Sahabat

29 Februari, 2008

ULAMA DAN POLITIK

Ulama' itu ialah mereka yang takut hanya kepada Allah dari kalangan mereka yang diberi pengetahuan dan kefahaman oleh Allah Azza Wajalla tentang Islam yang lengkap dan syumul itu. Untuk menjelaskan perkara ini Allah berfirman surah Fatir ayat 28 yang bermaksud "Hanyasanya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-hambaNya ialah ulama."

Untuk menentukan kedudukan mereka di dalam Islam. Allah berfirman lagi dalam surah Az-Zumar ayat 9 yang maksudnya: "Katakan (wahai Muhammad) apakah sama golongan yang berilmu dengan tidak berilmu, sesungguhnya yang mempunyai aqal fikiran yang waras sahaja yang selalu ingatkan perintah Allah".

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan golongan yang berilmu pengetahuan dan Allah amat mengetahui apa yang kamu kerja- kan". (Surah Al-Mujadalah ayat 11). Untuk menjelaskan perkara-perkara yang sama, Rasulullah s.a.w bersabda yang aksudnya:"Sesiapa yang melalui sesuatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, Allah memudahkan baginya jalan ke syurga dan sesungguhnya para malaikat meletakkan sayapnya untuk penuntut ilmu kerana berpuas hati dengan perbuatannya, dan sesungguhnyaa orang-orang yang alim itu meminta ampun baginya oleh sekalian yang ada di langit dan di bumi sehinggalah ikan-ikan di air turut meminta ampun baginya.

Dan kelebihan orang alim berbanding dengan orang yang beribadah seperti kelebihan bulan berbanding sekalian bintang. Dan para ulamak itu adalah pewarisnya kepada para nabi, dan sesungguhnya para Nabi itu tidak meninggalkan emas dan perak malahan mereka meninggalkan ilmu pengetahuan. Sesiapa yang menerimanya maka ia mendapat bahagian yang cukup sempurna."

Ternyata daripada pembincangan di atas bahawa ulama' itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Rasulullah s.a.w meletakkan mereka sebagai pewarisnya para Nabi. Pewarisnya para nabi bermaksud "...ganti di dalam urusan menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya".

Islam menghendaki supaya para ulama' menjadi pengganti nabi dalam urusan mentadbir dunia dan menjaga agama. Itulah yang difahami oleh para sahabat nabi dan para cerdik pandai Islam.Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Ibnul Khatab, Uthman Affan, Ali Bin Abi Talib dan lain-lain daripada khulafa' mengambil tempat Baginda Rasulullah s.a.w dalam urusan yang kita sebutkan di atas. Justeru itu, para cerdik pandai Islam yang menulis buku di bidang sakhsiah dan pentadbiran Baginda menyatakan bahawa jawatan-jawatan penting di dalam negara seperti khalifah, perdana menteri dan para hakim hendaklah disandang oleh para ulama' mujtahidin dari kalangan umat Islam.

Hal ini saudara akan dapati bila saudara-saudara membaca buku-buku yang ditulis oleh Imam Asy-Syafie, Al-Marbawi, Abu Ya'la, Ibnu Khaldun,Imam Haraimani, Imam Al- Ghazali dan lain-lain.Tertolak dari kajian-kajian dan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para alim ulama' yang muktabar di zaman silam maka para penulis dan penganalisa Islam di zaman sekarang ini membuat beberapa rumusan antara lain:

1. Pemerintahan Islam itu adalah pemerintahan yang berasaskan agama. Hal ini antara lainnya diasaskan kepada kata-kata Imam Al-Ghazali "Agama itu asas dan kerajaan itu pengawal. Maka sesuatu yang tidak mempunyai asas ia akan tumbang dan sesuatu yang tidak ada pengawalnya ia akan hilang."

2. Ia merupakan kerajaan yang dipandu oleh para ulama'. Hal ini adalah dipetik dari beberapa rumusan yang dibuat oleh para cendekiawan Islam yang mengatakan bahawa mengetahui syariat Islam sampai kepada peringkat ijtihad adalah salah satu daripada syarat-syarat kelayakan untuk menjadi ketua negara, perdana menteri dan hakim di dalam negara Islam.Dan hendaklah kamu menjalankan hukum (pemerintahan) di kalangan mereka berdasarkan kepada apa yang diturunkan oleh Allah.

Siapakah yang lebih arif tentang apa yang diturunkan oleh Allah kalau tidak para ulama'. Piagam Madinah jelas menyatakan bahawa rujukan kepada kerajaan Islam itu ialah kitab Allah dan Sunnah Rasulullah. Maksudnya:"Dan sesungguhnya apa jua yang berlaku di kalangan mereka yang menandatangani piagam ini, yang khuatiri berlaku kerosakan/ kehuruharaan maka kitab Allah dan sunnah RasulNya menjadi rujukan. "

Mengimbas kembali kepada apa yang dibentang dan apa yang berlaku di zaman Rasululullah s.a.w. dan zaman para Khulafa Ar- Rayidin mengajak kita berfikir dan membuat rumusan tentang kedudukan ulama' di dalam politik di sesebuah negara. Ia bukan sekadar melibatkan diri di dalam politik malahan menjadi tunggak kepada kepimpinan negara.

Hal ini jelas apabila Al-Imam Al-Mawardi mengatakan antara lain " Apabila berlaku kekosongan jawatan ketua negara maka dua golongan masyarakat haruslah tampil ke hadapan untuk mengisi kekosongan itu. Golongan pertama ialah golongan yang mempunyai kelayakan menjadi calon (ketua negara) manakala golongan kedua pula ialah golongan yang layak menjadi penapis calon. Golongan yang layak menjadi calon sudah barang tentu dari kalangan ulama' kerana salah satu daripada syarat-syarat kelayakan itu ialah memahami syariat sampai ke peringkat ijtihad".

Golongan ulama' bukan sekadar menjadi penasihat kepada negara/kerajaan tetapi mereka adalah pemegang polisi dan pelaksana kepada dasar negara.

Perancangan mengenai kedudukan ulama' dan keterlibatan mereka dalam politik tanahair berlaku

apabila negara-negara umat Islam disekularismakan oleh penjajah. Merekalah yang memisahkan agama dan politik. Mereka mendualismakan cara hidup umat Islam. Satu cara hidup perseorangan dan sekeluargaan dan satu lagi cara hidup bernegara.

Mereka mengekalkan cara hidup kekeluargaan mengikut hukum-hakam Islam, manakala cara hidup bernegara mereka pisahkan daripada Islam. Hal ini menjadikan sistem politik, pentadbiran, perundangan pendidikan, kemasyarakatan, perekonomian dan lain-lain di negara umat Islam dipisahkan daripada sistem Islam.

Justeru itu dalam sesebuah negara umat Islam hari ini diwujudkan dua penasihat: penasihat agama yang dinamakan mufti dan satu lagi penasihat undang-undang.Namun demikian para mufti tidak diberi apa-apa kuasa/peranan yang mustahak di dalam sesebuah negara. Mereka tidak dianggap orang penting. Pandangan mereka tidaklah wajib ditaati oleh kerajaan berbeza dengan penasihat undang-undang/peguam negara.

Ekoran daripada itu institusi ulama' tidak diberi penghargaan dan penghormatan yang sewajarnya.

Dalam keadaan begini ulama' pula berpecah kepada beberapa golongan. Hal ini bolehlah kita dapati di dalam perbincangan yang selanjutnya.

Ulama Islam Di Zaman Sekarang bolehlah dibahagikan kepada lima kumpulan:

1) Ulama' yang baik, bertaqwa, ikhlas, amalan dan ibadat mereka semata-mata kepada Allah. Namun demikian mereka mengasingkan diri daripada dunia. Mereka tidak mengambil tahu tentang permasalahan orang Islam walaupun sedikit.

Mereka saling tak tumpah seperti ahli-ahli tasawuf di zaman mutakhir Islam iaitu tasawuf yang negatif yang mengasingkan diri daripada dunia. Mereka melihat bahawa menjauhi diri daripada dunia adalah satu jalan selamat untuk mereka dan suatu amalan bertaqarrub kepada Allah Azza Wajalla.

Oleh kerana itu terdapat terlalu ramai dari kalangan orang-orang Islam dewasa ini yang menjadi mangsa kepada segala taghut dan sizalim.Ulama' tidak mengambil tanggung- jawab dalam mempertahankan orang-orang Islam samada pada hak-haknya, aqidahnya, kemuliaannya, kehormatannya dan lain-lain lagi.

Taghut (yakni pemerintah yang mementingkan diri sendiri sifat mengumpul harta dgn cara yang tak baik,menghalalkan arak dan judi,riba ,maksiat , menolak hukum Allah dan sebagainya) terus bermaharajalela tanpa mendengar sebarang peringatan dan nasihat untuk berbuat kebaikan.Sepatutnya para alim ulama' memberitahu betapa si zalim akhirnya pasti akan mendapat tentangan yang hebat daripada rakyatnya.

Kumpulan ulama' seperti ini terus membuang amalan yang dilakukan oleh orang yang terdahulu dari mereka. Walau apa pun yang terjadi mereka tidak bersedia untuk turun ke medan demi untuk menghayati firman Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Ali-Imran:104. Dan untuk menghayati sabda junjunganNya.

2- Golongan yang sangat setia kepada Islam, cemburu kepadanya namun begitu mereka terlalu baik hati, niat mereka terlalu ikhlas. Mereka memberikan penilaian bahawa setiap orang yang mencium tangannya, menghadirkan diri di dalam majlis zikir serta menghadiri jemputan mereka sebagai orang yang cintakan agamanya.

Justeru itu ramai di kalangan penipu yang berjaya menipu ulama' yang seperti ini. Mereka dikurniakan untuk berkhutbah di masjid-masjid, di majlis-majlis kempen pilihan raya untuk memberi sokongan kepada "fikr" (individu) tertentu.

Tulisan-tulisan mereka memihak dan memuja-muja orang-orang tertentu pada hal orang yang dipuji adalah orang yang paling ketat permusuhannya dengan Islam, kalau mereka mempunyai sedikit sifat "huzr" sudah barang tentu mereka tidak dapat diperalatkan oleh golongan itu.

3) Mereka yang sangat cintakan agama, cemburu kepadanya. Mereka menjalankan amar ma'ruf dan nahi mungkar, akan tetapi mereka lupa kepada ruh as-syariah dan risalahnya di bidang kemasyarakatan dan sosial. Mereka terlalu mengambil berat tentang solat, siam dan lain-lain syiar agama namun begitu mereka tidak mengambil "haqna" tentang maqasid asy-syariah. Mereka tidak begitu mengambil peduli bahawa solat, siam, dan lain-lain syiar Islam sebagai pusat latihan untuk manusia, latihan moral, hati dan lain-lain.

Oleh kerana itu kita dapati mereka ini berlumba-lumba menunaikan solat bila mendengar azan namun demikian mereka masih memakan riba, mereka masih menjadi si zalim, pengkhianat bangsa dan negara. Mereka bermusuh dengan lelaki yang memakai emas tetapi terus membisu terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan hukum-hukum syariah dan terlibat dengan rasuah.

Jika mereka ditanya siapa yang lebih besar dosanya di sisi Allah, yang memakai cincin emas atau pemimpin yang tidak menjalankan hukum Allah? Mereka sudah tentu akan menjawab bahawa pemerintah yang tidak menjalankan hukum Allah itu lebih besar dosanya. Tetapi mereka terus membisu.

4) Ulama' jahat Mereka mencari makan dengan menggunakan agama dan mempergunakan syariat. Mereka menghampiri semua taghut, bersahabat dengan semua yang jahat dan zalim, mereka terus menyokong golongan tersebut. Islam tercabar oleh mereka.

Gerakan Islam difitnah oleh mereka. Mereka tidak merasa malu untuk mengatakan bahawa

perjuangan untuk menegakkan Islam adalah perjuangan sesat, pecah belah masyarakat, keterlaluan dan tidak sederhana dan sebagainya.

Pada mereka dikata orang: Si fasiq yang melakukan segala maksiat kerana untuk mendapat harta dan

kelazatan hidup dunia lebih bertaqarrub kepada Allah berbanding dengan si alim yang menjadi pengampu kepada segala yang taghut. Mereka mengkhianati Allah dan RasulNya serta amanah kaum muslimin. Mereka mengkhianati amanah ummah dengan memberi sokongan kepada si penjenayah.

5) Ulama' muslihun harkiyun Mereka memahami bahawa Islam satu cara hidup yang membawa kesejahteraan kepada manusia. Islam pembebas ummah daripada memperhambakan diri kepada yang lain daripada Allah. Mereka ini berhempas pulas berusaha untuk mengajak ummah kembali menghayati syariatnya di samping mengajak ummah manusia seluruhnya menganut agama Islam.

Keterlibatan mereka di dalam kerja-kerja Islam sangat kelihatan. Begitu juga dalam kancah politik tanah air tidak dapat dinafikan lagi. Mereka memberi kesedaran betapa perlunya umat Islam membebaskan diri dari belenggu penjajahan samada penjajahan politik, ekonomi, pemikiran dan lain-lain lagi.

Hampir keseluruhan negara umat Islam mencapai kemerdekaan melalui usaha-usaha mereka yang gigih itu, namun demikian usaha mereka untuk menjadikan umat menghayati syariatnya dalam semua aspek belum mendapat kejayaan.

Ini adalah disebabkan kerana negara-negara umat Islam meminggirkan para ulama' daripada pentadbiran dan pemerintahan negara selepas mencapai kemerdekaan. Akhirnya mereka menjadi musuh buruan oleh pemerintah yang juga mengaku ianya Islam. Atas nama Islam mereka ditangkap, dipenjara dan berbagai-bagai lagi.Mereka bukan sahaja dikecam oleh pemerintah tetapi juga oleh golongan ulama' yang boleh dipergunakan oleh pemerintah.

Kalau golongan ulama' yang pernah digunakan oleh para pemerintah sedar, lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan situasi yang ada sekarang ini, maka sudah tentu mereka dapat mengerti bahawa yang sebenarnya menjadi musuh kepada kerajaan warisan penjajah itu ialah Islam.

Siapa sahaja yang ingin melaksanakan Islam - yang hendak menerangkan Islam seperti mana yang dilaksana dan diterangkan oleh al-Quran dan as-Sunnah - pasti akan mendapat tentangan daripada kerajaan warisan itu.

Justeru itu para alim ulama' hari ini haruslah memahami betul-betul sabda junjungan kita s.a.w.: Maksudnya:"Bandingan orang yang tegak lurus di atas landasan syariat dengan orang yang melanggarnya, saling tak tumpah seperti suatu kumpulan yang sama-sama memberi saham di dalam membeli/menaiki sebuah bahtera.

Satu golongan mendapat di bahagian bawah dan satu golongan lagi mendapat di bahagian atas. Kumpulan yang berada di bahagian bawah apabila mengingini air terpaksa menaiki tingkat atas dan menyusahkan kawan-kawan mereka. Lalu mereka berfikir sekiranya bahagian mereka di sebelah bawah dibocorkan senanglah mereka mendapat air (tidak payah naik ke tingkat atas lagi) Kalau sekiranya kehendak mereka diberikan nanti semua mereka akan mati, tetapi sebaliknya kalau kehendak mereka itu disekat semua orang akan selamat."

Betapa jelasnya hadith ini menerangkan kepada kita kalau sekiranya golongan perosak itu dibiarkan berkuasa sudah barang tentu agama kita dimusnahkan dan negara kita akan dihancurkan. Jalan selamat ialah para alim ulama' haruslah bersatu mengemblengkan tenaga dan fikiran untuk menangani masalah politik tanah air.

Mungkin orang akan mempersoalkan apakah yang boleh dilakukan oleh para ulama'? Banyak sekali kerja yang boleh dilakukan oleh para ulama' di dalam menangani keadaan yang ada sekarang ini. Antara lain:

1) Bertindak menjelaskan Islam dari semua sudut dan aspek kepada semua lapisan masyarakat.

2) Mengadakan perbandingan yang rapi dan terperinci antara Islam dan yang bukan Islam dalam semua aspek seperti ekonomi, undang-undang, politik, pentadbiran, pemerintahan dan sebagainya.

3) Menghapuskan segala kekeliruan yang diperlakukan kepada Islam.

4) Mentarbiyyah dan mendidik orang-orang Islam supaya benar-benar mengerti Islam dan perjuangan untuk menegakkan Islam.

5) Menyusun rapi segala tenaga yang telah dididik supaya semuanya berfungsi dan berperanan.

6) Menjadi benteng kepada Islam untuk menghadapi segala cabaran golongan taghut dan seterusnya mengundurkan golongan tersebut dari kerusi masing-masing melalui cara-cara yang dihalalkan oleh undang-undang.

7) Melibatkan diri dalam semua kegiatan kemasyarakatan dan politik tanah air.

8) Menjaga batas-batas iman dan kufur.

05 Januari, 2008

DOA AWAL TAHUN DAN AKHIR TAHUN

Fadhilat Doa Akhir Tahun
Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata: "Hampalah kami di sepanjang tahun ini".
Kaifiatnya: Doa ini hendaklah dibaca sebanyak 3 kali selepas waktu asar 30 Zulhijjah sebelum maghrib 1 Muharram.
Maksudnya:
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.
Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Fadhilat Doa Awal Tahun
Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, InsyaAllah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.

Kaifiatnya: Doa ini hendaklah dibaca sebanyak 3 kali selepas waktu maghrib pada 1 Muharram.


Maksudnya:
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang Qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.
SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1 MUHARRAM 1429H PADA 10 JANUARI 2008

27 Disember, 2007

SUNNAH RASULLULLAH SAW

Dari Anas bin Malik ra. katanya, Rasulullah SAW telah berkata kepadaku: "Hai anakku! Jika engkau mampu tidak menyimpan dendam kepada orang lain sejak dari pagi sampai ke petangmu, hendaklah engkau kekalkan kelakuan itu! Kemudian beliau menyambung pula: Hai anakku! Itulah perjalananku (sunnahku), dan barangsiapa yang menyukai sunnahku, maka dia telah menyukaiku, dan barangsiapa yang menyukaiku, dia akan berada denganku di dalam syurga!" (Riwayat Tarmidzi)

Dari Ibnu Abbas ra. bahwa Nabi SAW yang berkata: "Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerusakan pada ummatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid". (Riwayat Baihaqi).
Dalam riwayat Thabarani dari Abu Hurairah ra. ada sedikit perbedaan, yaitu katanya:
"Baginya pahala orang yang mati syahid." (At-Targhib Wat-Tarhib 1: 44)

Thabarani dan Abu Nu'aim telah mengeluarkan sebuah Hadis marfuk yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. bahwa Nabi SAW telah bersabda: "Orang yang berpegang kepada sunnahku dalam zaman kerosakan ummatku akan mendapat pahala orang yang mati syahid".
Hakim pula meriwayatkan dari Abu Hurairah ra. juga bahwa Nabi SAW telah berkata: "Orang yang berpegang kepada sunnahku dalam masa perselisihan di antara ummatku adalah seperti orang yang menggenggam bara api. (Kanzul Ummal 1: 47)

Dan Muslim pula meriwayatkan dari Anas ra. dari Rasulullah SAW katanya: "Orang yang tidak suka kepada sunnahku, bukanlah dia dari golonganku!" Demikian pula yang dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dari Ibnu Umar ra. cuma ada tambahan di permulaannya berbunyi: "Barangsiapa yang berpegang kepada sunnahku, maka dia dari golonganku".

Kemudian Daraquthni pula mengeluarkan sebuah Hadis dari Siti Aisyah r.a. dari Nabi SAW katanya: "Sesiapa yang berpegang kepada sunnahku akan memasuki syurga!"

Dan dikeluarkan oleh As-Sajzi dari Anas ra. dari Nabi SAW katanya: "Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah mengasihiku, dan siapa yang mengasihiku dia akan memasuki syurga bersama-sama aku!"

16 Disember, 2007

JIHAD PADA JALAN ALLAH

camel

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَنَصَرُوا أُوْلَئِكَ هُمْ الْمُؤْمِنُونَ حَقّاً لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ * وَالَّذِينَ آمَنُوا مِنْ بَعْدُ وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا مَعَكُمْ فَأُوْلَئِكَ مِنْكُمْ وَأُوْلُوا الأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَى بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang Ansar yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

(Al-Anfal: 74-75)



وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنْ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya:

Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.

(At-Taubah: 100)




الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْفَائِزُونَ * يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُمْ بِرَحْمَةٍ مِنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُقِيمٌ * خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Maksudnya:

Orang-orang yang beriman dan berhijrah
serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredhaan serta Syurga, mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar

(at-Taubah: 20-22)

14 Disember, 2007

FADHILAT AIDILADHA

aidiladha greeting

AidilAdha yang dirayakan pada 10 Zulhijah adalah tanda pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail mentaati perintah Allah. Ia juga simbol perpaduan ummah apabila setiap tahun umat Islam berhimpun di Makkah untuk menunaikan ibadat haji.


Sambutan hari raya ini oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai falsafahnya tersendiri. Hari raya adalah kurniaan Allah kepada orang Islam Ansar menggantikan amalan hari perayaan jahiliah sebelum kedatangan Islam di Madinah.

Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas dalam hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya iaitu Aidiladha dan Aidilfitri."

Ibn Taimiyah juga menyebut perayaan ini adalah suatu 'syariat' seperti ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama atau ibadat (yang wajib diikuti oleh masing-masing)." (Surah Al-Maidah, ayat 48)

Oleh itu, perayaan yang diraikan umat Islam bukan semata-mata aktiviti sosial tetapi adalah satu ibadat yang dituntut dalam agama.

Garis panduan merayakan Aidilfitri dan Aidiladha ada persamaan dan perbezaan. Jika pada Aidilfitri kita dilarang berpuasa pada hari raya pertama, pada sambutan Aidiladha dilarang berpuasa selama empat hari.

Bertakbir hanya sehari di Aidilfitri tetapi dituntut bertakbir selama empat hari berturut-turut di Aidiladha, disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya, diwajibkan membayar zakat fitrah pada Aidilfitri tetapi disunatkan melakukan ibadat korban sebagai tanda ketakwaan dan keimanan terhadap Allah selepas solat sunat Aidiladha.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan." (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Dapat difahami bahawa apa yang dituntut daripada ibadat korban ialah keredaan dan lapang dada kita untuk melakukan ibadat itu, bukan terpaksa, terikut-ikut atau untuk menunjuk-nunjuk. Apa yang akan sampai kepada Allah bukan daging, atau binatang korban tetapi ketakwaan yang mendorong kita melakukan ibadat korban.

Allah berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan." (Surah Al-Haj, ayat 37)

Perayaan Aidiladha berlangsung selama empat hari dari 10 Zulhijah hingga 14 Zulhijah. Selama empat hari itu disunatkan berkorban dan daging korban akan diagih-agihkan kepada mereka yang miskin sebagai satu cara penyucian jiwa bagi mereka yang kaya.

Kita juga sewajarnya menziarahi sanak-saudara dan keluarga terdekat serta kenalan untuk menguatkan ikatan persaudaraan sempena menyambut Aidiladha. Kegembiraan meraikan hari raya amat digalakkan dalam mentauhidkan Allah.

Ibadat korban mencerminkan dua perkara. Pertama, ia adalah wasilah atau perantaraan bagi mengeratkan hubungan sesama anggota keluarga dan masyarakat. Kedua, ibadat korban mencerminkan sifat keihsanan yang sangat dianjurkan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada orang yang bertakwa." (Surah Al-Maidah, ayat 27)

15 November, 2007

FADHILAT HAJI

Kaabah


Firman Allah SWT:

وأتمّوا الحجّ والعمرة لله .................."
“ Dan Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah…. ……“
(al-Baqarah: ayat 196)


فمن حجّ البيت اواعتمر فلاجناح عليه ان يّطّوّف بهما.
“Maka barang siapa yang hendak melakukan haji ke Baitulallah atau melakukan umrah, maka tidaklah menjadi halangan baginya bahawa ia berlari-lari antara keduanya”.

(Al-Baqarah: ayat 158)


Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W: Barangsiapa menunaikan haji kerana untuk mendapatkan keredhaan Allah dan dengannya tidak menyebut perkataan-perkataan maksiat, tidak melakukan perbuatan-perbuatan keji, akan kembali daripadanya bebas daripada dosa sebagaimana hari di mana ibunya melahirkannya."

(Mutafaquun Alaih).


Daripada Abu Hurairah r.a. lagi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Mengerjakan umrah ke satu umrah yang lain menjadi penutup dosa yang dilakukan di antara kedua umrah itu. Manakala haji yang mabrur pula akan dibalas dengan syurga kepada orang yang mengerjakannya”.

(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Ibadat Haji dan Umrah adalah syariat agama Allah s.w.t yang mengandungi rahsia-rahsia dan hikmat-hikmat. Di antara hikmat-hikmat yang dapat diselami adalah untuk melatih umat Islam supaya bersatu haluan dalam mempertingkatkan syiar Islam, berganding bahu untuk menegakkan agama Allah s.w.t. supaya perhubungan di antara masyrakat Islam terjalin lebih erat dan lebih mesra lagi tanpa mengira warna kulit biarpun berlainan bahasa percakapan, adat resam dan kebudayaan. Bagi amalan Sa’ie direnung kembali peristiwa Siti Hajar, isteri kepada Nabi Ibrahim a.s. yang lari berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah di tengah-tengah padang pasir yang cuacanya panas dan kering untuk mencari air bagi anaknya yang masih bayi. Bila Siti Hajar kembali kepada anaknya dilihat air zam-zam terpancar dari bumi tempat letak kaki Nabi Ismail a.s.

Daripada peristiwa ini umat Islam dapat menanam semangat perjuangan supaya terus berusaha dan tidak mudah putus asa melalui rintangan kehidupan. Mengerjakan haji dan umrah sesungguhnya keduanya menghapuskan dosa. Sekiranya ibadat tersebut mendapat mabrur (amalan baik yang diterima oleh Allah s.w.t.) akan memperolehi syurga.

Dalam sebuah hadith lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dosa-dosa yang dilakukan selepas satu umrah diampunkan melalui umrah yang berikutnya". Oleh itu, apa yang telah dilakukan di antara dua umrah akan terputus. Hikmat kedua-dua kota di Tanah Suci iaitu amalan ibadatnya digandakan pahala. Sabda Rasulullah s.a.w. bahawa sesudah Mekah, maka tidak ada tanah yang lebih utama di bumi ini daripada kota Madinah yang digelarkan dengan nama Madinadul Rasul atau kotanya Rasulullah s.a.w. Amalan-amalan yang dilakukan di Masjid Nabawi akan mendapat pahala yang berlipat ganda dan juga mendapat syafa’at daripada Rasulullah s.a.w. Baginda juga bersabda yang bermaksud bahawa solat di Masjid Nabawi lebih afdal daripada masjid-masjid yang lain sebanyak seribu kali solat kecuali Masjidil Haram, manakala bersolat di masjidnya sebanyak empat puluh waktu dengan tidak tinggal walaupun satu waktunya nescaya dilepaskan mereka daripada azab neraka dan juga azab kubur.

Sesungguhnya orang–orang yang mengerjakan haji dan umrah, adalah utusan Allah s.w.t. sekiranya mereka memohon sesuatu, dikurniakanNya; jika mereka berdoa, dimakbulkan doanya; dan jika mereka membelanjakan sesuatu maka digantikanNya. Ibadat umrah adalah lambang perpaduan umat Islam yang sentiasa berada dalam ikatan kukuh bagi memperkasakan maruah umat dan kesucian Islam. Umpamanya menerusi aktiviti tawaf dapat dilihat dengan jelas semangat perpaduan dan persaudaraan umat Islam adalah erat sesama manusia, tidak kira raja, rakyat miskin atau kaya, sama sahaja taraf mereka ketika mengerjakan ibadat dan semuanya berpakaian seragam (ihram) bersama-sama mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan memartabatkan imej dan meningkatkan syiar Islam di persada dunia

28 Oktober, 2007

PUASA ENAM SYAWAL

Hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim).
Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa keutamaan puasa sunat pada bulan Syawal adalah seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. Menurut Syaikh Abdullah al-Bassam: Barang siapa berpuasa enam hari pada bulan Syawal setelah Ramadan maka seakan-akan dia berpuasa fardu setahun. Ini adalah kerana satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kali ganda sepertinya.
Puasa pada bulan Ramadan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan dengan 300 hari), puasa enam hari (pada bulan Syawal) pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (iaitu bersamaan dengan 60 hari), yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia daripada Allah SWT dan nikmat ke atas hamba-Nya. – Taudhih al-Ahkam min Bulughul Maraam, jilid 3, ms. 576, Pustaka Azzam.
Cara yang paling utama untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah Hari Raya Aidilfitri secara langsung (iaitu pada tarikh 2 Syawal), berturut-turut sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafie. Namun begitu seseorang juga bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun akhirnya dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut mahupun berpisah-pisah.

Apa yang lebih utama adalah menyempurnakan puasa bulan Ramadan terlebih dahulu yakni dengan menggantikan puasa-puasa yang tertinggal kemudian baru dikerjakan puasa sunat Syawal.

17 Oktober, 2007

FADHILAT SOLAT

albaqarah: 45

Hadith 1


Abdullah ibn 'Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Islam tertegak di atas lima rukun iaitu bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba-Nya serta rasul-Nya; mendirikan solat; membayar zakat; mengejarkan haji dan puasa di bulan Ramadhan,"

Rasulullah SAW mengibaratkan agama Islam itu sebagai sebuah khemah yang disokong oleh lima batang tiang. Tiang tengahnya ialah kalimah syahadah . Empat tiang lagi itu adalah tiang-tiang sokongan,iaitu satu tiang pada tiap satu penjuru khemah tersebut. Tanpa tiang tengah maka khemah itu tidak boleh ditegakkan dan sekiranya mana-mana dari salah satu tiang sokongan yang di penjuru itu hilang maka akibatnya runtuhlah penjuru khemah yang rosak itu.Kini marilah kita lihat dengan mata kita sendiri sejauh manakah yang telah kita tegakkan agama Islam itu. Benarkah tiap-tiap tiang itu telah ditegakkan pada tempatnya dengan sempurna?

Lima tiang agama Islam yang tersebut dalam hadith di atas menunjukkan kewajipan-kewajipan yang penting bagi seseorang Islam. Sungguh pun tidak mungkin bagi seorang Islam tidak mempunyai mana-mana satu darinya, namun solat dalam ajaran agama Islam mengambil tempat di sisi Iman.

Kata Abdullah ibn Mas'ud:

"Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW amalan (manusia) yang manakah yang paling diredhai Allah SWT? Baginda SAW menjawab 'Solat'. Kemudian aku bertanya lagi: " Yang mana pula selepasnya(mengikut susunan keredhaan)?' Baginda SAW menjawab 'Menghormati kedua ibu bapa.' Katakan lagi: ' Selepas itu apa pula?' Baginda ,menjawab: 'Jihad.'

Mullah 'Ali Qari mengambil hadith ini untuk menyokong pendapatnya iaitu solat adalah kewajipan agama yang penting selepas iman. Ini diperkuatkan lagi olah sebuah hadith yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

"Solat adalah sebaik-baik perintah yang diperintahkan oleh Allah,"

Hadith 2


Ibn Abbas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Seseorang yang mengumpulkan dua solat tanpa sebarang alasan yang kukuh sampailah dia ke salah satu pintu kabair(dosa besar)."

Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda :

"Jangan melengah-lengahkan tiga perkara iaitu:

1.Solat-apabila telah masuk waktunya

2. Pengkebumian mayat- apabila jenazah sudah siap dan

3. Perkahwinan seorang wanita- apabila sudah ditemui jodohnya."

Ramai orang yang menganggap diri mereka sebagai orang Islam yang mengamalkan perintah Allah dengan bersolat secara menjama'kan solatnya apabila pulang ke rumah hanya dengan alasan mereka dalam perjalanan, berniaga atau bekerja.

Menangguhkan solat sehingga luput waktunya tanpa sesuatu alasan yang kukuh (misalnya uzur) adalah satu dosa besar. Walaupun ia tidak semudharat melengah-lengahkan solat namun berat juga.



Hadith 3:


Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa sewaktu Rasulullah SAW memperkatakan tentang solat baginda bersabda :

"Pada hari Hisab, solat akan menjadi nur kepada orang yang mengejarkannya; menjadi penghujjah bagi pihaknya dan menjadi penyelamatnya. Walhal, tidaklah ada nur , pembela dan penyelamat".

"Yang senasib dengan orang-orang ini pada hari Hisab adalah kerana amalan-amalan orang yang sesat ini diikuti . Itulah sebabnya solat dilengah-lengahkan.

Dari itu jika seseorang melengah-lengahkan solat kerana tamakkan kekayaan, dia akan menemui nasib Qarun; jika kerana cintakan kedaulatan, maka nasib Fir'aunlah yang diterimanya; jika kerana berhasrat hendak mendampingi seorang raja maka nasib Hamamamlah yang diterimanya; dan jika kerana sibuk dengan berniaga maka nasib Ubay bin Khalaflah yang diterimanya."

Menerima nasib seperti mereka itu dengan jelasnya menunjukkan azab yang pedih sedang menunggu mereka yang melengah-lengahkan solat. Walaupun yang kafir akan kekal abadi menderita azab, sementara yang beriman akan dilepas setelah diazab beberapa tempoh dan akhirnya dibenarkan masuk syurga, namun tempoh azab ini tidak siapa yang tahu, mungkin sampai beribu-ribu tahun lamanya.


Sumber: Kitab Fadhilat Solat/ Fadhilat Amal

Karangan: Sheikul Hadith Maulana Zakaria rah.a

02 Oktober, 2007

LAILATUL QADR


Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur`an) pada malam kemuliaan.Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
(
Surah Al-Qadr 1-5)


Hadis 1
Hazrat Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Sesiapa yang berdiri beribadat di malam Lailatul-Qadr dengan iman dan ihtisab (berniat untuk mendapatkan ganjaran) akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”
Hadis 2
Anas r.a berkata, telah masuk bulan Ramadhan lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terlepas daripadanya maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia yang benar-benar rugi.”
Hadis 3
Ubadah bin Samit r.a. telah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang Lailatul-Qadr. Lalu baginda bersabda:
"Ianya berlaku pada bulan Ramadhan pada sepuluh malam yang akhir. Sesungguhnya ia berlaku pada malam-malam yang ganjil, pada malam ke 21,23,25,27 atau 29 ataupun pada malam terakhir dari bulan Ramadhan. Sesiapa yang bangun beribadat padanya dengan iman dan niat untuk mendapatkan ganjaran, semua dosanya yang terdahulu akan diampunkan. Di antara tanda-tandanya ialah keadaannya terang dengan langit yang bersih, tenang lagi sunyi, tidaklah terllu panas dan tidak pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sedang memancar ( kerana banyak Nur kerohanian). Bintang-bintang tidak digunakan untuk melontar syaitan pada malam itu sehingga ke pagi. Di antara tanda-tandanya lagi ialah sesungguhnya matahari akan terbit keesokan paginya tanpa cahaya yang bersinar kuat. Ianya terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama. Allah s.w.t. telah mengharamkan syaitan keluar bersamanya pada hari itu.' (sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul di tempat matahari terbit).
Hadis 4
Anas r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila tiba Lailatul-Qadr, turunlah Jibrail a.s. bersama satu kumpulan para malaikat memohon rahmat ke atas setiap hamba yang sedang berdiri atau duduk mengingat Allah s.w.t. dan apabila tiba Hari Raya mereka, iaitu Hari Raya Fitrah maka Allah s.w.t. akan membangga-banggakan mereka kepada para malaikat-Nya.
Allah s.w.t. berfirman: " Wahai malaikatKu! Apakah balasan seorang pekerja yang menyempurnakan kerjanya?" Mereka berkata : "Wahai Tuhanku, balasannya ialah disempunakan ganjarannya." Allah berkata lagi : " Wahai malaikatKu, hamba-hambaKu lelaki dan perempuan yang telah menyempurnakan fardhu ke atas mereka, kemudian mereka keluar sambil melaungkan doa. Demi kemulian dan kehebatanKu, kemurahan dan ketinggianKu dan demi kedudukanKu pasti Aku menerima doa-doa mereka.” Kemudian Allah s.w.t. berkata ( kepada hamba-hamba itu ) : "Pulanglah kamu, sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu dan telah Ku tukarkan segala keburukan kamu dengan kebaikan." Nabi s.a.w. berkata: “Lalu mereka pun pulang dalam keadaan terampun.”


Sumber: Kitab Fadhilat Ramadhan/ Fadhilat Amal
Karangan: Sheikul Hadith Maulana Zakaria rah.a

24 September, 2007

TAZKIRAH RAMADHAN 2

Maksimakan Perolehan Untung Ramadhan

Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda :

" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).

Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).

Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi s.a.w :-

ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع

Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم

Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanykan doa ketika hampir berbuka

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :

إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد

Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.

Berdasarkan hadith Nabi SAW :

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر

Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.

Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء

Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)

(Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).

Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله

Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah ular leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.

9) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :

‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).

Disebut dalam sebuah hadis lain

ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة

Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )

10) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.

Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

11) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

12) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :

Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).

Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

23 September, 2007

TAZKIRAH RAMADHAN 1

Ibadat puasa uji kesabaran, tahap keimanan kekang nafsu

Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad

ALLAH SWT ketika mewajibkan puasa memulakan perintahNya dengan seruan terhadap orang beriman, seperti firmanNya yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Jika diperhatikan secara mendalam, kita dapati bahawa perintah puasa ini tidak mudah diamalkan oleh sebarang orang. Justeru, Allah memilih ciri utama orang yang akan dibebankan ibadat puasa dengan panggilan orang beriman tidak atas nama orang Islam.

Ini kerana Islam diukur pada zahirnya, asalkan ia melakukan ibadat zahir seperti solat, zakat, haji dan sebagainya, maka kita menerimanya sebagai Muslim walaupun kadang-kadang dilakukan tanpa ikhlas kerana Allah.

Di sinilah lahirnya golongan munafik yang berpura-pura Islam. Oleh kerana puasa itu tempoh masanya agak panjang dan manusia yang berpuasa berada dalam setiap lapangan serta keadaan berbeza-beza.

Maka hanya Allah saja mampu mengawal dan mengawasinya. Dalam hal ini, siapakah yang mampu menghayati pengawasan dan pemerhatian Allah itu kalau tidak orang benar-benar beriman kepada Allah.

Oleh sebab itu, hanya orang beriman saja mampu melaksanakan ibadat puasa dengan sempurna.

Contohnya, syarat iman ini sama dengan syarat pelajar memohon masuk universiti dengan pelbagai kursus pilihan dipohon dan pihak universiti menawarkan kursus tertentu kepada pelajar layak saja.

Demikian juga dengan puasa, sekiranya tiada iman yang cukup maka akan lahirlah orang berpuasa ikutan-ikutan, berpura-pura atau boleh jadi juga puasa pada lahir saja.

Puasa berfungsi besar menghalang seseorang daripada melakukan maksiat yang berpunca daripada dua faktor iaitu lalai atau lupa dan keinginan nafsu.

Lupa pula ada dua bentuk iaitu pertama lupa dan lalai terhadap kebesaran Allah. Sesiapa yang yakin bahawa Allah Maha Kuat Maha Berkuasa dan Maha Agung, bagaimana ia berani melakukan maksiat kepada-Nya. Sesungguhnya terasa besar dosa di hati mukmin apabila menyedari kebesaran Allah.

