Sahabat

21 Julai, 2007

ISRAK DAN MIKRAJ

BULAN Rejab adalah antara bulan mulia dalam Islam. Kedatangannya disambut meriah oleh umat Islam. Dalam bulan Rejab, tepat pada malam 27 Rejab, terjadi peristiwa yang amat luar biasa lagi bersejarah bagi umat Islam, iaitulah peristiwa Israk Mikraj.

Israk Mikraj yang dialami oleh Nabi Muhammad (saw) dengan jasad dan tubuhnya itu, di samping bagi menghibur dan memantapkan lagi iman baginda, juga adalah iktibar yang harus direnungi setiap Muslim. Banyak hikmah terkandung dalam peristiwa Israk Mikraj yang menggemparkan itu.

Dalam kejadian Israk Mikraj, Nabi (saw) diisrakkan oleh Allah SWT dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan mengenderai Buraq bersama Malaikat Jibrail.

Kemudian dari Masjidil Aqsa, Nabi (saw) dimikrajkan pula dengan menjelajahi tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa. Dalam perjalanan mikraj inilah Nabi dapat melihat banyak tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.

Di sana, Nabi (saw) berkesempatan berdialog dengan Allah SWT dan Allah SWT menghadiahkan atau memberi satu bingkisan untuk dibawa pulang oleh Nabi (saw), iaitu perintah sembahyang fardu lima waktu untuk Nabi (saw) dan umatnya.

Sebelum dimikrajkan, baginda sempat bersembahyang sunat bersama Malaikat Jibrail dan ruh ambiya di Masjidil Aqsa yang Allah berkati sekelilingnya.

Dari masjid ini, Nabi (saw) terus dimikrajkan iaitu dengan menjelajahi tujuh lapis langit, lalu sampai ke tempat yang tinggi, iaitu Sidratul Muntaha bahkan ke Mustawa.

Di sinilah baginda bermunajat dengan Allah, dan Allah memberi hadiah atau satu bingkisan yang besar kepada baginda untuk dibawa pulang, yakni berupa perintah solat lima waktu .

Segala pemandangan dan gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi (saw) adalah sesuatu yang wujud dan benar-benar berlaku kepada umat Islam, iaitu umat Nabi Muhammad (saw).

Umat Islam yang benar-benar mempercayai bahawa kiamat itu pasti datang dan setiap perbuatan akan diminta pertanggungjawaban, sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan itu.

Segala bentuk penyeksaan yang dialami oleh pelbagai kelompok manusia sebagaimana yang disaksikan Rasulullah akan terjadi kepada semua manusia di akhirat nanti, sesuai dengan kejahatan yang dilakukan.

Solat pula adalah satu ibadat yang istimewa dan terpenting. Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah, sedangkah ibadat puasa, zakat dan haji diwahyukan saja melalui Malaikat Jibrail.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi lautan hikmah yang harus dikaji dan diteliti secara mendalam, terutama betapa pentingnya solat dalam kehidupan seseorang Muslim. Dengan solat, setiap Muslim dapat berhubung dengan penciptanya lima kali sehari semalam dalam bentuk dialog langsung.

Jika kita jauh tersesat dan banyak melanggar larangan Allah, hentikanlah segera dan kembali melakukan amal soleh dan pekerjaan kebajikan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...