Sahabat

28 Oktober, 2007

PUASA ENAM SYAWAL

Hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim).
Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa keutamaan puasa sunat pada bulan Syawal adalah seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. Menurut Syaikh Abdullah al-Bassam: Barang siapa berpuasa enam hari pada bulan Syawal setelah Ramadan maka seakan-akan dia berpuasa fardu setahun. Ini adalah kerana satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kali ganda sepertinya.
Puasa pada bulan Ramadan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan dengan 300 hari), puasa enam hari (pada bulan Syawal) pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (iaitu bersamaan dengan 60 hari), yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia daripada Allah SWT dan nikmat ke atas hamba-Nya. – Taudhih al-Ahkam min Bulughul Maraam, jilid 3, ms. 576, Pustaka Azzam.
Cara yang paling utama untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah Hari Raya Aidilfitri secara langsung (iaitu pada tarikh 2 Syawal), berturut-turut sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafie. Namun begitu seseorang juga bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun akhirnya dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut mahupun berpisah-pisah.

Apa yang lebih utama adalah menyempurnakan puasa bulan Ramadan terlebih dahulu yakni dengan menggantikan puasa-puasa yang tertinggal kemudian baru dikerjakan puasa sunat Syawal.

17 Oktober, 2007

FADHILAT SOLAT

albaqarah: 45

Hadith 1


Abdullah ibn 'Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Islam tertegak di atas lima rukun iaitu bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba-Nya serta rasul-Nya; mendirikan solat; membayar zakat; mengejarkan haji dan puasa di bulan Ramadhan,"

Rasulullah SAW mengibaratkan agama Islam itu sebagai sebuah khemah yang disokong oleh lima batang tiang. Tiang tengahnya ialah kalimah syahadah . Empat tiang lagi itu adalah tiang-tiang sokongan,iaitu satu tiang pada tiap satu penjuru khemah tersebut. Tanpa tiang tengah maka khemah itu tidak boleh ditegakkan dan sekiranya mana-mana dari salah satu tiang sokongan yang di penjuru itu hilang maka akibatnya runtuhlah penjuru khemah yang rosak itu.Kini marilah kita lihat dengan mata kita sendiri sejauh manakah yang telah kita tegakkan agama Islam itu. Benarkah tiap-tiap tiang itu telah ditegakkan pada tempatnya dengan sempurna?

Lima tiang agama Islam yang tersebut dalam hadith di atas menunjukkan kewajipan-kewajipan yang penting bagi seseorang Islam. Sungguh pun tidak mungkin bagi seorang Islam tidak mempunyai mana-mana satu darinya, namun solat dalam ajaran agama Islam mengambil tempat di sisi Iman.

Kata Abdullah ibn Mas'ud:

"Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW amalan (manusia) yang manakah yang paling diredhai Allah SWT? Baginda SAW menjawab 'Solat'. Kemudian aku bertanya lagi: " Yang mana pula selepasnya(mengikut susunan keredhaan)?' Baginda SAW menjawab 'Menghormati kedua ibu bapa.' Katakan lagi: ' Selepas itu apa pula?' Baginda ,menjawab: 'Jihad.'

Mullah 'Ali Qari mengambil hadith ini untuk menyokong pendapatnya iaitu solat adalah kewajipan agama yang penting selepas iman. Ini diperkuatkan lagi olah sebuah hadith yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

"Solat adalah sebaik-baik perintah yang diperintahkan oleh Allah,"

Hadith 2


Ibn Abbas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Seseorang yang mengumpulkan dua solat tanpa sebarang alasan yang kukuh sampailah dia ke salah satu pintu kabair(dosa besar)."

Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda :

"Jangan melengah-lengahkan tiga perkara iaitu:

1.Solat-apabila telah masuk waktunya

2. Pengkebumian mayat- apabila jenazah sudah siap dan

3. Perkahwinan seorang wanita- apabila sudah ditemui jodohnya."

Ramai orang yang menganggap diri mereka sebagai orang Islam yang mengamalkan perintah Allah dengan bersolat secara menjama'kan solatnya apabila pulang ke rumah hanya dengan alasan mereka dalam perjalanan, berniaga atau bekerja.

Menangguhkan solat sehingga luput waktunya tanpa sesuatu alasan yang kukuh (misalnya uzur) adalah satu dosa besar. Walaupun ia tidak semudharat melengah-lengahkan solat namun berat juga.



Hadith 3:


Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa sewaktu Rasulullah SAW memperkatakan tentang solat baginda bersabda :

"Pada hari Hisab, solat akan menjadi nur kepada orang yang mengejarkannya; menjadi penghujjah bagi pihaknya dan menjadi penyelamatnya. Walhal, tidaklah ada nur , pembela dan penyelamat".

"Yang senasib dengan orang-orang ini pada hari Hisab adalah kerana amalan-amalan orang yang sesat ini diikuti . Itulah sebabnya solat dilengah-lengahkan.

Dari itu jika seseorang melengah-lengahkan solat kerana tamakkan kekayaan, dia akan menemui nasib Qarun; jika kerana cintakan kedaulatan, maka nasib Fir'aunlah yang diterimanya; jika kerana berhasrat hendak mendampingi seorang raja maka nasib Hamamamlah yang diterimanya; dan jika kerana sibuk dengan berniaga maka nasib Ubay bin Khalaflah yang diterimanya."

Menerima nasib seperti mereka itu dengan jelasnya menunjukkan azab yang pedih sedang menunggu mereka yang melengah-lengahkan solat. Walaupun yang kafir akan kekal abadi menderita azab, sementara yang beriman akan dilepas setelah diazab beberapa tempoh dan akhirnya dibenarkan masuk syurga, namun tempoh azab ini tidak siapa yang tahu, mungkin sampai beribu-ribu tahun lamanya.


Sumber: Kitab Fadhilat Solat/ Fadhilat Amal

Karangan: Sheikul Hadith Maulana Zakaria rah.a

02 Oktober, 2007

LAILATUL QADR


Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur`an) pada malam kemuliaan.Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
(
Surah Al-Qadr 1-5)


Hadis 1
Hazrat Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Sesiapa yang berdiri beribadat di malam Lailatul-Qadr dengan iman dan ihtisab (berniat untuk mendapatkan ganjaran) akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”
Hadis 2
Anas r.a berkata, telah masuk bulan Ramadhan lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terlepas daripadanya maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia yang benar-benar rugi.”
Hadis 3
Ubadah bin Samit r.a. telah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang Lailatul-Qadr. Lalu baginda bersabda:
"Ianya berlaku pada bulan Ramadhan pada sepuluh malam yang akhir. Sesungguhnya ia berlaku pada malam-malam yang ganjil, pada malam ke 21,23,25,27 atau 29 ataupun pada malam terakhir dari bulan Ramadhan. Sesiapa yang bangun beribadat padanya dengan iman dan niat untuk mendapatkan ganjaran, semua dosanya yang terdahulu akan diampunkan. Di antara tanda-tandanya ialah keadaannya terang dengan langit yang bersih, tenang lagi sunyi, tidaklah terllu panas dan tidak pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sedang memancar ( kerana banyak Nur kerohanian). Bintang-bintang tidak digunakan untuk melontar syaitan pada malam itu sehingga ke pagi. Di antara tanda-tandanya lagi ialah sesungguhnya matahari akan terbit keesokan paginya tanpa cahaya yang bersinar kuat. Ianya terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama. Allah s.w.t. telah mengharamkan syaitan keluar bersamanya pada hari itu.' (sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul di tempat matahari terbit).
Hadis 4
Anas r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila tiba Lailatul-Qadr, turunlah Jibrail a.s. bersama satu kumpulan para malaikat memohon rahmat ke atas setiap hamba yang sedang berdiri atau duduk mengingat Allah s.w.t. dan apabila tiba Hari Raya mereka, iaitu Hari Raya Fitrah maka Allah s.w.t. akan membangga-banggakan mereka kepada para malaikat-Nya.
Allah s.w.t. berfirman: " Wahai malaikatKu! Apakah balasan seorang pekerja yang menyempurnakan kerjanya?" Mereka berkata : "Wahai Tuhanku, balasannya ialah disempunakan ganjarannya." Allah berkata lagi : " Wahai malaikatKu, hamba-hambaKu lelaki dan perempuan yang telah menyempurnakan fardhu ke atas mereka, kemudian mereka keluar sambil melaungkan doa. Demi kemulian dan kehebatanKu, kemurahan dan ketinggianKu dan demi kedudukanKu pasti Aku menerima doa-doa mereka.” Kemudian Allah s.w.t. berkata ( kepada hamba-hamba itu ) : "Pulanglah kamu, sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu dan telah Ku tukarkan segala keburukan kamu dengan kebaikan." Nabi s.a.w. berkata: “Lalu mereka pun pulang dalam keadaan terampun.”


Sumber: Kitab Fadhilat Ramadhan/ Fadhilat Amal
Karangan: Sheikul Hadith Maulana Zakaria rah.a
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...