Sahabat

08 Oktober, 2013

Memelihara Diri Daripada Kejahatan Syaitan


Larangan dan Suruhan bagi Memelihara Diri Daripada Kejahatan Syaitan
1. Mengambil berat tentang solat berjemaah
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama-kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain.
Mengikut riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah صلى الله عليه وسلم  telah bersabda, ertinya:
“Mana-mana kampung mahupun kawasan-kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah. Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya.”(Riwayat Abu Dawud dengan sanad yang baik).

2. Menyebut nama Allah apabila masuk ke rumah dan apabila makan
Imam Muslim meriwayatkan di dalam Sahihnya, sebuah hadith dari Jabir bin Abdullah RA, beliau pernah mendengar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم 
bersabda, maksudnya:
“Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut nama Allah ketika masuk dan ketika makan, syaitan akan berkata kepada teman-temannya, ‘Tidak ada tempat penginapan dan makan malam untuk kalian.’ Jika dia memasuki rumahnya tanpa menyebut nama Allah, syaitan akan berkata (kepada saudara-saudaranya), ‘Kalian boleh ikut menginap di dalamnya malam ini.’ Dan ketika makan, dia tidak menyebut nama Allah, syaitan berkata, ‘Kalian boleh ikut menyantap makan malam.’”

3. Membaca doa perlindungan apabila masuk ke tandas
Daripada Anas bin Malik r.a., berkata, apabila Rasullullah  صلى الله عليه وسلم 
memasuki tandas, baginda mengucapkan:
Ertinya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari jin kafir (syaitan) betina dan syaitan jantan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Berwuduk sebelum tidur 
Disebutkan sebuah hadith, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم 
bersabda kepada Bara` bin Azib RA, maksudnya:
“Apabila kamu hendak mendatangi tempat tidurmu, berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk melakukan solat.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Membaca Ayat Kursi sebelum tidur
Dalam satu hadith yang panjang, diringkaskan di sini, bahawa Abu Hurairah RA menceritakan beliau telah didatangi seorang pencuri yang mencuri hasil kutipan zakat yang dijaganya sebanyak tiga kali, sedangkan telah dua kali diberi amaran dan dia telah berjanji tidak akan datang mencuri hasil kutipan zakat itu lagi.
Untuk kali ke tiganya, dia berkata “Lepaskanlah saya, saya akan mengajarkan beberapa kalimat semoga Allah memberikan manfaat untukmu dengan kalimat ini.” Beliau pun bertanya tentang doa itu. Dia berkata, “Jika kamu berbaring di perbaringan, bacalah ayat kursi, kerana dengan begitu, Allah akan sentiasa menjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga pagi harinya.
Maka beliau pun melepaskannya sekali lagi. Pagi esoknya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم  bertanyakan akan hal tahanannya lagi, lalu Abu Hurairah RA menceritakannya. Lalu baginda bersabda, “Mahkluk itu telah berkata benar kepadamu, sedangkan ia adalah si pendusta. Wahai Abu Hurairah, tahukah kamu siapa yang kamu ajak bicara sejak tiga hari yang lalu itu?” Beliau menjawab, “Tidak“. Baginda bersabda, “Ia adalah syaitan. ” (Hadith Riwayat Bukhari dengan ta’liq)
6. Membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas kemudian sapu seluruh badan sebelum tidur
Satu hadith daripada Aishah RA, mengatakan, bahawa apabila Rasulullah صلى الله عليه وسلم berbaring di perbaringan baginda pada malam hari, baginda menyatukan kedua telapak tangan baginda lalu baginda meniup keduanya dan membacakan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Kemudian baginda mengusap tubuh baginda yang mampu diusap dengan kedua tangannya. Baginda mulai dari kepala, wajah, dan bahagian muka tubuhnya. Baginda melakukan hal itu tiga kali. (Hadith sahih Bukhari, riwayat Aishah RA)
7. Tutup mulut apabila menguap
Dalam satu hadith, Abu Said Al-Khudri RA berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم  bersabda, maksudnya:
“Apabila salah seorang di antara kamu menguap, hendaklah dia menutup mulutnya dengan tangan, kerana syaiton akan masuk.” (Hadith Riwayat Imam Muslim dan Ad-Damiri)

