Kali  ini mari kita merenung serangkai ayat Qur'an yang menceritakan tentang rezeki. Firman Allah SWT :
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا 
"......dan tiada satu pun makhluk bergerak di bumi melainkan dijamin Allah rezekinya" (Surah Hud, ayat 6).
Jaminan rezeki dari Allah  SWT pada mahklukNya  adalah jaminan yang pasti lagi benar bagi  menunjukkan betapa Maha Kaya Allah yang memiliki segala sifat  kebesaranNya. 
Firman Allah SWT: 
وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۚ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ
"Dan  bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di  bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan" (Surah Ali  Imran, ayat 109).
Selain dari Allah SWT siapa  lagi yang boleh mencukupkan  sumber rezeki yang tidak pernah putus-putus  bagi menyambung kitaran kehidupan di alam ini. Bukan satu atau dua hari  tetapi ribuan malah mungkin jutaan tahun. Hanya Dia sahaja yang berhak  dan layak untuk menurun dan mengeluarkan segala rezeki dari sumber mana  yang dikehendakiNya.
Inilah antara makna "Ilah"  yang terkandung di dalam kalimah syahadah iaitu "la ilah haillallah".  Dalam permasalahan rezeki, kalimah syahadah ini mengajar kita iktiqad  "Tidak ada yang memberi rezeki melainkan Allah". Jika seseorang   mengakui bahawa ada makhluk yang memberi selain Allah SWT bererti dia  telah beriktikad dengan iktikad yang salah dan boleh membawa kepada  syirik.
Majikan atau tempat  kita  kerja adalah seperti posmen yang menghantar surat kepada seseorang.  Bukannya surat itu daripadanya sendiri kerana rezeki yang berada  ditangannya itu juga datang dari Allah. Bagaimana jika Allah menahan  rezeki kepadanya?
Firman Allah SWT :
أَمَّنْ هَٰذَا الَّذِي يَرْزُقُكُمْ إِنْ أَمْسَكَ رِزْقَهُ ۚ 
"Siapakah yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya" (Surah Al-Mulk, ayat 21).
Pada waktu pagi kita dianjurkan membaca doa ini:
اللَّهُمَّ مَا أَصْبَحَ بِي  مِنْ نِعْمَةٍ أَوْ بِأَحَدٍ مِنْ خَلْقِكَ فَمِنْكَ وَحْدَكَ ، لا شَرِيكَ  لَكَ ، فَلَكَ الْحَمْدُ ، وَلَكَ الشُّكْرُ
"Ya  Allah, pada pagi-pagi ini, apa juga nikmat yang ada padaku atau  mana-mana makhlukMu, semuanya dariMu. Tiada sekutu bagiMu. Milikmu  segala pujian dan terima kasih kami"   (Zikir al-Ma'surat. Riwayat Imam  an-Nasai dari Abdullah bin Ghannam r.a.).
Ini membawa pengertian  supaya akidah tauhid kita dibetulkan sebelum kita memulakan aktiviti  mencari rezeki pada awal-awal pagi. Manusia hanyalah makhluk yang sangat  lemah sehingga tidak mampu menjadikan sebiji nasi pun di atas bumi ini  dan bergantung kepada pohon padi dari ciptaan Allah SWT
Allah SWT menjamin rezeki pada semua mahluk tetapi kenapa ada yang mati kebuluran. Hal ini diterangkan Allah dalam firmanNya :
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي  الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ  الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
"Telah  timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan  sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang  demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan  perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka  kembali (insaf dan bertaubat)" (Surah ar-Rum, ayat 41).
Kematian dan kebuluran 26  ribu orang di Euthopia bukti sebuah kebinasaan akibat dari  pendurhakaan  manusia. Bumi dirosakkan oleh tangan-tangan manusia seperti tubuh badan  yang dirosakkan oleh ubatan kimia yang bernama drugs. Tubuh yang  dibekalkan dengan sistem imuniti juga hancur akibat dari dadah yang  diambilnya pada setiap hari. Inilah sebabnya Allah menurunkan peraturan  hidup yang sempurna untuk kesinambungan rezeki dan hidup di dunia ini.
Bagi  menyelamat dunia yang  kian hancur ini  hanya  satu sahaja iaitu  ugama Allah. Ugama yang perlu   ditegakkan sebagai "deenulhayah" untuk  kesejahteraan ummat di muka  bumi ini jika tidak terimalah padahnya iaitu penderitaan dan kemusnahan.
Perkara kedua dari ayat awal  di atas difahami bahawa rezeki itu juga perlu dicari sebagaimana Allah  menyatakan dengan kalimah "makhluk bergerak" bukannya hanya menanti yang  bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang. Lihatlah rezeki   seekor burung yang terjamin apabila ia keluar dari sarangnya. Kemalasan  berikhtiar menjadikan periuk nasi juga kosong bukan kerana tidak ada  jaminan dari Allah tetapi kerana ia yang memilih untuk itu.
Ini terkecuali dengan ujian dari Allah yg berupa kekurangan makanan dan buah-buahan seperti firman Allah:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ  مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ  وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
"Demi  sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut  (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya)  kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah  khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" (Surah al-Baqarah, ayat  155).
Ujian adalah hak Allah sama  seperti rezeki. Hikmah dari ujian akan menjadikan sesuatu ummat itu  bertambah kuat bukannya semakin lemah. Ia tergantung bagaimana sikap  yang diambil terhadap ujian yang menimpanya. Jika ujian itu mematikan  jiwa dan semangatnya, petandanya Allahlah yang  menyempitkan  kehidupannya seperti asma' Allah yang bernama "Al Qobidh".
وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
"Allah  jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan  kepadaNyalah kamu semua dikembalikan" (Surah al-Baqarah, ayat 245).
Bangsa-bangsa yang terus  "bergerak" telah menguasai dunia dibandingkan dengan bangsa yang suka  berpeluk tubuh. Mereka menguasai semua  bidang keilmuan di atas pokok  perubahan yang dilakukan pada setiap detik. Rezeki itu kuncinya ilmu  kerana itulah ia perlu bergerak bagi mencarinya.
Berkata Imam Syafi'ie rhm:
من أراد الدنيا فعليه بالعلم ومن أراد الآخرة فعليه بالعلم
"Sesiapa mengingini dunia, ia memerlukan ilmu. Sesiapa menghendaki akhirat, ia juga memerlukan  ilmu".  
Nasib itu tidak terletak  pada tapak tangan tetapi terletak pada tangan dan kaki. Keluar dari zon  statik kepada zon dinamik untuk mengubah nasib yang menimpa diri  sendiri.
Firman Allah SWT :
إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم
"Sesungguhnya  Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka  mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" (Surah ar-Ra'du, ayat  11).
Soal rezeki terlalu panjang  perbahasannya tetapi penutupnya pula adalah pendek lagi ringkas iaitu  semuanya rezeki itu adalah datang dari Ar Razaq.