30 September, 2008
SALAM AIDILFITRI
Di kesempatan ini saya ingin memohon ampun segala salah dan silap zahir dan batin. Semoga puasa kita pada tahun ini diterima oleh Allah SWT serta mendapat keampunan dan rahmat daripadaNya. Ameen
06 September, 2008
Manfaat lapar untuk kesihatan hati
Luqman Al-Hakim menasihati anaknya, “Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah.”
Abdullah bin Mas’ud berkata, “Empat perkara yang mengelapkan hati atau melembapkan otak: perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa-dosa yang lalu dan panjang angan-angan.”
Berkata Dzunnun: “Saya tidak pernah kenyang kecuali saya berbuat maksiat atau berkeinginan untuk bermaksiat”.
Berkata ‘Aisyah r.aha:“Bid’ah pertama yang terjadi setelah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam adalah kenyang sesungguhnya suatu kaum ketika kenyang perutnya keras nafsunya untuk mendapatkan dunia”
Berkata al Imam ash Shan’ani rahimahullah :“Sesungguhnya lapar itu adalah penjaga dari penjagaan Allah dan pertama yang terhindar dengan lapar adalah dorongan syahwat jima’ dan syahwat berbicara kerana bagi orang yang lapar tidak ada keinginan untuk berbicara kecuali sangat penting sehingga dia terhindar dari berbagai penyakit lisan, pada orang yang lapar juga tidak bangkit padanya syahwat jima’nya sehingga terhindar dari penyaluran syahwat yang diharamkan, orang lapar juga sedikit tidur kerana orang yang banyak makan dan minum akan banyak tidur yang dapat membawa kepada kerugian di dunia dan akhiratnya, terluput dari berbagai kemanfataan duniawi dan ukhrowi”.
Berkata Al-Imam Ibnu Rajab rahimahullah: “Lapar itu menyebabkan lembutnya hati, kuatnya pemahaman, lembutnya jiwa, lemahnya nafsu dan kemarahan. Sedangkan kenyang menyebabkan lawannya.”
Berkata Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah: “Wahai Bani Adam, makanlah sepertiga perutmu, minumlah sepertiga perutmu dan biarkan sepertiga untuk bernafas dan berfikir.”
Ibnu Abi Dunya meriwayatkan bahawa Ibnu Umar berkata: “Aku tidak pernah kenyang sejak aku masuk Islam.”
Diriwayatkan dari Amir bin Qois, bahawa dia berkata: “Jauhilah oleh kalian kenyang, kerana kenyang itu mengeraskan hati.”
Telah berkata Malik bin Dinar rahimahullah: “Tidak semestinya, seorang mukmin menjadikan perutnya paling besar cita-citanya dan menjadikan syahwatnya menguasai dirinya.”
Berkata Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah: “Adalah bapa kita Adam diuji dengan makan, dan terus kalian akan diuji dengan makan sampai hari kiamat.”Beliau juga berkata: “Barangsiapa mampu menguasai perutnya maka dia akan mampu menguasai amal solehnya.”Beliau berkata lagi: “Tidaklah hikmah itu berada di perut yang penuh.”
Diriwayatkan dari Abdul Aziz bin Abi Dawud bahawa telah dikatakan padanya: “Lapar itu banyak menolong seseorang bersegera melakukan kebaikan.”
Berkata Abu Imran Al-Juwaini: “Sesungguhnya nafsu, jika lapar dan haus maka bersih hati dan lembut dan jika perut kenyang dan lega maka hatinya buta.”
Beliau berkata: “Kunci dunia adalah kenyang dan kunci akhirat adalah lapar, dan pangkal segala kebaikan dunia dan akhirat adalah takut kepada Allah. Sesungguhnya Allah memberikan dunia ini kepada orang yang dicintai dan yang tidak, dan sesungguhnya lapar itu di sisi Allah ada simpanan yang ditunda dan tidak diberikan kecuali kepada orang yang dicintai-Nya.”
Berkata Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah :“Saya tidak pernah kenyang selama 16 tahun, kerana kenyang itu memberatkan badan, menghilangkan kecerdasan, membuat banyak tidur dan melemahkan seseorang untuk melakukan ibadah.”