8. Bersihkan hidung jika terjaga tengah malam
Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم 
bersabda, maksudnya:
“Apabila salah seorang di antara kamu terbangun dari mimpinya, hendaklah dia melakukan istintsar tiga kali, kerana syaitan bermalam pada hidungnya.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Istintsar ialah perbuatan menyedut air ke dalam hidung, kemudian menghembusnya keluar, seperti ketika berwuduk. Hikmah lain istintsar ialah ia merupakan satu penawar bagi penyakit resdung. Amalkanlah selalu, contohnya selepas keluar ke kawasan kotor berdebu seperti di jalan raya.
9. Mendirikan Solat Tahajjud
Apabila seseorang tidur, lalu bangun di pagi harinya tanpa sedikit pun qiyamullail, syaitan akan semakin dekat menguasainya. Dari Abdullah bin Masud RA, dia berkata,
“Pernah disebutkan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم  seorang lelaki yang tidur semalam penuh hingga bangun di pagi harinya, maka baginda bersabda: ‘Itu adalah orang yang kedua telinganya (atau satu telinganya) telah dikencingi syaitan.’” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

10. Tutup rumah dan tahan anak-anak menjelang Maghrib
Dalam satu hadith marfu’ yang meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah RA, katanya;
“Janganlah kalian biarkan unta, lembu, kambing dan yang sejenisnya, serta anak-anak kalian masih berkeliaran di luar rumah ketika matahari terbenam hingga kabut malam (waktu Isya’) menghilang; kerana syaitan-syaitan bertebaran ketika matahari terbenam, hingga kabut malam menghilang.”(Hadith Riwayat Muslim)
11. Jangan kencing pada lubang-lubangImam Nasa’i meriwayatkan dari Qatadah, dari Abdullah bin Sirjis, katanya Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  bersabda, maksudnya;
“Janganlah salah seorang di antara kaluan kencing pada lubang-lubang.” Mereka bertanya kepada Qatadah, “Mengapa kita dimakhruhkan untuk kencing pada lubang-lubang?” Dia menjawab, “Kerana lubang-lubang merupakan tempat tinggal jin.” (Hadith Riwayat Abu Dawud, An-Nasa’i dan Imam Ahmad)
12. Membaca Surah Al-Baqarah di dalam Rumah
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم  bersabda yang maksudnya: “ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah.”
13. Mengingat Allah setiap waktu dan keadaan
Dalam satu hadith, Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda yang maksudnya;
“Dan aku memerintahkan kalian untuk mengingat Allah kerana perumpamaan mengenai hal itu seperti seorang lelaki yang dikejar oleh musuh-musuhnya hingga ia sampai di sebuah benteng kukuh yang melindungi dirinya dari mereka. Sama halnya dengan seorang hamba tidak akan dapat menjaga dirinya dari syaitan kecuali dengan mengingat Allah (berzikir kepada Allah).” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)
14. Mengingat Allah ketika bangun tidur
Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, maksudnya;
“Jika seseorang dari kalian tidur, maka syaitan membuat tiga ikatan pada lehernya yang dilakukan padamu sepanjang malam tidurmu. Maka tidurlah, dan jika kamu terbangun, sebutlah/ingatlah Allah, maka satu ikatan akan terlepas. Kemudian jika kamu berwuduk, maka akan terlepas satu ikatan, dan kemudian jika kamu melaksanakan solat, maka akan terlepas satu ikatan lagi hingga ia memulakan paginya dengan semangat dan jiwa yang bersih. Jika tidak, maka jiwanya akan kotor dan dalam keadaan malas.”(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

15. Mengingat Allah ketika keluar rumah
Dari Anas bin Malik RA, beliau berkata, Rasulullah 
صلى الله عليه وسلم bersabda, maksudnya;
“Barangsiapa yang ketika akan keluar rumah mengucapkan; bismillahi tawakkaltu alalloh la haula wa la quwwata illa billah (dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali kekuatan Allah), maka kepadanya akan dikatakan cukuplah bagimu, kamu telah dijaga dan syaitan telah menjauh darimu.” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)