Kedua, lupa terhadap azab seksa Allah amat dahsyat. Dalam al-Quran banyak ayat menakutkan orang yang berdosa serta melakukan maksiat.

Berkata Bilal bin Saad: “Jangan kamu lihat kepada kecilnya maksiat, tetapi lihatlah pada kebesaran Allah yang kamu derhakai.”

Adapun keinginan nafsu pula dua iaitu nafsu perut dan nafsu seks. Nafsu perut adalah antara punca kebinasaan besar kerana dengan sebabnya Nabi Adam terkeluar dari syurga.

Daripada nafsu perut juga membawa kepada nafsu seks dan seterusnya keinginan kepada harta, dan banyak lagi bahaya lain yang semuanya berpunca daripada kekenyangan.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Mukmin itu makan dalam satu perut, sedangkan kafir makan dalam tujuh perut.” (Hadis riwayat Muslim dan Ibn Majah)

Sementara nafsu seks pula mempengaruhi manusia kerana dua tujuan iaitu mengekalkan keturunan dan menikmati kelazatan hubungan kelamin.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Tidak kutinggalkan fitnah selepasku lebih merbahaya kepada lelaki ialah perempuan.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi)

Sebahagian orang yang salih berkata: “Sekirnya diamanahkan daku oleh seseorang untuk menjaga gedung hartanya, maka aku percaya mampu melaksanakannya, sekiranya diamanahkan daku menjaga dan bersama seorang perempuan walaupun seketika, aku tidak yakin dapat melaksanakannya.”

Bagi merawati kedua-dua nafsu itu ialah dengan berpuasa. Kerana semua itu tidak dapat ditangani melainkan dengan kesabaran, dan tidak boleh bersabar melainkan dengan perasaan takut.

Manakala tidak akan ada perasaan takut melainkan dengan ilmu dan tidak akan mengetahui yang sebenar melainkan dengan petunjuk Allah. Semoga terdidik nafsu kita untuk mentaati segala ajaran Allah.

16 September, 2007

FADHILAT RAMADHAN 3

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.
(Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi)

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.
(Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya (puasa) dengan penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu.
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi)

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).
( Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi)

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam (melainkan puasa) baginya  maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu dengan isterinya) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.
(Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Biografi
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

14 September, 2007

FADHILAT RAMADHAN 2

Hadis 7

Hazrat Salman r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada kami pada hari terakhir dari bulan Sya'aban:

Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam ( Lailatul- Qadr ) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang mana Allah s.w.t. telah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malamnya ( bertarawih ) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah padanya dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain.

Ia adalah bulan kesabaran di mana ganjaran kesabaran adalah syurga. Ia adalah bulan simpati. Ianya bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka ia merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dan neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikitpun dari ganjaran pahalanya." Sahabat-sahabat r.a. lalu berkata, "Tidaklah setiap dari kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. memberikan pahala itu kepada sesiapa yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisipan susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka."

Ia adalah satu bulan yang bahagian awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kelepasan dari api neraka. Sesiapa yang meringankan beban hamba-hambanya (pekerja-pekerjanya) pada bulan itu maka dia akan diampunkan oleh Allah S.W.T. dan akan dilepaskan dari azab api neraka.

Perbanyakkanlah pada bulan ini empat perkara. Kamu meredhakan Tuhan kamu dengan dua perkara dan dua perkara lagi yang tidak boleh tidak kamu memerlukannya. Ada pun dua perkara yang kamu dapat meredhakan Tuhan kamu dengannya adalah penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah s.w.t. dan kamu memohon istighfar daripadaNya. Sementara dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukannya ialah memohon syurga dari Allah dan meminta perlindungan dari api neraka.

Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa maka Allah s.w.t. akan memberinya minum dari telagaku (pada hari kiamat), dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk ke dalam syurga.

(Hadis riwayat Ibnu Huzaimah dan Baihaqi)

Hadis 8

Hazrat Ka'ab Bin 'Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Hadirlah ke mimbar” Maka kami pun telah hadir. Apabila baginda naik satu anak tangga mimbar, baginda berkata “Amin” dan apabila naik anak tangga yang kedua, baginda berkata “Amin” dan apabila naik anak tangga yang ketiga baginda berkata “Amin”. Apabila baginda turun, kami telah bertanya, “Ya Rasulullah! Hari ini sesungguhnya kami telah mendengar dari tuan sesuatu yang belum pernah kami dengar”. Baginda bersabda : “Sesungguhnya Jibrail telah muncul kepadaku dan berkata, Binasalah dia yang mendapati Ramadhan tetapi belum juga diampunkan.” Maka aku berkata "Amin”. Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata “Binasalah dia yang apabila engkau disebutkan di depannya, tidak pula dia menselawatimu.” Aku juga berkata “Amin” dan apabila aku naik anak tangga yang ketiga dia berkata “Binasalah dia yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang darinya telah tua tetapi mereka tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke dalam syurga.” Aku berkata “Amin”.
(H.R. Hakim dan Ibnu Hibban)


Hadis 9

Daripada Hazrat Abu Hurairah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Betapa ramai daripada orang yang berpuasa yang tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang beribadat malam yang tidak mendapat apa-apa dari ibadatnya kecuali berjaga malam'.

(H.R. Ibnu Majah)


Sumber: Kitab Fadhilat Ramadhan/ Fadhilat Amal
Karangan: Sheikul Hadith Maulana Zakaria rah.a

13 September, 2007

FADHILAT RAMADHAN 1

" Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertakwa."
(Surah Al Baqarah, ayat 183)


Hadis 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka.
1.Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi.
2.Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa.
3.Allah mempersiapkan serta menghiasi Jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu".
4.Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan.
5.Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan.
Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam Lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadis 2
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadis 3
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadis 4
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadis 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadis 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Sumber: Kitab Fadhilat Ramadhan/ Fadhilat Amal
Karangan: Sheikul Hadith Maulana Zakaria rah.a

07 September, 2007

FADHILAT SYAABAN

1. Sabda Nabi S.A.W. : Apabila masuknya bulan Syaaban, perbaikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanKu atas antara kamu.

2. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah Taala tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan Nabi Yusuf A.S. di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud A.S. Jika dia dapat sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripada kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Munkar dan Nakir, ditutupkan Allah keaibannya di hari Qiamat, dan diwajibkan syurga baginya. (Al-hadis)

3. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir hari khamis pada bulan Syaaban, dimasukkan dia ke dalam syurga. (Al-hadis) dari kitab Al-Barokah.

4. Berkata Siti Aisyah R.A. , Bulan yang lebih dikasihi oleh Rasulullah S.A.W. ialah bulan Syaaban.

5. Sabda Nabi S.A.W. : Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban adalah bulan mengkhifarahkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah bulan menyucikan dosa (Jasmani dan Rohani).

6. Sabda Nabi S.A.W. : Bahawa berpuasa pada bulan Syaaban kerana membesarkan Bulan Ramadhan, siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatkan rezkinya baginya – antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah Taala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.

7. Sabda Rasulullah S.A.W. : Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang terlebih afdhal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban.

8. Sabda Nabi S.A.W. : Bahawa Bulan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Quran atas segala kalam. Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihanku atas segala Ambia’ (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadhan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah Taala atas sekalian makhlukNya. (Al-Hadis).

9. Bulan Syaaban – Keagungan malamnya dengan malam Nisfu Syaaban seperti keagungan Rejab dengan malam Isra’ Mikrajnya , dan keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qodarnya. Maka pada malam Nisfu Syaaban telah datang jibrail kepada Rasulullah S.A.W. lalu katanya : Angkat kepalamu kelangit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang tiada menyengutukan Allah sesuatu, kecuali : tukang nujum , kekal dalam zina, kekal minum arak dan yang menderhakai terhadap ibubapa. (Al-Hadis).

10. Sabda Nabi S.A.W. : Allah menilik pada hambanya pada malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa segala makhlukNya melainkan orang yang syirik dan orang yang tiada bertutur dengan saudaranya.

11. Sabdanya lagi : Apa datangnya malam Nisfu Syaaban maka berjagalah kamu pada malamnya bersembahyanglah, banyakkan ibadah dan puasalah kamu pada siangnya. Allah S.W.T. berfirman: Adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang yang ditimpa bala maka Aku afiatkannya. Adakah orang yang meminta rezki maka Aku akan pemudahkan urusan rezkinya, demikianlah pertanyaan lainnya sehingga keluar fajar subuh.

12. Tersebut dalam kitab Al-Barokah : Bahawa jin, burung, binatang-binatang buas, juga ikan di laut berpuasa mereka pada hari Nisfu Syaaban.

13. Tersebut dalam kitab Iqna’ : Bahawa Jibril bersungguh-bersungguh pada malam Nisfu Syaaban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasulullah S.A.W. kali keduanya, katanya : Ya Muhammad !, gembiralah kamu bahawa Allah Taala mengampunkan segala ummatmu orang yang tiada menyengutukannya sesuatu, angkatkan kepalamu, lalu Rasulullah pun mengangkatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu syurga. Dalam riwayat yang lain pula menyatakan terbuka segala pintu langit. Pada pintu langit pertama Malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang ruku’ pada malam ini. Pada pintu langit yang kedua Malaikat menyeru kemenangan kepada orang yang sujud pada malam ini. Pada pintu langit yang ketiga Malaikat menyeru kemenangan kepada orang yang minta doa pada malam ini. Pada pintu langit yang keempat Malaikat menyeru kemenangan pada orang yang berzikir pada malam ini. Pada pintu langit yang kelima Malaikat menyeru kemenangan pada orang yang menangis pada malam ini. Pada pintu langit yang keenam Malaikat menyeru kemenangan pada orang yang mengerjakan amal kebajikan pada malam ini, dan pada pintu langit yang ketujuh Malaikat menyeru kemenangan pada orang yang meminta, maka dikurniakan permintaannya itu, dan pada pintu yang kelapan Malaikat menyeru: Adakah orang yang meminta ampun maka diampunkan baginya. Bertanya aku kepada Jibrail, sampai bilakah terbukanya pintu ini (diterima doa) – Jawab Jibrail : Sehingga naiknya fajar subuh. Dan katanya lagi: pada malam ini dimerdekanya hambanya yang mukmin lelaki dan perempuan dari api neraka sebanyak bulu kambing Bani Kilab (Bani Kilab diantara orang-orang Arab yang paling banyak memelihara kambing). Dalam satu riwayat yang lain pula bahawa Allah memerdekakan hambanya daripada neraka sebanyak bintang-bintang dilangit dan sebanyak hari-hari di dunia ini serta malamnya. Pada malam inilah dihantarkan Allah akan Jibrail ke syurga untuk menghiasi syurga.

14. Kata Syeikh Abdul Qadir Jailani di dalam Ghaniah : Bahawa malam Nisfu Syaaban adalah hari raya para Malaikat, begitu juga pada malam Lailatul Qadar mereka tidak tidur, dipenuhi dengan amal dan ibadah sepanjang-panjang malamnya, dan bagi anak-anak Adam berhari raya padanya pada siang hari dengan berpuasa dan mengerjakan ibadah, kerana mereka tidur pada malamnya.

15. Allah tidak ampunkan dosa pada malam Nisfu Syaaban terhadap enam golongan manusia :
(1) Orang yang kekal minum arak.
(2) Orang yang derhaka dua ibubapanya,
(3) Orang yang kekal dalam zina,
(4) Orang yang banyak berkelahi,
(5) Orang yang melakukan penjualannya dengan sumpah yang dusta,
(6) Orang yang memperlagakan orang supaya berkelahi. (Al-Hadis).


16. Sesiapa yang sembahyang pada malam Nisfu Syaaban daripada ummat Muhammad S.A.W. terlebih afdhal daripada ibadatnya 400 tahun. Demikian Allah S.W.T. memberitahu kepada Nabi Isa A.S. lalu Nabi Isa pun berdoa kepada Allah : Mudah-mudahan aku daripada Ummat Nabi Muhammad S.A.W. (Diqabulkan Allah Taala akan doanya bahawa Nabi Isa A.S. akan zahir bila berlakunya hari qiamat menentang Dajjal)

17. Telah disebut empat malam istimewa tentang beribadah (berbuat amal kebajikan); iaitu malam Nisfu Syaaban, malam Raya Fitrah yang pertama, malam Raya Aidiladha yang pertama, dan malam Arafah. Disembunyi malam Lailatul Qadar kerana bahawasanya malam itu malam rahmat dan merdeka daripada api neraka, supaya sepanjang malam ramadhan atau sepanjang sepuluh malam yang terakhir daripada Ramadhan ummat Muhammad berlumba-lumba dalam ibadah dengan berjaga malamnya. Demikian pula saat mustajab doa pada hari Jumaat.
Demikian juga disembunyikan : اسم الاعظام (nama Allah yang Teragong) di dalam Asmaul Husna yang amat mustajab doa kerananya.

18. Barangsiapa membaca pada bulan Syaaban :

(Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada kami sembah melainkan Dianya dengan seikhlas lagi teguh atas dasar agama (tauhid) walaupun dibenci oleh orang–orang kafir).

Maka ditulis baginya umpama ibadah 1000 tahun (At-Taurah) dan dihapuskan daripadanya dosa 1000 tahun dan keluarlah dari kuburnya dalam keadaan mukanya bercahaya seperti bulan purnama dan ditulis pada dahinya (siddiqo) yakni orang-orang yang benar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...