Sahabat

31 Julai, 2011

28 Julai, 2011

Adab Berpuasa Ramadhan


Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat cerdik sungguh.. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi siang dan malam sepanjang Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti Solat Terawih, Solat Witir, Solat Tahajjud,
Tadarus Al-Quran, berzikir, berdoa dan sebagainya.

p/s: Salam Ramadhan Karim Al-Mubarak 1432H kepada semua pengunjung blog ini. Semoga kita dapat menghayati Ramadhan dan memanfaatkan Ramadhan pada tahun ini dengan bersungguh-sungguh. Amin

23 Julai, 2011

Puasa di Bulan Syaaban

Disunatkan berpuasa keseluruhan hari di bulan Sya’ban atau kebanyakan harinya. Ini berdasarkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa (sunat) sebulan penuh dalam setahun kecuali di bulan Sya’ban di mana baginda menyambungnya dengan Ramadhan” (HR Imam Abu Daud dan an-Nasai). ‘Aisyah r.a. pula menceritakan; “Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Menurut ulamak; difahami dari hadis-hadis di atas bahawa Nabi s.a.w. adakalanya berpuasa sebulan penuh di bulan Sya’ban dan adakalanya baginda tidak berpuasa sebulan penuh tetapi pada kebanyakan harinya sahaja.
Apa hikmahnya Rasulullah s.a.w banyak berpuasa di bulan Sya’ban?

Seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid r.a. pernah bertanya Nabi s.a.w. kenapa beliau banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Nabi s.a.w. menjawab; “Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam an-Nasai)
PUASA SELEPAS NISFU SYA’BAN
Sabda Nabi s.a.w.;
إِذَا بقي نصفٌ من شَعبَانَ فَلاَ تصُومُوا
“Apabila berbaki separuh dari bulan Sya’ban maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)
Berdasarkan hadis ini dilarang berpuasa selepas nisfu Sya’ban bermula dari tanggal 16 haribulan hinggalah akhir bulan terutamanya sehari atau dua hari sebelum Ramahan (termasuklah hari Syak yang akan disebutkan nanti), sama ada puasa sunat atau puasa kerana ihtiyat (yakni dengan niat puasa Ramadhan sebagai berhati-hati) yang kebiasaannya berlaku di penghujung Sya’ban. Menurut Imam ar-Ruyani; mendahului Ramadhan dengan puasa selepas nisfu Sya’ban hukumnya adalah makruh. Adapun sehari atau dua hari sebelumnya, maka hukumnya adalah haram.
Namun menurut ulamak dikecualikan dari larangan berpuasa selepas Nisfu Sya’ban di atas orang-orang berikut;
  1. Orang yang menyambung puasa yang dimulainya sebelum bulan Sya’ban masuk separuh kedua (yakni sebelum tanggal 16 haribulan) sekurang-kurangnya puasa pada hari nisfu Sya’ban. Dan disyaratkan puasanya itu berterusan hinggalah ke penghujung Sya’ban.
  2. Orang yang mempunyai kebiasaan puasa tertentu seperti puasa isnin dan khamis, puasa selang sehari atau puasa ad-dahri, kemudian puasanya itu secara kebetulannya melintasi hari-hari selepas nisfu Sya’ban.
  3. Orang-orang yang berpuasa dengan bersebab seperti nazar, kaffarah atau Qadha’ (termasuklah qadha’ puasa sunat).
PUASA SEHARI ATAU DUA HARI SEBELUM RAMADHAN
Dilarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan berdalilkan sabda Rasulullah s.a.w. iaitu;
لا تَقَدَّمُوا شَهرَ رَمضَانَ بصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمََيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
“Janganlah engkau mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka bolehlah ia berpuasa”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
Sebahagian ulama’ berpendapat; pengharaman tersebut adalah dengan niat ihtiyat kepada Ramadhan. Namun bagi ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie; pengharaman tersebut merangkumi juga puasa sunat kecuali dalam bagi tiga orang yang disebut tadi;
  1. Orang yang menyambung puasa yang dilakukan sebelumnya
  2. Orang yang puasa kerana kebetulan dengan kebiasaan berpuasanya.
  3. Orang berpuasa dengan bersebab seperti puasa Qadha, Nazar dan sebagainya.
PUASA HARI SYAK
Dilarang berpuasa pada hari syak berdalilkan hadis dari ‘Ammar bin Yasir r.a. yang menceritakan;
من صَامَ اليومَ الَّذِي شُكَّ فِيهِ فقد عصَى أَبا القاسمِ
“Sesiapa berpuasa pada hari syak, maka sesungguhnya ia mengingkari Abal-Qasim (gelaran bagi Rasulullah s.a.w.)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Hari syak ialah hari ke 30 Sya’ban yang timbul syak atau keraguan di kalangan orang ramai; apakah ia masih bulan Sya’ban atau telah masuk bulan Ramadhan? Keraguan itu timbul kerana ada suara-suara yang memperkata atau menghebohkan bahawa anak bulan Ramadhan telah kelihatan, namun tidak ada saksi yang adil atau yang boleh diterima yang memberitahu atau mendakwa ia melihat anak bulan itu. Hari syak ini diharamkan berpuasa sama ada dengan niat puasa Ramadhan sebagai ihtiyaht (yakni berhati-hati) atau puasa sunat. Jika ada yang berpuasa juga pada hari syak, puasanya batal dan ia berdosa. Walau bagaimanapun, dikecualikan larangan tersebut dari tiga orang yang disebut tadi.
Wallahu a’lam.