“Bukanlah puasa itu hanya sekadar menghentikan makan dan minum tetapi puasa itu ialah menghentikan omong-omong kosong dan kata-kata kotor.”
(H.R.Ibnu Khuzaimah)
Demikian kehidupan Rasulullah dan para shahabat. Beliau dan para shahabatnya lebih memilih banyak lapar dari pada kenyang kerana kefahamannya terhadap faedah lapar dan bahaya kenyang, lebih memilih mengekang syahwatnya daripada menurut syahwat, dan bukannya pada mereka tidak ada makanan tetapi beliau lebih memilih keadaan yang lebih baik dan lebih sempurna daripada lawannya. Mereka makan dan minum sekadar dapat melaksanakan ibadah, kerana hanya untuk itu (untuk beribadah) diciptakannya jin dan manusia.
Rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya menurut Imam Al-Ghazali
2. Memelihara lidah dari bersembang kosong, berbohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya’.
3. Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah Allah s.w.t telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud: “Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.” (al-Maidah: 42)
4. Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat dosa seperti tangan dan kaki dan memeliharanya juga dari segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut dari memakan barang-barang yang bersyubhat waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa dari makanan yang halal, kemudian dia berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasanya itu selain dari lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).”
Ada yang mengatakan bahawa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula mengatakan orang itu ialah orang yang menahan dirinya berpuasa dari makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci maki orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengertikannya dengan orang yang tiada memelihara anggota-anggotanya dari dosa.
5. Janganlah dia membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun dari makanan yang halal, sehingga terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dari makanan yang halal. Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah (syaitan) dan melawan syahwat kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkan pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya.
Sebagaimana yang termaklum bahawa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai-bagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan sebagai cara-cara yang menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tidak dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka ia terlindung dari kerajaan langit.
6. Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harap kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah, sehingga tergolongnya ia ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah) ataupun puasanya tertolak maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh dari rahmat Allah Ta’ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Ta’ala.
Kajian sains dan ilmu moden berkenaan kelebihan puasa
Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.
Dr. Alan Cott, Seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa.
Puasa juga insyaAllah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan
Sedangkan dunia perubatan pula telah mengenal pasti pelbagai punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan SeDunia ialah disebabkan sindrom metabolik. Sindrom ini meliputi 4 masalah iaitu: (1) glukos darah tinggi (2) Tekanan darah tinggi (3) Lipid darah tinggi dan (4) lebih berat badan atau obesiti. Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindrom metabolik yang melanda dunia masa kini.
Al-Harits seorang doktor Arab mengatakan :“Yang banyak membunuh manusia adalah kerana manusia suka memasukkan makanan pada perut sebelum makanan dalam perut dicerna.”
Dr. Alexis Carel seorang doktor antarabangsa dan pernah memperolehi penghargaan nobel dalam bidang kedoktoran telah menyatakan bahawa dengan berpuasa dapat membersihkan pernafasan.
Puasa dapat manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat sementara waktu. Dan ketika berpuasa itu lah perut kita berehat dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya. Sama juga ibaratnya seperti enjin kereta yang mungkin tidak tahan lama jika dipaksa untuk sentiasa berjalan tanpa henti.
28 Julai, 2008
Kronologi Israk dan Mikraj
(27 Rejab 1429H bersamaan 30 Julai 2008)
Israk dan Mikraj terjadi pada malam Isnin, 27 Rejab tahun ke 11 kenabian bersamaan 622M dalam usia 51/52 tahun.
Perkara-perkara yang berlaku sebelum Israk dan Mikraj:
1. Isteri Rasullullah SAW wafat.
2. Bapa saudara Rasullullah SAW wafat
3. Tentangan dan dipulau.
Tahun tersebut merupakan tahun kesedihan bagi Rasullullah SAW. Dalam keadaan demikian, Rasullullah SAW di Israk Mikrajkan sebagai penghibur duka laranya. Ketika Rasullullah SAW sedang berbaring-baring, Jibril datang bersama Mikail. Dada Rasullullah SAW dibelah dicuci dengan air zamzam dan dimasukkan: hikmah (bijaksana ), iman (keyakinan ), sabar, berani, ilmu, Islam (kepatuhan ), dan dicap di belikatnya tanda kenabian dan dijahit semula tanpa sebarang bekas.