16. Mengingat Allah ketika masuk masjid
Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA, dari Nabi Muhammad 
صلى الله عليه وسلم bahawa ketika akan masuk masjid, baginda mengucapkan, “A’udzu billahil-azhim wa bi wajhihil-karim wa sultonihil-qodimminassyaithonirrojim (Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung, dengan wajah-Nya yang mulia dan dengan kekuasaan-Nya yang qodim dari syaitan yang terkutuk.” Beliau berkata, “Itu saja?” Baginda berkata, “Ya, jika seseorang mengucapkan ini, maka syaitan akan berkata ‘Ia telah dijaga dariku sepanjang hari’. ” (Hadith Riwayat Abu Dawud)
17. Merapatkan saf solat berjemaah
Ibnu Umar berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda maksudnya;
“Luruskan barisan dan rapatkan bahu-bahu di antara kamu, dan lembutkan badan kamu untuk saudara yang di sebelah kamu. Jangan tinggalkan ruang kosong untuk syaitan mengambil tempat. Sesiapa yang merapatkan saf, maka Allah akan bersama dengannya dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan putuskan hubungan dengannya.” (Hadith Riwayat Abu Dawud)

18. Mengingat Allah ketika menanggalkan pakaian
Dari Anas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah 
صلى الله عليه وسلم bersabda maksudnya;
“Penghalang antara pandangan syaitan dan aurat anak cucu Adam adalah, apabila ia menanggalkan pakaiannya, mereka mengucapkan bismillah.” (Hadith Riwayat At-Thabarani)

Adalah penting membaca doa menanggalkan pakaian kerana banyak kes terjadi di mana jin telah tergoda dengan manusia dan menaruh cintanya kepada manusia itu hingga membawa mudarat kepadanya. Doa menanggalkan pakaian:
Ertinya: Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain dari Dia.

19. Mengingat Allah ketika akan berhubungan suami isteri
Dari Abdullah bin Abbas RA, ia mengatakan, bahawa Rasulullah 
صلى الله عليه وسلم bersabda maksudnya;
“Jika salah seorang dari kalian ingin menggauli isterinya, hendaklah ia mengucapkan ‘Allahumma janibnassyaiton wa jannibissyaiton ma rozaqtana’ (Ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa yang telah Engkau berkan kepada kami). Jika Allah menakdirkan kepada keduanya seorang anak (dari hubungan itu), maka anak tersebut akan terhindar dari syaitan selamanya.”(Hadith Riwayat Bukhari)

20. Makan Tamar ‘Ajwah dan Tamar Madinah
Buah Tamar atau Kurma mempunyai pelbagai khasiat. Bagi Tamar ‘Ajwah dan Tamar Madinah, Rasulullah 
صلى الله عليه وسلم pernah bersabda yang maksudnya;
“Barangsiapa yang memakan tujuh biji kurma Madinah setiap paginya, maka pada hari itu ia tidak akan dibahayakan oleh racun mahupun sihir.” (Hadith Riwayat Bukhari)
21. Mengelakkan pintu-pintu kemasukan jin dan syaitan
Daripada penceritaan para pengamal perubatan Islam, terdapat empat pintu utama yang ditunggu-tunggu oleh jin dan syaiton untuk merasuki manusia. Empat pintu itu ialah:
  • Terlalu marah
  • Terlalu gembira/ seronok/ leka
  • Terlalu dukacita
  • Terlalu syahwat
Selain itu, syaitan mudah menghasut manusia apabila ia dalam keadaan kenyang, terlalu sayangkan harta dunia, melakukan sesuatu dalam keadaan tergesa-gesa, terdetik di dalam hati perasaan hasad dengki dan lain-lain lagi. Sebenarnya banyak lagi pintu masuknya syaitan jika dikaji secara terperinci. Untuk itu, adalah lebih baik untuk sentiasa membentengi diri dengan dzikrullah (mengingati Allah) setiap masa dan jauhilah sifat-sifat tercela.
Zikir terbaik melemahkan kejahatan syaitan
Disebut dalam Sahih Muslim, diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang membaca:
(“Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan segala pujian. Dia-lah yang berkuasa atas segala sesuatu.”)
dalam sehari sebanyak seratus kali, nescaya dia mendapat pahala sebagaimana memerdekakan sepuluh orang hamba. Dia juga diampunkan seratus kejahatan, dibuat untuknya benteng sebagai pelindung dari syaitan pada hari tersebut hingga ke petang. Tidak diganjarkan kepada orang lain lebih baik daripadanya kecuali orang tersebut melakukan amalan lebih banyak daripadanya. Manakala mereka yang berkata: (“Maha Suci Allah, aku memujiNya”) dalam sehari sebanyak seratus kali nescaya terhapuslah segala dosanya sekalipun dosanya itu banyak seperti buih di lautan.
Zikir juga sebenarnya adalah satu latihan untuk memupuk diri sentiasa mengingati Allah s.wt dalam setiap ketika. Apabila mulut sentiasa mengucapkan zikir, hati lebih mudah mengingati Allah s.w.t di saat seseorang itu sendang marah, kecewa, sedih dan ketakutan. Cubalah menjadikan zikir sebagai ‘makanan’ kepada rohani kita setiap ketika. Contohnya, ketika memandu ke tempat kerja, ketika makan, berjalan, menggosok baju, memasak dan sebagainya. Jika ketika itu ada sesuatu perkara yang boleh menyebabkan hati kita mempunyai perasaan negatif, insyaAllah zikir itu dapat menundukkannya. Contohnya dalam keadaan kesesakan jalanraya..hiburkanlah hati kita dengan melagukan zikir di bibir. Sama-samalah kita membudayakan zikrulloh di dalam kehidupan seharian kita…