19 Julai, 2011

Fadhilat Solat Dhuha


ISLAM adalah agama yang serba lengkap meliputi­ keseluruhan aspek penghidupan termasuk dalam usaha mencari sumber rezeki. Dalam mencari rezeki, berbagai kaedah ditunjukkan oleh nabi kepada kita. Antara kaedahnya ialah dengan memanjatkan doa kepada Allah supaya dipermudahkan usaha pencarian sumber hidup. Untuk itu solat dhuha adalah jawapannya.

Solat Dhuha boleh menjadi senjata paling unik yang disediakan Allah buat setiap hamba-Nya membuka pintu rezeki. Sebenarnya solat Dhuha adalah petunjuk yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Dikatakan baginda selalu melakukan solat Dhuha walau dimana saja.

Rasulullah bersabda, “Allah yang Maha Mulia lagi Maha Agung menyatakan “Wahai anak Adam. Cukuplah Aku dengan melakukan empat rakaat solat Dhuha pada pagi hari, maka Aku pasti mencukupi keperluan mu pada akhir hayatmu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Ya’la)”

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menjauhkan kemiskinan dan tidak ada orang yang memelihara solat kecuali orang yang bertaubat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi). Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman: “Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.” (Riwayat Ahmad).Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.
Banyak hadis-hadis yang mengalakkan solat sunat Dhuha dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya: “Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”  Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas” (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Biasanya selepas al-Fatihah di rakaat pertama, digalakkan kita membaca Surah Al-Syams dan di rakaat kedua selepas membaca al-Fatihah dibaca pula  Surah ad-Dhuha. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikannya sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

Doa Dhuha:

 
Ya Allah,
Sesungguhnya waktu Dhuha itu DhuhaMu, 
Kecantikannya, kecantikanMu,
Keindahannya, keindahanMu,
kekuatannya kekuatanMu,
kekuasaannya, kekuasaanMu
perlindungannya, perlindunganMu.

Ya Allah,
Jika rezeki masih di langit, turunkanlah,
jika  di dalam bumi, keluarkanlah,
jika sukar, permudahkanlah,
jika haram, sucikanlah
jika jauh, dekatkanlah.


Berkat waktu dhuha, 
kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu,
Limpahkan kepadaku
segala yang Engkau telah limpahkan
kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...