Sahabat

25 Julai, 2009

PROGRAM KUTU WANG POS

PROGRAM KUTU WANG POS: PANDANGAN DARI SUDUT FIQH ISLAM
oleh : Majlis Perundingan Dan Penyelidikan Hukum (MPPH)

Program kutu secara wang pos sudah agak menular dan popular pada masa ini. Mereka yang berhadapan dengan masalah kewangan melihat program ini dapat membantu mereka menyelesaikan kemelut kewangan mereka.

Bagi pihak yang berwang pula, berhasrat untuk membantu sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang berada dalam kesusahan dengan menamakan mereka sebagai penerima wang pos berkenaan.

Persoalannya, adakah program ini berjalan tanpa terdapat apa-apa unsur haram sehingga program ini benar-benar menjamin kebaikan sebagaimana yang dijanjikan. Tetapi jika program ini mengandungi unsur-unsur haram, maka kegelapan dan kerugian sepastinya akan menemui peserta-pesertanya atau sebahagian daripada peserta-pesertanya.

UNSUR-UNSUR HARAM YANG DAPAT DIKESAN

Setelah meneliti perjalanan beberapa bentuk program wang pos, didapati ianya mengandungi beberapa unsur haram. Antaranya:

1. Unsur Gharar

Jika dikaji berkenaan program ini didapati asas kepada pembinaan dan perjalannya adalah 'auto placement' yang menjadikan orang bawah atau peserta baru mangsa yang tidak mendapat apa-apa pulangan apabila program 'auto placement' ini berhenti berpusing.

Oleh itu, setiap yang menjadi peserta yang peringkat awalnya mengharapkan pulangan apabila sampai gilirannya kehilangan wang apabila program ini terhenti.

Setiap sesuatu pastinya ada permulaan dan pastinya juga ada titik penamatnya. Pada waktu tersebut, pastinya sesiapa yang masih berada di bawah akan menjadi mangsa apabila wangnya diperolehi oleh orang atasan sedangkan orang bawahannya belum wujud.

Gharar yang terdapat disini ialah gharar fil husul (tidak tentu dapat) dan gharar fil miqdar (tidak tentu kadar).

2. Riba

Program ini sebenarnya bersifat 'money game' yang mendedahkan pesertanya kepada riba. Ini kerana, setiap yang menyertai program ini atau sebahagiannya berhasrat mendapatkan pulangan.

Jika ia menaja dengan mengeluarkan wang sebanyak RM100, maka ia mengharapkan pulangan lebih.

Jika ia benar-benar mendapat pulangan yang lebih banyak, maka ia adalah riba kerana tiada transaksi perniagaan atau khidmat di dalam program ini.

3. Judi

Dalam program ini terdapat unsur judi kerana sepastinya ada pihak yang mendapat untung dan ada pihak yang pasti mengalami kerugian.

Untung dan rugi ini boleh berlaku apabila program ini berhenti. Jika ia berlaku, maka mereka yang berada di line atas akan mendapat keuntungan manakala mereka yang berada di line bawah mendapat kerugian.

BEBERAPA JAWAPAN KEPADA KEKELIRUAN

Mereka yang menyertai program ini melihat ianya adalah harus dari sudut syariat dengan alasan-alasan berikut:

1. Sumbangan atas alasan hibah

Antara alasan yang sangat luas dijadikan hujah membolehkan ialah sumbangan setiap peserta adalah hibah.

Sebenarnya alasan ini adalah alasan yang tidak boleh diterima syariat kerana hibah tidak mensyaratkan keuntungan dan tidak mensyaratkan pulangan.

Tetapi program ini jelas berbentuk permainan wang (money game) dalam bentuk pusingan 'auto placement'.

Justeru itu, hibah bersyarat jika tidak kena caranya boleh menjerumuskan kepada riba sebagaimana sabda Nabi:
Maksudnya: "setiap pinjaman yang mensyaratkan manfaat adalah riba".

Dalam masa yang sama bayaran yang dianggap hibah tersebut adalah dalam bentuk tetap dan dijanjikan pulangan sebagaimana dalam iklan yang disiarkan.

Maka setiap transaksi syariat bukan dilihat kepada lafaz dan binaan kalimah tetapi ia melihat kepada hakikat dan perjalanannya.

Kaedah fiqh menyebut:

Maksudnya: "Yang diambil kira pada akad transaksi ialah maksud dan makna, bukan lafaz dan susunan kalimat".

2. Sumbangan mestilah ikhlas membantu.

Alasan kedua yang biasa digunakan ialah sumbangan itu ikhlas membantu sahabat-sahabat seagama yang susah.

Menurut syariat, apabila sesuatu transaksi di dapati haram, maka ikhlas tidak akan merubahnya menjadi halal. Sebagaimana tiga orang berjudi dan setiap seseorang mempertaruhkan wang RM 10. Sekalipun setiap seseorang berniat derma ikhlas untuk si pemenang ia tetap haram kerana ia adalah judi dan ikhlas tersebut tidak boleh mengharuskan perkara yang haram.

Ikhlas atau lebih tepat tidak dipaksa adalah syarat sah jual beli dan segala jenis transaksi yang harus. Firman allah swt :

Maksudnya: "melainkan ia adalah perniagaan yang berlaku secara reda meredai antara kamu".

Ayat ini menunjukkan reda dan ikhlas menyertai perniagaan yang halal, bukan menjadi syarat sah kepada transaksi yang haram.

3. Kias kepada belanja kawan makan atau minum di kedai.

Kias adalah adalah kias yang salah kerana ia mempunyai perbezaan yang sangat ketara. Antaranya, belanja kawan di kedai makan tidak melibatkan pusingan wang. Dalam program ini ia melibatkan wang dengan wang yang sepastinya mendedahkan kepada riba. Tambahan pula setiap pesertanya disyaratkan menaja dan ditaja.

PENUTUP DAN KESIMPULAN

Sememangnya setiap transaksi hukum asalnya adalah harus sehinggalah ia dicemari oleh unsur-unsur haram.

Setelah diteliti program wang pos ini, didapati program ini adalah haram disebabkan unsur-unsur yang disenaraikan di atas.

Justeru itu, umat islam digesa supaya tidak terlibat dengan program ini kerana ia membazirkan wang disamping keharaman yang disebutkan.



Majlis Perundingan Dan Penyelidikan Hukum (MPPH) Dewan Ulamak PAS Pusat

p/s: Sebagai alternatif sertailah HPA.
Keterangan lanjut sila klik: HPA ONLINE



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...