07 Oktober, 2013

BAGAIMANA SYAITAN MENELANJANGI MUSLIMAH


Syaitan dalam menggoda manusia memiliki berbagai macam strategi, dan yang sering diguna adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu, yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan (ammaratun bis su’). Syaitan tahu persis kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah. Berikut ini tahapan-tahapnya.




I. Menghilangkan Definisi Hijab


Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian atau mode hiasan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar’i, pakaian ya pakaian, apa pun bentuk dan namanya.


Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian ikut ganti juga. Demikian pula ketika seseorang berpindah dari suatu negeri ke negeri yang lain, maka harus menyesuaikan diri dengan pakaian penduduknya, apapun yang mereka pakai.


Berbeza halnya jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar’i (identiti keislaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar mode. Biarpun hidup bila saja dan di mana saja, maka hijab syar’i tetap dipertahankan.
Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus. Caranya?


Pertama, Membuka Bahagian Tangan


Telapak tangan mungkin sudah terbiasa terbuka, maka syaitan membisik kan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). “Ah tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan. Dan benar sang wanita akhirnya memakai pakain model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki yang melihat nya juga biasa-biasa saja. Maka syaitan berbisik,” Tuh tidak apa-apa kan?


Kedua, Membuka Leher dan Dada


Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan hal baru lagi. “Kini buka tangan sudah lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu.” Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekedar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak ghairah. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya bahagian kecil saja yang terbuka.


Maka dipakailah pakaian model baru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang model setengah lingkaran hingga yang model bentuk huruf “V” yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya.


Ketiga, Berpakian Tapi Telanjang

Syaitan berbisik lagi, “Pakaian kan hanya gitu-gitu saja, cari model atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ya? Sang wanita tertanya-tanya. “Banyak model dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih enak dipandang,” syaitan memberi idea baru.


Maka tergodalah si wanita, di carilah model pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan tembus-pandang (transparent). “Tak apa-apa kan, potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan modelnya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin,” begitu dia menambahkan. Walhasil pakaian tersebut akhirnya membudaya di kalangan wanita muslimah, makin hari makin bertambah ketat dan transparen, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat ‘ariyat (berpakaian tetapi telanjang).


Keempat, Agak di Buka Sedikit


Setelah para wanita muslimah mengenakan busana yang ketat, maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru yang sepertinya segar dan enak, yakni dibisiki wanita itu, “Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, sebaiknya di belah hingga lutut atau mendekati paha?” Dengan itu kamu akan lebih leluasa, lebih kelihatan lincah dan bertenaga.”


Lalu dicubalah ide abaru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata membuat lebih enak dan leluasa, terutama ketika akan duduk atau naik ke kereta. “Yah tersingkap sedikit tak apalah, yang penting enjoy,” katanya.