Israk ialah perjalanan Rasullullah pada malam hari dari Masjid Al Haram di Mekah ke Masjid Al Aqsa di Baitul Maqdis. Maka didatangkanlah Buraq (binatang syurga) sebagai alat/ kenderaan untuk Israk. Kemudian berhenti di Madinah dan sembahyang dua rakaat (tempat beliau akan berhijrah kelak). Berhenti di Madyan dan sembahyang dua rakaat (tempat Nabi Musa munajat). Berhenti di Baitul Laham dan sembahyang dua rakaat (tempat Nabi Isa lahir).
Berikut ini beberapa gambaran peristiwa yang diperlihatkan Allah kepada Rasullullah SAW di sepanjang masa Israk:
1. Dikejar oleh Jin Ifrit yang membawa api (awal-awal perjalanan sudah ada halangan dan rintangan).
2. Petani yang bercucuk tanam segera memungut hasilnya tak henti-henti (pahala orang yang berjuang (jihad) dan bersedekah di jalan Allah ).
3. Bau wangi kubur Masyitah dan anaknya (wanita yang berani mati dalam mempertahankan keimanannya di hadapan pemerintah yang zalim).
4. Manusia yang memecahkan kepalanya sendiri dengan batu (orang yang kepalanya berat untuk sujud / sembahyang).
5. Manusia bercawat makan rumput dan buah berduri serta bara api (orang yang tidak mahu mengeluarkan zakatnya).
6. Manusia yang memakan daging busuk (orang yang suka berzina, ada barang halal tetapi makan barang haram).
7. Kayu berduri yang mengait sesiapa saja yang lalu di sisinya (orang yang suka menganggu orang lain membuat kebajikan).
8. Manusia yang berenang dalam lautan darah dan dilempar dengan batu (orang yang makan riba atau bunga).
9. Manusia yang tak mampu mengangkat bebanan yang dipikulnya tetapi dia terus menambah lagi bebanannya (orang yang suka menerima jawatan/ amanah tetapi tidak mampu melaksanakannya).
10. Manusia yang menggunting lidahnya sendiri dengan gunting api (orang yang hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakannya).
11. Manusia yang mencakar muka dan dadanya sendiri dengan kuku tembaga (orang yang suka mengata/ mengumpat orang lain).
12. Lembu besar keluar dari lubang kecil
13. Suara panggilan dari sebelah kanan (seruan Yahudi).
14. Suara panggilan dari sebelah kiri (seruan Nasrani).
15. Suara wanita cantik memanggil / merayu (seruan dunia/ kemewahan).
16. Orang tua menghalang di tengah jalan (iblis merayu/ memujuk).
17. Nenek tua hendak bertanya (perumpamaan umur dunia sudah tua).
Sesampainya di Baitul Maqdis, Rasullullah SAW berhenti , mengikat Buraq, sembahyang dengan roh-roh Nabi-Nabi, malaikat-malaikat di masjid, meminum susu dan menolak arak dan madu kemudian didatangkan Mikraj (tangga emas dan perak dari syurga) sebagai alat untuk pergi Mikraj ke langit bersama Jibril.
Beberapa peristiwa sewaktu Rasullullah SAW Mikraj ke langit:
1. Bertemu Nabi Adam a.s
2. Bertemu Nabi Isa a.s. dan Yahya a.s
3. Bertemu Nabi Yusuf a.s
4. Bertemu Nabi Idris a.s
5. Bertemu Nabi Harun a.s
6. Bertemu Nabi Musa a.s (diperlihatkan umatnya masuk syurga tanpa hisab).
7. Bertemu Nabi Ibrahim a.s (tanaman syurga).
8. Melawat syurga (ramai orang miskin).
9. Melawat ke neraka (ramai wanita).
10. Sidratul Muntaha (pohon).
11. Mendengar suara kalam sedang menulis.
12. Bertemu dengan manusia yang mukanya bercahaya (orang yang semasa di dunia lidah dan hatinya sentiasa mengingati Allah, rindu dan suka ke masjid dan taat kepada ibubapa).
