Sahabat

23 Ogos, 2013

Hukum zakat Pendapatan



Kerap-kali timbul persoalan di kalangan masyarakat mengenai kaedah pengiraan zakat pendapatan. Ada yang menimbulkan pertanyaan, seandainya pendapatan yang diperolehi saban bulan itu habis, maka masihkah wajib menunaikan zakat pendapatan? Bahkan ada yang mengaku, kadang-kala bukan sekadar gaji tidak cukup, simpanan di bank pun ‘dikorek’ sama.
Sebelum itu, harus difahami bahawa asas kepada pembayaran zakat adalah kepada harta yang melebihi nisab. Ia bermaksud, keperluan wajib diri dan tanggungan sudah dipenuhi. Ia juga bermaksud, seseorang itu sebenarnya sudah ‘kaya’, kerana hartanya berlebihan daripada nisab.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 219:
“Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: “(Apa) yang lebih daripada keperluanmu.”
Berdasarkan ayat al-Quran di atas, al-Qardhawi menyatakan bahawa Islam mewajibkan zakat hanya bagi harta yang mencapai nisab dan melebihi keperluan. Keperluan yang dimaksudkan pula, meliputi enam aspek perbelanjaan, iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, rawatan dan pengangkutan.
Namun begitu, ada juga pandangan ulamak yang menyatakan zakat pendapatan harus dikeluarkan tanpa perlu menolak apa-apa perbelanjaan. Ia dikiaskan kepada zakat pertanian, iaitu setiap kali pertanian dituai maka ia terus dikeluarkan zakatnya sebanyak lima atau 10 peratus, tanpa perlu menolak perbelanjaan terlebih dahulu.
Perincian pengiraan
Dalam konteks amalan kini, majoriti pusat zakat seperti Lembaga Zakat Selangor sendiri mengamalkan tiga kaedah pengiraan zakat pendapatan.
Pertama: Tanpa tolakan
Kaedahnya: Jumlah pendapatan setahun X 2.5 peratus = Zakat pendapatan
Kedua: Tolakan asas
Kaedah: Jumlah pendapatan setahun – Tolakan asas X 2.5 peratus = Zakat pendapatan
Tolakan asas ialah:

Diri sendiri:                                                                   RM8,000.00
Isteri:                                                                            RM3,000.00
Anak-anak:                                                                  RM1,000.00 seorang (jumlah anak)
KWSP:                                                                        11 atau lapan peratus setahun
Pemberian kepada ibu bapa:                                        RM? setahun
Caruman di institusi yang menunaikan zakat:                RM? setahun

Nota: Tolakan asas ini sejajar dengan tolakan pengiraan cukai sebagaimana di Lembaga Hasil Dalam Negeri
Ketiga: Tolakan perbelanjaan sebenar
Kaedah: Jumlah pendapatan tahunan – Tolakan perbelanjaan sebenar X 2.5 peratus
Tolakan perbelanjaan sebenar:
Makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, rawatan dan pengangkutan.
Pro dan kontra
Pro dan kontra menggunakan kaedah di atas wajar dilihat. Jika kita menggunakan kaedah pertama, maka zakat pendapatan kita menjadi begitu besar dan ia langsung tidak mengambil kira aspek keperluan seseorang.
Manakala, jika kita mengambil kaedah ketiga maka ia berkemungkinan besar menyebabkan seseorang itu boleh jadi terlepas daripada zakat pendapatan. Bahkan, tidak mustahil seseorang itu boleh jadi termasuk ke dalam golongan asnaf pula, iaitu asnaf miskin.
Oleh sebab itulah, kaedah kedua lebih sesuai diaplikasikan. Ia tidak menyebabkan zakat seseorang menjadi terlalu besar dan pada masa yang sama, tidak menyebabkan seseorang itu terlepas daripada kewajipan berzakat.
Ini kerana, pada zaman moden ini, kekayaan tidak boleh lagi diukur sekadar pada harta yang dimiliki tetapi juga kemampuan mengumpul dan membelanjakannya. Sebagai contoh, seseorang yang mampu memperolehi RM5,000 sebulan; namun setelah ditolak perbelanjaan maka kemungkinan akhirnya dia menjadi orang yang tidak layak berzakat.
Namun pada masa yang sama, orang yang sama mampu memiliki rumah dua tingkat berharga RM200 ribu (bulanan RM2000), dua buah kereta yang masing-masing berjumlah RM100 ribu (bulanan RM1,000), membeli perabot dan barang elektrik secara kredit dan menjelaskan pelbagai bayaran tambahan lain. Semua perbelanjaan ini mungkin menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan belanja bulanan berjumlah RM4,999.00 atau mungkin lebih lagi.
Adakah wajar kita menyatakan orang seperti ini miskin dan tidak layak berzakat? Pada masa yang sama, adakah wajar pula dia mendapat zakat? Sedangkan pada masa yang sama dia mampu hidup mewah dan selesa?
Di sinilah timbulnya penilaian sebenar terhadap kemampuan berzakat. Maka, atas dasar itulah, pusat-pusat zakat seperti LZS (MAIS) mengesyorkan kaedah kedua yang lebih praktikal untuk menunaikan zakat pendapatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...