perlu mengikut adab. Dalam menuntut ilmu, terdapat adab-adab yang perlu diamalkan supaya perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan teratur dan berkesan :
• Niat
Seseorang pelajar mestilah memasang niat yang suci dalam hatinya. Niat yang baik itu menjernihkan hati hingga mudah memahami pelajaran. Niat yang penuh keihklasan menyingkirkan syaitan dan mengundang dan nur Illahi.
• Azam
Seseorang pelajar mestilah mempunyai kemahuan keras untuk memahami sesuatu ilmu. Allah berfirman di dalam Al-Quran
"Hendaklah engkau berhati teguh seperti keteguhan hati para Rasul yang memiliki kemahuan keras." Surah Al-Ahqaf :35
• Tekun
Pelajar mesti memperhatikan pelajaran dengan serius. Diriwayatkan :
Telah berkata Ibnu Mas'ud :"Adalah Rasulullah S.A.W apabila berdiri di atas mimbar, kami sekelian menghadap beliau dengan wajah-wajah kami"
[Hadis Riwayat At-Tarmizi]
Dalam hadis yang lain ada diingatkan perlunya diam di kala khutbah (pengajaran) berlangsung, supaya isi pelajaran dapat diserap dengan baik.
• Disiplin
Seseorang yang menuntut ilmu perlu ada sikap disiplin. Ini penting dalam menentuarahkan matlamat kita untuk mendapatkan ilmu. Jika sikap disiplin dapat diamalkan dan dipupuk dalam diri pelajar, nescaya perlaksanaan pembelajaran menjadi mudah. Pelajar boleh menentukan dan merancang kaedah pembelajarannya dan dapat mencorak masa depan sendiri sejak awal.
• Taat
Selain sikap disiplin, sikap taat juga penting. Seorang pelajar itu perlu taat pada gurunya. Ini kerana ketaatan seorang yang jahil kepada orang yang terpelajar adalah mengikut perintah agama iaitu ketaatan seluruh umat kepada Rasulullah S.A.W ketika Baginda bersabda:
"Ambillah apa yang didatangkan kepada Rasul kepadamu dan apa yang dilarangnya hendaklah kamu jauhi."
Juga firman Allah yang bermaksud:
"Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia, dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah".
Surah Al-Hasyr:7
• Hormat
Pelajar perlu menghormati guru yang mengajarnya supaya wujud keadaan yang harmoni dan hubungan kasih-sayang. Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hassan Al-Mawardi
"Muliakan orang yang kamu belajar daripadanya". "Muliakanlah guru-guru agama, kerana barangsiapa memuliakan mereka maka bererti mereka memuliakan aku".
• Memelihara Makanan dan Minuman
Pada zaman Rasulullah S.A.W, Baginda amat menitik beratkan soal pemakanan dan Baginda pernah menyebut tentang seorang manusia yang permintaannya tidak dimakbulkan oleh Allah S.W.T walaupun dia sering menadah tangan dan menyebut 'Ya Allah, Ya Allah'. Ini disebabkan sumber pemakanan dan minuman yang haram dan mempunyai unsur syubhah. Oleh itu pemakanan perlu dijaga untuk mendapat kecerdasan otak, kesihatan fizikal serta keberkatan dalam pembelajaran
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan