Ibadat puasa uji kesabaran, tahap keimanan kekang nafsu
Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad
ALLAH SWT ketika mewajibkan puasa memulakan perintahNya dengan seruan terhadap orang beriman, seperti firmanNya yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Jika diperhatikan secara mendalam, kita dapati bahawa perintah puasa ini tidak mudah diamalkan oleh sebarang orang. Justeru, Allah memilih ciri utama orang yang akan dibebankan ibadat puasa dengan panggilan orang beriman tidak atas nama orang Islam.
Ini kerana Islam diukur pada zahirnya, asalkan ia melakukan ibadat zahir seperti solat, zakat, haji dan sebagainya, maka kita menerimanya sebagai Muslim walaupun kadang-kadang dilakukan tanpa ikhlas kerana Allah.
Di sinilah lahirnya golongan munafik yang berpura-pura Islam. Oleh kerana puasa itu tempoh masanya agak panjang dan manusia yang berpuasa berada dalam setiap lapangan serta keadaan berbeza-beza.
Maka hanya Allah saja mampu mengawal dan mengawasinya. Dalam hal ini, siapakah yang mampu menghayati pengawasan dan pemerhatian Allah itu kalau tidak orang benar-benar beriman kepada Allah.
Oleh sebab itu, hanya orang beriman saja mampu melaksanakan ibadat puasa dengan sempurna.
Contohnya, syarat iman ini sama dengan syarat pelajar memohon masuk universiti dengan pelbagai kursus pilihan dipohon dan pihak universiti menawarkan kursus tertentu kepada pelajar layak saja.
Demikian juga dengan puasa, sekiranya tiada iman yang cukup maka akan lahirlah orang berpuasa ikutan-ikutan, berpura-pura atau boleh jadi juga puasa pada lahir saja.
Puasa berfungsi besar menghalang seseorang daripada melakukan maksiat yang berpunca daripada dua faktor iaitu lalai atau lupa dan keinginan nafsu.
Lupa pula ada dua bentuk iaitu pertama lupa dan lalai terhadap kebesaran Allah. Sesiapa yang yakin bahawa Allah Maha Kuat Maha Berkuasa dan Maha Agung, bagaimana ia berani melakukan maksiat kepada-Nya. Sesungguhnya terasa besar dosa di hati mukmin apabila menyedari kebesaran Allah.
Kedua, lupa terhadap azab seksa Allah amat dahsyat. Dalam al-Quran banyak ayat menakutkan orang yang berdosa serta melakukan maksiat.
Berkata Bilal bin Saad: “Jangan kamu lihat kepada kecilnya maksiat, tetapi lihatlah pada kebesaran Allah yang kamu derhakai.”
Adapun keinginan nafsu pula dua iaitu nafsu perut dan nafsu seks. Nafsu perut adalah antara punca kebinasaan besar kerana dengan sebabnya Nabi Adam terkeluar dari syurga.
Daripada nafsu perut juga membawa kepada nafsu seks dan seterusnya keinginan kepada harta, dan banyak lagi bahaya lain yang semuanya berpunca daripada kekenyangan.
Nabi SAW bersabda maksudnya: “Mukmin itu makan dalam satu perut, sedangkan kafir makan dalam tujuh perut.” (Hadis riwayat Muslim dan Ibn Majah)
Sementara nafsu seks pula mempengaruhi manusia kerana dua tujuan iaitu mengekalkan keturunan dan menikmati kelazatan hubungan kelamin.
Nabi SAW bersabda maksudnya: “Tidak kutinggalkan fitnah selepasku lebih merbahaya kepada lelaki ialah perempuan.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi)
Sebahagian orang yang salih berkata: “Sekirnya diamanahkan daku oleh seseorang untuk menjaga gedung hartanya, maka aku percaya mampu melaksanakannya, sekiranya diamanahkan daku menjaga dan bersama seorang perempuan walaupun seketika, aku tidak yakin dapat melaksanakannya.”
Bagi merawati kedua-dua nafsu itu ialah dengan berpuasa. Kerana semua itu tidak dapat ditangani melainkan dengan kesabaran, dan tidak boleh bersabar melainkan dengan perasaan takut.
Manakala tidak akan ada perasaan takut melainkan dengan ilmu dan tidak akan mengetahui yang sebenar melainkan dengan petunjuk Allah. Semoga terdidik nafsu kita untuk mentaati segala ajaran Allah.
23 September, 2007
TAZKIRAH RAMADHAN 1
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan