Sahabat

28 September, 2010

Persoalan Tentang Puasa Enam

1. Asas kepada amalan puasa enam hari pada Bulan Syawwal ini ialah sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll).
2. Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa puasa enam hari pada Bulan Syawwal adalah sunat. Walaupun al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H) menganggap makruh puasa enam hari pada Bulan Syawwal, namun pendapat tersebut dianggap tidak kuat.
3. Berasaskan hadis ini maka kita dapat fahami bahawa sesiapa yang melakukan dua perkara; pertama, berpuasa pada bulan Ramadan. Kedua, berpuasa enam hari pada Bulan Syawwal. Maka ganjarannya seperti dia berpuasa setahun. Ertinya, jika dia hanya berpuasa Ramadan sahaja tanpa enam hari pada bulan Syawwal, dia tidak memperolehi fadilat ini. Demikian juga jika dia hanya berpuasa enam hari pada bulan Syawwal tanpa diselesaikan puasa Ramadan, maka dia juga tidak memperolehi fadilat ini.
4. Berdasarkan aturan ungkapan dalam hadis ini, maka yang terbaik seseorang yang mempunyai qada puasa Ramadan, sebaiknya hendaklah menyelesaikan qada (gantian) Ramadan dahulu kemudian diikuti enam hari pada Bulan Syawwal. Jika tidak berkesempatan lalu berpuasa enam dahulu dan qada selepas itu, mudah-mudahan amalan itu tetap diterima Allah kerana secara umumnya dia menunai keduanya, cuma tidak berdasar susunan sahaja.
5. Terdapat perbezaan dalam kalangan ulama; apakah afdal ditunai puasa enam hari pada bulan Syawwal itu sebaik sahaja selepas hari raya secara berturut-turut, atau mana-mana enam hari pada bulan Syawwal itu sama sahaja. Pendapat Mazhab Ahmad samada ditunaikan berturut-turut atau tidak adalah sama sahaja. Pendapat Mazhab Hanafi dan Syafi’i: Afdalnya berturut-turut selepas hariraya (lihat: Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah 1/380, Beirut: Dar al-Fikr).
6. Walaupun di sana ada yang berpendapat yang afdalnya adalah berturutan selepas hariraya disebabkan ungkapan ‘kemudian dia susulinya’, namun fadhilat puasa enam ini tetap diperolehi oleh sesiapa sahaja yang berpuasa enam hari tersebut dalam bulan Syawwal sekalipun bukan berturut-turut selepas hari raya. Kata al-Imam al-Nawawi:
“Afdalnya dilakukan puasa enam hari berturut selepas hari raya. Jika dilewatkan sehingga akhir Syawwal tetap mendapat fadilat ‘disusuli enam hari’ kerana ia menyusuli enam hari dalam bulan Syawwal” (Syarh Sahih Muslim, 8/238).
7. Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi ketika menjawab persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu berturut-turut selepas hari raya atau tidak, berkata:
“Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).
8. Oleh kerana hari-hari puasa enam Syawwal itu ada pilihan, sementara kadang-kadang waktu kemeriahan keluarga itu sukar diperolehi melainkan seperti pertemuan semasa cuti hari raya ini, maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunat pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Puasa sunnat digalakkan, namun menjaga hubungan silaturrahim dan perasaan kaum keluarga juga amat penting. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: “saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!). Jelas, baginda tidak menggalakkan berpuasa jika ada jamuan demi menjaga perasaan sahabat handai. Maka menjaga perasaan kaum keluarga lebih utama.
9. Tiada dalam Islam apa yang dinamakan dengan ‘hariraya puasa enam’. Tiada juga ibadat khusus hari raya puasa enam Syawwal seperti ‘solat tasbih hariraya puasa enam’ yang dibuat di sesetengah tempat. Ini semua perkara yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Sabda Nabi s.a.w.:
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak”. (Riwayat Muslim).
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

17 September, 2010

AQIQAH


 AQIQAH UNTUK ANAK
 
Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh  Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu  terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah) 

Hukum Aqiqah

Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.


Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)




Syarat sah aqiqah ialah:
  • Berniat aqiqah ketika menyembelih.
  • Binatang ternakan berkaki empat iaitu kambing, biri-biri, kibas, lembu, kerbau dan unta.
  • Memenuhi syarat-syarat sembelihan.
  • Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut
  • Disembelih pada waktunya iaitu hari ketujuh selepas kelahiran @ bila-bila masa sebelum anak tersebut baligh
  • Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur.
Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan Qurban adalah seperti berikut:
 

Binatang
         Umur
Biri-biri
1 tahun atau lebih
Kambing
2 tahun atau lebih
Lembu/kerbau
2 tahun atau lebih
Unta
5 tahun atau lebih


 Sunat-sunat Aqiqah ialah:
  • Dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran
  • Menyembelih ketika matahari sedang naik (pagi)
  • Mencukur rambut bayi selepas penyembelihan
  • Memberi nama yang baik kepada bayi
  • Berdoa ketika hendak menyembelih
  • Daging dimasak manis.
  • Tidak mematahkan sendi tulang binatang tersebut ketika dimasak.
  • Daging aqiqah disunatkan buat jamuan atau kenduri 
   Hikmah Aqiqah
  • Tanda kesyukuran diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk menjalankan syariat Islam dan dianugerahkan anak
  • Menggalakkan amalan sedekah.
  • melepaskan penghalang pada bayi dalam memberi syafaat kepada orang tua mereka
  • Sebagai mengikuti sunnah Rasulullah.
  • Mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat.
  • Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak dalam diri.
  • Memulakan kehidupan seorang bayi dengan amalan yang baik
  • membiasakan berkorban bagi orang tua
Bagaimana Jika Belum Pernah Aqiqah Sewaktu Kecil?
TIDAK ADA TUNTUNAN BAGI ORANG DEWASA UNTUK AQIQAH ATAS NAMA DIRINYA SENDIRI

Sebagian ulama mengatakan : "Seseorang yang tidak diaqiqahi pada masa kecilnya maka boleh melakukannya sendiri ketika sudah dewasa". Mungkin mereka berpegang dengan hadist Anas yang berbunyi : “Rasulullah mengaqiqahi dirinya sendiri setelah beliau diangkat sebagai nabi.” [Hadits Riwayat Abdur Razaq dan Abu Syaikh dari jalan Qatadah dari Anas] 


Jadi, cuba tanya ibubapa anda, sudahkah anda aqiqah sewaktu kecil? 

Sumber: http://episodbaru.blogspot.com/2010/09/hukum-aqiqah.html

10 September, 2010

Amalan Dan Kesilapan Di Hari Raya

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA
Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".
2) Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."
3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;
Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
Disebut dalam sebuah riwayat :
قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya  dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )
5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).
6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;
Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)
7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA
Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-
1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.
2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.
3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.
4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.
5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)
6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.
 
7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh. 

Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.

Selamat Hari Raya Idil Fitri

"Taqabbalallahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"

Dipetik dari: http://www.zaharuddin.net/content/view/612/72/ 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...