“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll).2. Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa puasa enam hari pada Bulan Syawwal adalah sunat. Walaupun al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H) menganggap makruh puasa enam hari pada Bulan Syawwal, namun pendapat tersebut dianggap tidak kuat.
3. Berasaskan hadis ini maka kita dapat fahami bahawa sesiapa yang melakukan dua perkara; pertama, berpuasa pada bulan Ramadan. Kedua, berpuasa enam hari pada Bulan Syawwal. Maka ganjarannya seperti dia berpuasa setahun. Ertinya, jika dia hanya berpuasa Ramadan sahaja tanpa enam hari pada bulan Syawwal, dia tidak memperolehi fadilat ini. Demikian juga jika dia hanya berpuasa enam hari pada bulan Syawwal tanpa diselesaikan puasa Ramadan, maka dia juga tidak memperolehi fadilat ini.
4. Berdasarkan aturan ungkapan dalam hadis ini, maka yang terbaik seseorang yang mempunyai qada puasa Ramadan, sebaiknya hendaklah menyelesaikan qada (gantian) Ramadan dahulu kemudian diikuti enam hari pada Bulan Syawwal. Jika tidak berkesempatan lalu berpuasa enam dahulu dan qada selepas itu, mudah-mudahan amalan itu tetap diterima Allah kerana secara umumnya dia menunai keduanya, cuma tidak berdasar susunan sahaja.
5. Terdapat perbezaan dalam kalangan ulama; apakah afdal ditunai puasa enam hari pada bulan Syawwal itu sebaik sahaja selepas hari raya secara berturut-turut, atau mana-mana enam hari pada bulan Syawwal itu sama sahaja. Pendapat Mazhab Ahmad samada ditunaikan berturut-turut atau tidak adalah sama sahaja. Pendapat Mazhab Hanafi dan Syafi’i: Afdalnya berturut-turut selepas hariraya (lihat: Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah 1/380, Beirut: Dar al-Fikr).
6. Walaupun di sana ada yang berpendapat yang afdalnya adalah berturutan selepas hariraya disebabkan ungkapan ‘kemudian dia susulinya’, namun fadhilat puasa enam ini tetap diperolehi oleh sesiapa sahaja yang berpuasa enam hari tersebut dalam bulan Syawwal sekalipun bukan berturut-turut selepas hari raya. Kata al-Imam al-Nawawi:
“Afdalnya dilakukan puasa enam hari berturut selepas hari raya. Jika dilewatkan sehingga akhir Syawwal tetap mendapat fadilat ‘disusuli enam hari’ kerana ia menyusuli enam hari dalam bulan Syawwal” (Syarh Sahih Muslim, 8/238).7. Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi ketika menjawab persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu berturut-turut selepas hari raya atau tidak, berkata:
“Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).8. Oleh kerana hari-hari puasa enam Syawwal itu ada pilihan, sementara kadang-kadang waktu kemeriahan keluarga itu sukar diperolehi melainkan seperti pertemuan semasa cuti hari raya ini, maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunat pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Puasa sunnat digalakkan, namun menjaga hubungan silaturrahim dan perasaan kaum keluarga juga amat penting. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: “saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!). Jelas, baginda tidak menggalakkan berpuasa jika ada jamuan demi menjaga perasaan sahabat handai. Maka menjaga perasaan kaum keluarga lebih utama.
9. Tiada dalam Islam apa yang dinamakan dengan ‘hariraya puasa enam’. Tiada juga ibadat khusus hari raya puasa enam Syawwal seperti ‘solat tasbih hariraya puasa enam’ yang dibuat di sesetengah tempat. Ini semua perkara yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Sabda Nabi s.a.w.:
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak”. (Riwayat Muslim).Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan