Sahabat

Memaparkan catatan dengan label FADHILAT AL-QURAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label FADHILAT AL-QURAN. Papar semua catatan

04 Januari, 2014

Kelebihan Al-Quran


Hazrat Abu Sa'id r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Allah SWT berfirman, "Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingatiKu dan berdoa kepadaKu kerana sibuk dengan Al-Quran maka Aku akan mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepadaKu.

Ketinggian perkataan Allah SWT ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah SWT ke atas segala makhluk (ciptaanNya)." (Hadith riwayat Tirmizi, Darimi dan Baihaqi).

Keterangan:
Maksud hadith di atas ialah, seseorang yang sentiasa sibuk menghafal, mempelajari atau memahami Al-Quran sehingga tidak ada masa untuk berdoa maka Allah SWT akan mengurniakan kepadanya sesuatu yang lebih baik daripada yang diberikan kepada orang lain yang berdoa kepadaNya.

Suatu perkara yang lumrah didunia ini ialah apabila ada seseorang yang sedang membahagi-bahagikan kuih muih dan salah seorang yang layak menerima kuih itu sibuk melakukan urusan bagi sipembahagi itu sendiri sehingga menyebabkan dia tidak dapat hadir untuk mendapatkan bahagiannya maka sudah tentu bahagian untuknya akan disimpan terlebih dahulu.

Berkenaan keadaan yang sama seperti hadith di atas, dalam hadith yang lain dinyatakan bahawa Allah SWT akan mengurniakan kepada orang yang sibuk dengan Al-Quran pahala yang lebih afdal daripada pahala yang diberikan kepada hamba-hambaNya yang bersyukur.

23 September, 2013

Tip Menghafal Al-Quran

1. DOA PEMBUKA
--- > Doa adalah perkara utama yang wajib dilakukan seorang penghafaz al-Quran, sebabnya kita sedang berbicara dengan kalam ALLAH. Berdoalah walaupun dengan hanya al-fatihah...tapi di sini ana kongsikan doa hafazan yang khusus...Sebagai pembuka..:
( i ) istighfar (7x)
( ii ) selawat ke atas baginda rasulullah (7x)
(iii) (surah al-hijr-ayat 9) (7x) 

(iv) al-Fatihah

2. MULA DENGAN MEMBACA SATU LEMBARAN.
--- > Baca secara berulang-ulang. Baca, bukan menghafal....Banyak hikmahnya, selain daripada kaedah mudah mengingat, ia juga merupakan fokus utama untuk mengelak kesalahan tajwid di samping memudahkan kita mengingat kedudukan ayat apabila kita mula menghafal nanti...kadar bacaan yang diperlukan adalah 20 kali dan ke atas..Pastikan tidak kurang daripada 20 kali..Ulangan peringatan, hanya membaca iaitu dengan meneliti ayat, kalimah dan baris.

3. MULA DENGAN MENGHAFAL SATU LEMBARAN.
--- > Bermula dengan langkah menghafal ayat pertama.Ulang ayat tersebut sebanyak 20 dan lebih.Kalau dah boleh, teruskan dengan menghafal ayat kedua, juga dengan cara yang sama iaitu mengulang sebanyak 20 kali dan lebih.Kemudian ulang menghafal ayat pertama dan disambung dengan ayat kedua (tanpa melihat mushaf). Kemudian sambung hafalan dengan ayat ketiga ,ulang 20 kali dan lebih. Mula semuala hafalan daripada ayat pertama hingga ayat ketiga hingga lancar sambungan dari ayat ke ayat.

4. SESUDAH MENGHAFAL SATU LEMBARAN.
--- >Sebaik habis menghafal dari atas hingga ke bawah,ulang semula menghafal satu lembaran tanpa melihat al-Quran.Ulang dan ulang dan pastikan hafalan tersebut lancar. Pastikan kepala ayat dan ayat paling bawah kekal diutamakan mengingat supaya tidak keliru jika berpindah ke lembaran seterusnya...

5. DOA PENUTUP
--- > Sebagai penutup kepada hafalan baru ada doanya yang khusus. Doa penutup kepada hafalan al-Quran banyak tapi antara yang paling senang adalah dengan membaca doa berikut:

17 Julai, 2013

Kelebihan Surah Al-Waqiah


Hazrat 'Abdulah bin Mas'ud r.anh meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,"Sesiapa membaca surah al-Waqi'ah pada setiap malam, kebuluran tidak akan menimpanya untuk selama-lamanya.
'Abdulah bin Mas'ud r.anh selalu menyuruh anak-anak perempuannya membaca surah ini pada setiap malam."
(Hadith riwayat Baihaqi)

Keterangan


Kelebihan-kelebihan surah al-Waqi'ah juga diberitakan dalam beberapa hadith. Ada satu riwayat menyatakan bahawa sesiapa membaca surah al-Hadid, al-Waqi'ah dan ar-Rahman, akan digolongkan sebagai penghuni Jannatul Firdaus. Dalam hadith yang lain dinyatakan bahawa, "Surah al-Waqi'ah ialah surah al-Ghina. Bacalah surah itu dan ajarkanlah kepada anak-anak kamu." Riwayat yang lain menyebut, "Ajarkanlah kepada isteri-isterimu."

Diberitakan bahawa Hazrat 'Aishah r.anha juga telah menekankan kepentingan pembacaan surah ini. Walau bagaimanapun, satu keadaan yang cukup rendah sekiranya kita membaca surah ini hanya untuk mendapat beberapa keping wang. Sebaliknya, jika kita membaca surah ini dengan niat untuk memenuhi kekayaan hati (kepuasan rohani) dan untuk maksud akhirat maka dengan sendirinya keuntungan-keuntungan dunia pun akan datang kepada kita.

09 Februari, 2009

Fadhilat Al-Quran 1



Hadis 1
Hazrat ‘Uthman r.a. meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda,
“Yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya”
(Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Nasai, dan Ibn Majah)

Hadis 2
Hazrat Abu Sa’id r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Allah Taala berfirman, “Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingatiku dan berdoa kepadaku kerana sibuk dengan al-quran maka aku akan mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepadaku. Ketinggian perkataan Allah Taala ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah Taala ke atas segala makhluk (ciptaanNya).”
(Hadis riwayat Tirmizi, Darimi, dan Baihaqi)

Hadis 3
Hazrat ‘Uqbah bin Amir RA berkata, “Rasulullah SAW datang kepada kami ketika kami sedang duduk di atas ’suffah’ dan bertanya,
“Siapakah antara kamu yang suka pergi ke pasar Buthan atau ‘Aqiq setiap hari dan membawa pulang dua ekor unta betina daripada jenis yang terbaik tanpa melakukan satu dosa pun atau memutuskan silaturrahim?”
Kami menjawab, “Setiap orang daripada kami akan menyukainya,”
Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang pergi ke masjid dan mengajar atau membaca dua potong ayat daripada al-quran adalah lebih baik baginya daripada dua ekor unta betina, tiga ayat adalah lebih baik baginya baginya daripada tiga ekor unta betina, dan begitu juga empat potong ayat adalah lebih baik baginya baginya daripada empat ekor unta betina dan mengikut bilangan ayat-ayat yang sama dengan bilangan unta jantan (al-ibil).”
(Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Hadis 4
Hazrat ‘Aishah r.anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Seseorang yang ahli dalam al-Quran akan berada bersama malaikat pencatat yang mulia dan jujur. Seseorang yang membaca al-Quran dengan tersekat-sekat dan bersusah payah untuk membacanya akan mendapat dua ganjaran,”
(Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, dan Ibnu Majah)

Hadis 5
Hazrat ‘Abdullah bin ‘Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Tidak dibenarkan sebarang hasad kecuali terhadap dua jenis orang. Sesorang yang Allah Taala telah merahmatinya dengan pembacaan al-Quran maka dia berada dalam keadaan demikian siang dan malam dan seseorang yang dikurniakan harta dan dia membelanjakan harta itu (di jalan Allah Taala) siang dan malam.”
(Hadis riwayat Bukhari, Tirmizi, dan Nasai)

Hadis 6

Hazrat Abu Musa r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
“Perumpamaan seseorang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau manis, berbau sedap dan rasa limau itu manis. Perumpamaan seseorang mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar, sungguhpun tidak mempunyai bau namun berasa manis. Perumpamaan orang munafiq yang tidak membaca al-Quran adalah seumpama buah ‘peria pahit’, buah itu tidak mempunyai bau dan berasa pahit. Perumpamaan orang munafiq yang membaca al-Quran adalah seperti bunga ‘raihanah’, berbau harum, tetapi berasa pahit.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Nasai dan Ibnu Majah)

Hadis 7

Hazrat Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
“Sesungguhnya Allah Taala memuliakan ramai orang melalui kitab ini (Al-Quran) dan menghinakan ramai orang dengannya.”
(Hadis riwayat Muslim)

Hadis 8
Hazrat ‘Abdul Rahman bin ‘Auf r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
“Tiga perkara akan berada di bawah naungan ‘Arasy Allah Taala pada hari kiamat. Pertama, al-Quran. Al-Quran akan berhujah dengan manusia dan Al-Quran ini mempunyai zahir dan batin. Kedua, amanah. Ketiga, tali persaudaraan (silatur-rahim) yang akan mengisytiharkan, “ketahuhilah, sesiapa yang menghubungkan daku maka Allah Taala akan menghubungkannya (dengan rahmatNya), sesiapa yang memutuskan daku maka Allah Taala akan memutuskannya (daripada rahmatNya).”
(Hadis diriwayatkan dalam kitab Sharhussunnah)

Hadis 9
Hazrat ‘Abdullah bin ‘Amr r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
“(Pada hari pengadilan kelak) akan dikatakan kepada orang al-Quran, “Bacalah al-Quran dengan tartil sebagaimana kamu telah membacanya di dunia dan naiklah (darjat demi darjat di dalam syurga). Sesungguhnya tempat (kedudukan) kamu adalah pada ayat terakhir yang kamu baca.”
(Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud, Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hiban dalam sahihnya.)

Hadis 10
Hazrat ‘Abdullah bin Mas’ud r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah Taala maka untuknya diberi satu ‘hasanah’ (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (’Alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.”
(Hadis riwayat Tirmizi)

Sumber/ Huraian hadith daripada kitab:
Fadhilat Al-Quran/ Fadhail A'mal
Karangan Shaikhul Hadith Hazrat Maulana Zakariyya rah.a.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...