Sahabat

17 Mac, 2010

Menutup Aurat (Bukan sekadar pakai tudung)

Aurat berasal daripada bahasa Arab, 'Aurah' yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579).

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

1. Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

2. Pakaian yang longgar.

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: "Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain 'qubtiyyah' (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: "Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu." Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: "Dan suruhlahisterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya)."

Menurut Ibn Rusyd, 'qubtiyyah' ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

3. Pakaian yang tidak jarang.

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: "Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya."

Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

4. Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka."

5. Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: "Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

6. Tidak bertabarruj.

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatka nnya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama)." (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannyailmu Islam sebenar.

03 Mac, 2010

KECANTIKAN MUSLIMAH SOLEHAH

Tampil cantik dan menarik adalah idaman setiap wanita, ia bertepatan dengan fitrah yang telah ALLAH anugerahkan kepada semua wanita. Anugerah istimewa inilah menjadikan corak rumah tangga dalam Islam indah,berseri dan membahagiakan hasil dari gabungan idea dan dekorasi yang terhasil dari cetusan buah fikiran wanita. Cantik,elegan,menarik,menawan adalah cetusan rasa yang pasti terzahir dari bibir apabila pancaindera kurniaan Si Pemilik Cantik memandang sesuatu yang memikat hati. Apabila seseorang gadis dipuji dengan kata-kata seperti "Awak cantiklah", maka akan menguntumlah senyuman dibibir dan berbungalah hatinya.

Begitulah fitrah wanita yang tidak pernah bosan untuk menjadi cantik dan kelihatan cantik. sudah menjadi adat manusia seronok apabila dipuji,kecewa apabila dikeji. Tetapi berbeza bagi wanita mukminah, dia akan merasa kerdil untuk berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia. Malahan sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan ALLAH kerana cantik itu adalah pinjaman dan pasti dipertanyakan di akhirat kelak. Pasti dibenaknya akan bergema firman ALLAH SWT dalam surah An-Nahl ayat 53 :

"Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu,maka daripada ALLAHlah (datangnya) dan
apabila kamu ditimpa oleh kemudaratan,maka hanya kepadaNYA kamu meminta pertolongan"

Cantiknya wanita mukminah adalah kerana pakaian malu yang dipakai setiap masa samaada semasa mengerjakan urusan dunia mahupun dalam melunaskan tuntutan bekalan akhiratnya. Lantaran sifat malu itu lahir daripada jiwa yang takut kepada ALLAH dan seksaanNYA. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar,Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sifat malu dan iman adalah seiringan. Jika salah satu ditinggalkan,maka kedua-duanya akan hilang." (HR. Baihaqi)

Di dalam agama Islam yang syumul lengkap disediakan petua-petua untuk menjadikan wanita cantik lagi menarik, tambah indah lagi apabila kita yang bergelar muslimah bersama-sama berusaha melengkap diri untuk menjadi Muslimah Solehah yang cantik dan menarik. Berikut disertakan beberapa petua untuk tatapan dan panduan bersama :
  • Jadikanlah Ghaddul Basor (menundukkan pandangan) sebagai 'hiasan mata',nescaya mata menjadi semakin jernih
  • Sapukan 'lipstik kejujuran' pada bibir, nescaya kita akan bertambah manis
  • Gunakanlah 'pemerah pipi' yang diperbuat daripada rasa malu dan iman
  • Pakailah 'sabun Istighfar' yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang kita lakukan
  • Rawatlah rambut dengan 'Hijab Islam' yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki yang membahayakan
  • Hiasilah kedua-dua tangan dan jari dengan 'Gelang Tawadhuk' dan 'Cincin Ukhuwwah'.
  • Sebaik-baik kalung untuk kita adalah kalung 'kesucian'
  • Bedakkanlah wajah kita dengan 'air wudhuk',nescaya wajah kita bukan sahaja putih tetapi bercahaya di akhirat.

Adab-adab sosial yang ditunjukkan Islam adalah untuk menjaga kemuliaan keluarga dan seterusnya masyarakat dan akhirnya negara. Islam menggariskan peraturan untuk wanita bukan untuk menyiksa tetapi untuk menjaga kemuliaan wanita itu sendiri kerana "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita Solehah" begitulah gambaran dari Rasulullah SAW tentang wanita cantik yang solehah.

Berbahagialah kita jika berjaya memiliki 'perhiasan asli' ini kerana jalan kita pasti akan terpimpin ke syurga. Maha suci ALLAH yang telah memuliakan wanita, maka basahkan bibirmu dengan zikrullah kerana yang pasti syurgalah tempatmu.

Sabda Rasulullah SAW," Hendaklah kamu menasihati para wanita dengan sebaik mungkin,kerana sesungguhnya wanita itu dijadikan daripada tulang rusuk, sesungguhnya bahagian yang paling bengkok pada tulang itu ialah yang disebelah atasnya; apabila kamu mahu meluruskannya,patahlah ia dan sekiranya kamu membiarkannya,kekallah ia dalam keadaan bengkok,oleh itu tolonglah kamu menasihati para wanita dengan sebaik-baiknya."

(HR Bukhari,Muslim & Abu Hurairah)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...