13. Bertemu dan bercakap dengan Allah dan menerima perintah sembahyang
20 Julai, 2008
Hak sesama Muslim
Keterangan:
Hak orang muslim atau saudaranya
1. Mengucapkan salam jika bertemu sebagai langkah untuk menghormati dan merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama ummat Islam.
2. Menjawab jika memanggil. Perbuatan ini supaya tidak menyakiti saudara kita. Begitulah juga kalaulah kita memangggil saudara kita dan saudara kita tidak menyahut walupun sepatah malah dia pergi dengan selamba aje. Tentulah timbul perasaan yang tak senang di jiwa kita.
3. Memberi nasihat jika diperlukan. Agama Islam juga digelar sebagai nasihat. Ingat memperingati juga diperintah oleh Islam untuk kita melakukannya kerana perbuatan sedemikian memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.
4. Mendoakan kebaikan untuk orang muslim yang bersin dan memuji kepada Allah.
5. Menziarahi orang muslim yang sedang sakit dan berdoalah kepadanya seperti doa"Wahai tuhan manusia, hilangkanlah penderitaan ini, sembuhkanlah sakit, tuhanku yang menyembuhkan penyakitnya, tiada yang menyembuhkan melainkan tuhanku, iaitu sembuh yang tiada meninggalkan kesan penyakit." Ingatlah di antara kelebihan menziarahi orang sakit seperti sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seseorang muslim apabila ia menziarahi saudaranya yang muslim itu, bermakna dia berada di dalam kebun syurga sehinggalah dia kembali ke tempatnya".
6. Mengiringi jenazah orang muslim ke kubur sehingga selesai dikebumikan.
10 Jun, 2008
43 Penyebab Kesusahan
Terdapat beberapa perkara yang mempunyai kaitan dengan
kesusahan atau secara lebih khusus sebagai penyebab ditimpa
kesusahan dan penderitaan yang mana pada kebiasaannya kita
mengambil ringan tentang perkara tersebut.
Dalam kitab Al-Barakah fi Fadhl lis Sa'yi Wal Harakah yang
disusun oleh Abi Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman Al-Habsyi
telah diterangkan perkara yang mempunyai hubung kait dengan
kesusahan seseorang iaitu:
1. tidak sembahyang atau solat.
2. tidak membaca Bismillah ketika hendak makan.
3. makan atas pinggan yang terbalik.
4. memakai kasut atau sandal memulakan sebelah kiri.
5. menganggap ringan apa2 yang terjatuh dalam hidangan makanan.
6. berwuduk' di tempat buang air besar atau air kecil.
7. suka bersandar pada pintu rumah.
8. suka duduk di atas tangga.
9. membiasakan diri mencuci tangan di dalam pinggan selepas makan.
10. membasuh tangan dengan tanah atau bekas tepung.
11. tidak membersihkan rumah.
12. membuang sampah atau menyapu dengan kain.
13. suka membersihkan rumah pada waktu malam.
14. suka tidur di atas muka.
15. membakar kulit bawang.
16. menjahit baju yang sedang dipakai.
17. mengelap muka dengan baju.
18. berdiri sambil bercekak pinggang.
19. tidur tidak memakai baju.
20. makan sebelum mandi hadas.
21. tergesa-gesa keluar dari masjid selepas menunaikan solat subuh.
22. pergi ke pasar sebelum matahari terbit.
23. lambat pulang dari masjid.
24. doakan perkara yang tidak baik terhadap ibubapa dan anak-anak.
25. kebiasaan tidak menutup makan yang dihidangkan.
26. suka memadam pelita dengan nafas.
27. membuang kutu kepala dalam keadaan hidup.
28. membasuh kaki dengan tangan kanan.
29. membuang air kecil pada air yang mengalir.
30. memakai seluar sambil berdiri.
31. memakai serban sambil duduk.
32. mandi junub di tempat buang air atau tempat najis.
33. makan dengan menggunakan dua jari.
34. berjalan di antara kambing.
35. berjalan di antara dua perempuan.
36. suka mempermainkan janggut.
37. suka meletakkan jari jemari tangan pada bahagian lutut.
38. meletakkan tapak tangan pada hidung.
39. suka menggigit kuku dengan mulut.
40. mendedahkan aurat di bawah sinaran matahari dan bulan.
41. mengadap kiblat ketika membuang air besar atau air kecil.
42. menguap ketika solat.
43. meludah di tempat buang air besar atau air kecil.
(WALLAHU A'LAM)
29 Februari, 2008
ULAMA DAN POLITIK
Ulama' itu ialah mereka yang takut hanya kepada Allah dari kalangan mereka yang diberi pengetahuan dan kefahaman oleh Allah Azza Wajalla tentang Islam yang lengkap dan syumul itu. Untuk menjelaskan perkara ini Allah berfirman surah Fatir ayat 28 yang bermaksud "Hanyasanya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-hambaNya ialah ulama."
Untuk menentukan kedudukan mereka di dalam Islam. Allah berfirman lagi dalam surah Az-Zumar ayat 9 yang maksudnya: "Katakan (wahai Muhammad) apakah sama golongan yang berilmu dengan tidak berilmu, sesungguhnya yang mempunyai aqal fikiran yang waras sahaja yang selalu ingatkan perintah Allah".
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan golongan yang berilmu pengetahuan dan Allah amat mengetahui apa yang kamu kerja-
Dan kelebihan orang alim berbanding dengan orang yang beribadah seperti kelebihan bulan berbanding sekalian bintang. Dan para ulamak itu adalah pewarisnya kepada para nabi, dan sesungguhnya para Nabi itu tidak meninggalkan emas dan perak malahan mereka meninggalkan ilmu pengetahuan. Sesiapa yang menerimanya maka ia mendapat bahagian yang cukup sempurna."
Ternyata daripada pembincangan di atas bahawa ulama' itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Rasulullah s.a.w meletakkan mereka sebagai pewarisnya para Nabi. Pewarisnya para nabi bermaksud "...ganti di dalam urusan menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya".
Islam menghendaki supaya para ulama' menjadi pengganti nabi dalam urusan mentadbir dunia dan menjaga agama. Itulah yang difahami oleh para sahabat nabi dan para cerdik pandai Islam.Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Ibnul Khatab, Uthman Affan, Ali Bin Abi Talib dan lain-lain daripada khulafa' mengambil tempat Baginda Rasulullah s.a.w dalam urusan yang kita sebutkan di atas. Justeru itu, para cerdik pandai Islam yang menulis buku di bidang sakhsiah dan pentadbiran Baginda menyatakan bahawa jawatan-jawatan penting di dalam negara seperti khalifah, perdana menteri dan para hakim hendaklah disandang oleh para ulama' mujtahidin dari kalangan umat Islam.
Hal ini saudara akan dapati bila saudara-saudara membaca buku-buku yang ditulis oleh Imam Asy-Syafie, Al-Marbawi, Abu Ya'la, Ibnu Khaldun,Imam Haraimani, Imam Al- Ghazali dan lain-lain.Tertolak dari kajian-kajian dan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para alim ulama' yang muktabar di zaman silam maka para penulis dan penganalisa Islam di zaman sekarang ini membuat beberapa rumusan antara lain:
1. Pemerintahan Islam itu adalah pemerintahan yang berasaskan agama. Hal ini antara lainnya diasaskan kepada kata-kata Imam Al-Ghazali "Agama itu asas dan kerajaan itu pengawal. Maka sesuatu yang tidak mempunyai asas ia akan tumbang dan sesuatu yang tidak ada pengawalnya ia akan hilang."
2. Ia merupakan kerajaan yang dipandu oleh para ulama'. Hal ini adalah dipetik dari beberapa rumusan yang dibuat oleh para cendekiawan Islam yang mengatakan bahawa mengetahui syariat Islam sampai kepada peringkat ijtihad adalah salah satu daripada syarat-syarat kelayakan untuk menjadi ketua negara, perdana menteri dan hakim di dalam negara Islam.Dan hendaklah kamu menjalankan hukum (pemerintahan) di kalangan mereka berdasarkan kepada apa yang diturunkan oleh Allah.
Siapakah yang lebih arif tentang apa yang diturunkan oleh Allah kalau tidak para ulama'. Piagam Madinah jelas menyatakan bahawa rujukan kepada kerajaan Islam itu ialah kitab Allah dan Sunnah Rasulullah. Maksudnya:"Dan sesungguhnya apa jua yang berlaku di kalangan mereka yang menandatangani piagam ini, yang khuatiri berlaku kerosakan/ kehuruharaan maka kitab Allah dan sunnah RasulNya menjadi rujukan. "
Mengimbas kembali kepada apa yang dibentang dan apa yang berlaku di zaman Rasululullah s.a.w. dan zaman para Khulafa Ar- Rayidin mengajak kita berfikir dan membuat rumusan tentang kedudukan ulama' di dalam politik di sesebuah negara. Ia bukan sekadar melibatkan diri di dalam politik malahan menjadi tunggak kepada kepimpinan negara.
Hal ini jelas apabila Al-Imam Al-Mawardi mengatakan antara lain " Apabila berlaku kekosongan jawatan ketua negara maka dua golongan masyarakat haruslah tampil ke hadapan untuk mengisi kekosongan itu. Golongan pertama ialah golongan yang mempunyai kelayakan menjadi calon (ketua negara) manakala golongan kedua pula ialah golongan yang layak menjadi penapis calon. Golongan yang layak menjadi calon sudah barang tentu dari kalangan ulama' kerana salah satu daripada syarat-syarat kelayakan itu ialah memahami syariat sampai ke peringkat ijtihad".
Golongan ulama' bukan sekadar menjadi penasihat kepada negara/kerajaan tetapi mereka adalah pemegang polisi dan pelaksana kepada dasar negara.
Perancangan mengenai kedudukan ulama' dan keterlibatan mereka dalam politik tanahair berlaku
apabila negara-negara umat Islam disekularismakan oleh penjajah. Merekalah yang memisahkan agama dan politik. Mereka mendualismakan cara hidup umat Islam. Satu cara hidup perseorangan dan sekeluargaan dan satu lagi cara hidup bernegara.
Mereka mengekalkan cara hidup kekeluargaan mengikut hukum-hakam Islam, manakala cara hidup bernegara mereka pisahkan daripada Islam. Hal ini menjadikan sistem politik, pentadbiran, perundangan pendidikan, kemasyarakatan, perekonomian dan lain-lain di negara umat Islam dipisahkan daripada sistem Islam.
Justeru itu dalam sesebuah negara umat Islam hari ini diwujudkan dua penasihat: penasihat agama yang dinamakan mufti dan satu lagi penasihat undang-undang.Namun demikian para mufti tidak diberi apa-apa kuasa/peranan yang mustahak di dalam sesebuah negara. Mereka tidak dianggap orang penting. Pandangan mereka tidaklah wajib ditaati oleh kerajaan berbeza dengan penasihat undang-undang/peguam negara.
Ekoran daripada itu institusi ulama' tidak diberi penghargaan dan penghormatan yang sewajarnya.
Dalam keadaan begini ulama' pula berpecah kepada beberapa golongan. Hal ini bolehlah kita dapati di dalam perbincangan yang selanjutnya.
Ulama Islam Di Zaman Sekarang bolehlah dibahagikan kepada
1) Ulama' yang baik, bertaqwa, ikhlas, amalan dan ibadat mereka semata-mata kepada Allah. Namun demikian mereka mengasingkan diri daripada dunia. Mereka tidak mengambil tahu tentang permasalahan orang Islam walaupun sedikit.
Mereka saling tak tumpah seperti ahli-ahli tasawuf di zaman mutakhir Islam iaitu tasawuf yang negatif yang mengasingkan diri daripada dunia. Mereka melihat bahawa menjauhi diri daripada dunia adalah satu jalan selamat untuk mereka dan suatu amalan bertaqarrub kepada Allah Azza Wajalla.
Oleh kerana itu terdapat terlalu ramai dari kalangan orang-orang Islam dewasa ini yang menjadi mangsa kepada segala taghut dan sizalim.Ulama' tidak mengambil tanggung- jawab dalam mempertahankan orang-orang Islam samada pada hak-haknya, aqidahnya, kemuliaannya, kehormatannya dan lain-lain lagi.