Inilah tahapan awal syaitan merusak kaum wanita, hingga tahap ini pakaian masih tetap utuh dan panjang, hanya model, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar’i yang sebenarnya. Maka kini mulailah syaitan pada tahapan berikutnya.


II. Terbuka Sedikit Demi Sedikit


Kini syaitan melangkah lagi, dengan trik dan siasat lain yang lebih ampuh, tujuannya agar para wanita menampak kan bahagian aurat tubuhnya.


Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit.


Syaitan berbisik kepada para wanita, “Baju panjang benar-benar membuat susah, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang leluasa, lebih enak kalau di potong saja hingga atas mata kaki.” Ini baru agak longgar. “Oh ada yang terlupa, kalau kamu bakai baju demikian, maka tudung yang besar tidak sesuai lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil sedikit agar lebih serasi dan padan, orang tetap menamakannya dengan "bertudsung".


Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini buru-burulah mencari model pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan sepatu hak tinggi, yang kalau untuk berjalan mengeluarkan bunyi yang menarik perhatian orang.


Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis


Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang-orang yang melihat juga tidak begitu peduli. Maka syaitan kembali berbisik, “Ternyata kebanyakan manusia menyukai apa yang kamu lakukan, buktinya mereka tidak bereaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang leluasa, maka cubalah kamu cari model lain yang lebih enak, bukankah kini banyak pakaian setengah betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu pendek, hanya terlihat kira-kira sepuluh sentimeter saja.” Nanti kalau sudah terbiasa, baru kamu cari model baru yang terbuka hingga setengah betis.”


Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat pribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turuti. Maka terbiasalah dia mema-kai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi.


Ketiga, Terbuka Seluruh Betis


Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berhasil membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang sang wanita berfikir, apakah ini tidak menyelisihi para wanita di masa Nabi dahulu. Namun buru-buru bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, “Ah jelas tidak, kan sekarang zaman sudah berubah, kalau zaman dulu para lelaki mengangkat pakaiannya hingga setengah betis, maka wanitanya harus menyelisihi dengan menjulurkannya hingga menutup telapak kaki, tapi kini lain, sekarang banyak laki-laki yang menurunkan pakaiannya hingga bawah mata kaki, maka wanitanya harus menyelisihi mereka yaitu dengan mengangkatnya hingga setengah betis atau kalau perlu lebih ke atas lagi, sehingga nampak seluruh betisnya.”


Tetapi… apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum laki-laki,” hatinya berkata. “Fitnah? Ah itu kan zaman dulu, di masa itu kaum laki-laki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum laki-laki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini berarti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama-sama suka? Lihat saja model pakaian di sana-sini, dari yang berharga rendah hingga yang yang berjenama, seperti Kristian Dior, semuanya menawarkan model yang dirancang khusus untuk wanita maju di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikuti model itu akan menjadi wanita yang ketinggalan zaman.”


Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis biasa dia kenakan, apalagi banyak para wanita yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempermasalahkan itu. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari siasatnya untuk melucuti hijab wanita.


III. Serba Mini


Setelah pakaian yang menampak kan betis menjadi pakaian sehari-hari dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. “Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu saja, sekarang ini modelnya berpakaian mini, dan agar serasi rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah.”


Maka akhirnya pakaian mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggung nya dan berbagai model lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian pesta, berlibur, pakaian kerja, pakaian rasmi, pakaian malam, pagi, musim panas, musim dingin dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, model dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba.


Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.


Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling rawan saja yang tinggal untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang sering disebut dengan “bikini”. Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na’udzu billah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, “Menelanjangi Kaum Wanita.”


Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama, telanjang di hadapan laki-laki lain, di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu” syaitan tak mau ambil risiko.


Penutup
Demikian halus, cara yang digunakan syaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa. Maka hendaklah kita semua, terutama orang tua jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita kita sekecil apapun, segera secepatnya diambil tindakan. Jangan biarkan berlarut-larut, karena kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka sangat sulit bagi kita untuk mengatasinya.


Membiarkan mereka membuka aurat berarti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyeng-sarakan, baik di dunia maupun di akhirat.


Sumber: biaqpila.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...