Taghut (yakni pemerintah yang mementingkan diri sendiri sifat mengumpul harta dgn cara yang tak baik,menghalalkan arak dan judi,riba ,maksiat , menolak hukum Allah dan sebagainya) terus bermaharajalela tanpa mendengar sebarang peringatan dan nasihat untuk berbuat kebaikan.Sepatutnya para alim ulama' memberitahu betapa si zalim akhirnya pasti akan mendapat tentangan yang hebat daripada rakyatnya.
Kumpulan ulama' seperti ini terus membuang amalan yang dilakukan oleh orang yang terdahulu dari mereka. Walau apa pun yang terjadi mereka tidak bersedia untuk turun ke
2- Golongan yang sangat setia kepada Islam, cemburu kepadanya namun begitu mereka terlalu baik hati, niat mereka terlalu ikhlas. Mereka memberikan penilaian bahawa setiap orang yang mencium tangannya, menghadirkan diri di dalam majlis zikir serta menghadiri jemputan mereka sebagai orang yang cintakan agamanya.
Justeru itu ramai di kalangan penipu yang berjaya menipu ulama' yang seperti ini. Mereka dikurniakan untuk berkhutbah di masjid-masjid, di majlis-majlis kempen pilihan raya untuk memberi sokongan kepada "fikr" (individu) tertentu.
Tulisan-tulisan mereka memihak dan memuja-muja orang-orang tertentu pada hal orang yang dipuji adalah orang yang paling ketat permusuhannya dengan Islam, kalau mereka mempunyai sedikit sifat "huzr" sudah barang tentu mereka tidak dapat diperalatkan oleh golongan itu.
3) Mereka yang sangat cintakan agama, cemburu kepadanya. Mereka menjalankan amar ma'ruf dan nahi mungkar, akan tetapi mereka lupa kepada ruh as-syariah dan risalahnya di bidang kemasyarakatan dan sosial. Mereka terlalu mengambil berat tentang solat,
Oleh kerana itu kita dapati mereka ini berlumba-lumba menunaikan solat bila mendengar azan namun demikian mereka masih memakan riba, mereka masih menjadi si zalim, pengkhianat bangsa dan negara. Mereka bermusuh dengan lelaki yang memakai emas tetapi terus membisu terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan hukum-hukum syariah dan terlibat dengan rasuah.
Jika mereka ditanya siapa yang lebih besar dosanya di sisi Allah, yang memakai cincin emas atau pemimpin yang tidak menjalankan hukum Allah? Mereka sudah tentu akan menjawab bahawa pemerintah yang tidak menjalankan hukum Allah itu lebih besar dosanya. Tetapi mereka terus membisu.
4) Ulama' jahat Mereka mencari makan dengan menggunakan agama dan mempergunakan syariat. Mereka menghampiri semua taghut, bersahabat dengan semua yang jahat dan zalim, mereka terus menyokong golongan tersebut. Islam tercabar oleh mereka.
Gerakan Islam difitnah oleh mereka. Mereka tidak merasa malu untuk mengatakan bahawa
perjuangan untuk menegakkan Islam adalah perjuangan sesat, pecah belah masyarakat, keterlaluan dan tidak sederhana dan sebagainya.
Pada mereka dikata orang: Si fasiq yang melakukan segala maksiat kerana untuk mendapat harta dan
kelazatan hidup dunia lebih bertaqarrub kepada Allah berbanding dengan si alim yang menjadi pengampu kepada segala yang taghut. Mereka mengkhianati Allah dan RasulNya serta amanah kaum muslimin. Mereka mengkhianati amanah ummah dengan memberi sokongan kepada si penjenayah.
5) Ulama' muslihun harkiyun Mereka memahami bahawa Islam satu cara hidup yang membawa kesejahteraan kepada manusia. Islam pembebas ummah daripada memperhambakan diri kepada yang lain daripada Allah. Mereka ini berhempas pulas berusaha untuk mengajak ummah kembali menghayati syariatnya di samping mengajak ummah manusia seluruhnya menganut agama Islam.
Keterlibatan mereka di dalam kerja-kerja Islam sangat kelihatan. Begitu juga dalam kancah politik tanah air tidak dapat dinafikan lagi. Mereka memberi kesedaran betapa perlunya umat Islam membebaskan diri dari belenggu penjajahan samada penjajahan politik, ekonomi, pemikiran dan lain-lain lagi.
Hampir keseluruhan negara umat Islam mencapai kemerdekaan melalui usaha-usaha mereka yang gigih itu, namun demikian usaha mereka untuk menjadikan umat menghayati syariatnya dalam semua aspek belum mendapat kejayaan.
Ini adalah disebabkan kerana negara-negara umat Islam meminggirkan para ulama' daripada pentadbiran dan pemerintahan negara selepas mencapai kemerdekaan. Akhirnya mereka menjadi musuh buruan oleh pemerintah yang juga mengaku ianya Islam. Atas nama Islam mereka ditangkap, dipenjara dan berbagai-bagai lagi.Mereka bukan sahaja dikecam oleh pemerintah tetapi juga oleh golongan ulama' yang boleh dipergunakan oleh pemerintah.
Kalau golongan ulama' yang pernah digunakan oleh para pemerintah sedar, lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan situasi yang ada sekarang ini, maka sudah tentu mereka dapat mengerti bahawa yang sebenarnya menjadi musuh kepada kerajaan warisan penjajah itu ialah Islam.
Siapa sahaja yang ingin melaksanakan Islam - yang hendak menerangkan Islam seperti mana yang dilaksana dan diterangkan oleh al-Quran dan as-Sunnah - pasti akan mendapat tentangan daripada kerajaan warisan itu.
Justeru itu para alim ulama' hari ini haruslah memahami betul-betul sabda junjungan kita s.a.w.: Maksudnya:"Bandingan orang yang tegak lurus di atas landasan syariat dengan orang yang melanggarnya, saling tak tumpah seperti suatu kumpulan yang sama-sama memberi saham di dalam membeli/menaiki sebuah bahtera.
Satu golongan mendapat di bahagian bawah dan satu golongan lagi mendapat di bahagian atas. Kumpulan yang berada di bahagian bawah apabila mengingini air terpaksa menaiki tingkat atas dan menyusahkan kawan-kawan mereka. Lalu mereka berfikir sekiranya bahagian mereka di sebelah bawah dibocorkan senanglah mereka mendapat air (tidak payah naik ke tingkat atas lagi) Kalau sekiranya kehendak mereka diberikan nanti semua mereka akan mati, tetapi sebaliknya kalau kehendak mereka itu disekat semua orang akan selamat."
Betapa jelasnya hadith ini menerangkan kepada kita kalau sekiranya golongan perosak itu dibiarkan berkuasa sudah barang tentu agama kita dimusnahkan dan negara kita akan dihancurkan. Jalan selamat ialah para alim ulama' haruslah bersatu mengemblengkan tenaga dan fikiran untuk menangani masalah politik tanah air.
Mungkin orang akan mempersoalkan apakah yang boleh dilakukan oleh para ulama'? Banyak sekali kerja yang boleh dilakukan oleh para ulama' di dalam menangani keadaan yang ada sekarang ini. Antara lain:
1) Bertindak menjelaskan Islam dari semua sudut dan aspek kepada semua lapisan masyarakat.
2) Mengadakan perbandingan yang rapi dan terperinci antara Islam dan yang bukan Islam dalam semua aspek seperti ekonomi, undang-undang, politik, pentadbiran, pemerintahan dan sebagainya.
3) Menghapuskan segala kekeliruan yang diperlakukan kepada Islam.
4) Mentarbiyyah dan mendidik orang-orang Islam supaya benar-benar mengerti Islam dan perjuangan untuk menegakkan Islam.
5) Menyusun rapi segala tenaga yang telah dididik supaya semuanya berfungsi dan berperanan.
6) Menjadi benteng kepada Islam untuk menghadapi segala cabaran golongan taghut dan seterusnya mengundurkan golongan tersebut dari kerusi masing-masing melalui cara-cara yang dihalalkan oleh undang-undang.
7) Melibatkan diri dalam semua kegiatan kemasyarakatan dan politik tanah air.
8) Menjaga batas-batas iman dan kufur.
05 Januari, 2008
DOA AWAL TAHUN DAN AKHIR TAHUN
Kaifiatnya: Doa ini hendaklah dibaca sebanyak 3 kali selepas waktu maghrib pada 1 Muharram.